Tenaga Kerja Tempatan Rendah; Bukti Polisi Kerajaan Gagal


KUALA NERUS – PAS melahirkan rasa bimbang dengan perkembangan tenaga kerja berkemahiran tinggi tempatan yang berada pada tahap yang rendah.
Ahli Parimen Kuala Nerus, Dr Khairuddin Aman Razali berkata, ketika ini, Malaysia hanya mampu melahirkan 28 peratus tenaga kerja berkemahiran tinggi sahaja.
“Dalam masa yang sama, jumlah tenaga kerja tidak mahir melebihi 70 peratus daripada sumber manusia di dalam negara.


“Keadaan ini membuktikan kerajaan telah membazirkan tenaga kerja tempatan dan ditambah lagi dengan lambakan pekerja asing yang bekerja di negara kita,”ujarnya
Beliau berkata, pada minggu lalu, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot mengumumkan lambakan pekerja asing di Malaysia adalah kira 5.8 juta orang manakala separuh daripada jumlah tersebut adalah pekerja yang sah dan bakinya adalah pendatang haram.
“Angka tersebut begitu merisaukan kerana bukan sahaja menghalang peningkatan tenaga kerja tempatan di dalam sektor pekerjaan malah lebih buruk lagi ia akan mengundang pelbagai masalah sosial yang lain.
“Usaha kerajaan untuk meningkatkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dilihat retorik kerana pergantungan kerajaan kepada pekerja asing terlalu tinggi.
“September tahun lalu, sejumlah 2.1 juta orang pekerja asing dilaporkan berdaftar secara sah di negara ini. Tahun ini bertambah kepada 2.9 juta orang pekerja asing,”ujar beliau yang juga Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS
Justeru, beliau menggesa kerajaan agar lebih memperhalusi perkara ini agar tidak merugikan negara di masa hadapan.
“Langkah untuk meningkatkan tenaga kerja tempatan perlu seiring dengan pengurangan kebergantungan kepada pekerja asing.
“Malaysia masih terlalu jauh untuk mencapai status negara maju di mana kebanyakannya mempunyai tenaga kerja berkemahiran tinggi sekitar 50 peratus ke atas,”katanya

Ulasan