Pembalakan Haram Berleluasa – Lebih Lima Kes Tidak Diambil Tindakan

Kuala Terengganu – “Dato’ Yang Dipertua, saya pohon penjelasan, maksud menjadi-jadi tidak seterusnya jadi hari-hari, mungkin bulan ni jadi, mungkin bulan depan jadi,

“Tetapi realitinya ramai dikalangan penduduk terutamanya ditempat saya, memang berlaku kecurian balak dan balak dirampas oleh pihak berkuasa,

“tetapi ada setengah-setengah orang-orang tertentu yang mencuri balak tetapi terlepas, ini seolah-olah bilis kena tetapi jerung terlepas”tanya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Jabi, Ramlan Ali (BN), apabila soalan asalnya tidak dijawab dengan tepat oleh YAB Menteri Besar Terengganu, Dato’ Ahmad Said.

“Kita sedar masalah yang berlaku, sebab itu kita tak mahu berlakunya ‘harapkan pagar, pagar makan padi’, sebab itu saya sentiasa mengharapkan orang kampung orang ramai, kalau perkara ini terus berlaku, laporkan kepada BPR (Badan Pencegah Rasuah),

“Dan baru-baru ini saya terus menelefon BPR untuk mengambil tindakan hasil maklumat yang saya terima , tapi sehingga kini saya tak tahu apakah tindakan BPR sendiri tentang hal ini,”kata Ahmad Said.

Ahmad dalam memberikan jawapannya, mengakui sedar dan mengalami sendiri kecurian balak dan beliau berkata susah bagi dirinya untuk memberikan jawapan berkaitan kecurian balak yang berleluasa.

ADUN Wakaf Mempelam (PAS), Mohd Abdul Wahid Endut kemudian bangun dan berkata bahawa sebenarnya terdapat lebih dari empat kes pembalakan haram sebagaimana yang diakui oleh Ahmad Said.

Wahid seterusnya meminta Ahmad untuk mendedahkan kepada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) dimanakah berlakunya empat kes pembalakan haram yang dinyatakan oleh Ahmad.

“Tadi ditimbulkan ada empat kes, ada empat kes yang disebut berlaku pembalakan haram dan pencerobohan hutan simpan, saya rasa lebih,

“Tapi tak apalah, hok (yang) empat kes tu, tolong khabor (beritahu) gok kat mana?”kata Wahid.

Ahmad dalam jawapannya mengakui bahawa beliau sependapat dengan Wahid, ada banyak kes pembalakan haram yang telah dan sedang berlaku di negeri Terengganu.

Beliau kemudiannnya mendedahkan kes-kes pembalakan haram yang berlaku adalah seperti dibawah;

1. Pembalakan haram diluar Projek Lebuhraya Pantai Timur (LPT) Fasa Dua di Hutan Simpan Bukit Bauk daerah Dungun pada Januari, 2008

2. Pembalakan haram di kompatmen 5, HS (hutan Simpan) Bukit Kesing daerah Setiu bulan Oktober 2008

3. Melibatkan tebangan pokok di tanah kerajaan di kampung Payung mukim Hulu Nerus pada bulan Januari 2008

4. Tebangan tanpa lesen di tanah kerajaan Bukit Pinang Mukim Hulu Telemong Januari 2008.

Buletinonline pernah menyiarkan laporan pembalakan haram di Hutan Simpan Bukit Bauk setelah perkara tersebut didedahkan oleh media perdana pada 31 Januari lalu.

Dengar Audio Soal Jawab Sidang DUN 15 Disember 2008 Klik Sini

Ulasan