Permint Plywood - Kilang Tutup Dua Kali, Kerajaan Hanya Beri ‘Khidmat Bibir, Berjanji Dan Berjanji’.


Setelah dua kali kilang Permint Plywood ditutup, kerajaan Terengganu hanya menyatakan perlu mengkaji aspek menyebabkan berlakunya penutupan tanpa mengambil tindakan menyelesaikan masalah pekerja-pekerja yang diberhentikan.

Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, Toh Chin Yaw seolah-olah ‘lepas tangan’ dengan berkata penutupan syarikat kilang papan lapis itu tiada kena mengena dengan kerajaan negeri kerana ia bukan anak syarikat kerajaan negeri Terengganu.

Katanya, menurut akhbar Sinar Harian, setakat ini beliau tidak dimaklumkan apa-apa mengenai penutupan tersebut, tetapi pihaknya berjanji akan berusaha membantu lebih 200 orang kakitangan yang kehilangan pekerjaan akibat penutupan syarikat itu.

“Kita kena tengok banyak aspek, kalau melibatkan pekerja-pekerja dari Terengganu, kita kena cari jalan untuk tolong mereka. Saya rasa tiada masalah beri bantuan menyelesaikan masalah pekerja yang diberhentikan,” kata Toh dengan ‘khidmat bibir’ (lips service) memberikan airliur, bukan bertindak segera memberikan sebarang bantuan.

Rapid Skills Sdn Bhd masih mempunyai kontrak menyewa premis kilang dengan Permint Plywood Sdn Bhd hingga Februari tahun depan, telah mengambil tindakan menutup operasinya lebih awal dengan alasan tidak mampu menampung kos operasi sehingga menyebabkan kerugian sebanyak RM5 juta.

Permint Plywood Sdn Bhd, anak syarikat kerajaan negeri di bawah Golden Pharos Berhad (GPB) telah menyewakan premis kilang itu apabila ia menghentikan operasi pengeluaran papan lapis pada 31 Januari 2005 lalu.

Rayuan para pekerja yang diberhentikan akibat penutupan kilang samada oleh Rapid Skill pada 4 September lalu, sama seperti rakaman keluhan pekerja yang diberhentikan ketika kilang itu ditutup buat kali pertama oleh Permint Plywood sendiri, tiga tahun yang lalu.

Tiga tahun lalu, Puan Salma Abdullah, Ramli Romainor, Zanuddin Zakaria, Abdul Ghafar Abdullah dan Mohd Helmizan Abd. Rahim pernah merayu kepada kerajaan negeri agar Permint Plywood tidak ditutup, kerana kilang itulah punca pendapatan mereka bagi menyara kehidupan mereka sekeluarga.

Puan Salma Abdullah, ibu kepada enam orang anak, merasa sedih dan terkilan dengan tindakan kerajaan negeri.

Beliau berkata, penutupan kilang tersebut menyebabkan beliau hilang satu mata pencarian keluarga kerana selama ini boleh membantu suaminya yang berpendapatan rendah.

“Saya ada anak enam orang yang masih bersekolah di peringkat rendah dan menengah. Saya rasa sangat sedih kerana sekarang ini susah hendak cari pekerjaan,” jelasnya dengan nada hiba.

Ramli Romainor berkata tindakan drastik kerajaan negeri menutup kilang Permint Plywood itu menyebabkan ramai penduduk hilang pekerjaan.

Katanya, bukan sahaja pengangguran terus berlaku malah hampir 500 orang hilang mata pencarian bagi menanggung keluarga masing-masing.

“Bila kilang Permint Plywood ini tutup ramai yang hilang kerja dan bukan saja ramai yang mengganggur tetapi dekat (hampir) 500 orang hilang mata pencarian keluarga,

“Saya bersama ibu bekerja di kilang ini untuk menanggung kami sekeluarga kerana ayah telah berpisah dengan ibu saya sejak beberapa tahun lalu,” ujarnya ditemui ketika penutupan kilang Permint Plywood.

Zanuddin Zakaria, melahirkan rasa tidak puas hati dengan tindakan drastik pihak terbabit menutup kilang yang menjadi sumber pendapatan keluarganya.

“Saya tidak puas hatilah bila kilang yang menjadi tempat kami cari makan sejak hampir dua tahun lalu ditutup secara mengejut dan ramai yang hilang pekerjaan,

“Hampir 70 peratus penduduk di tanah rancangan ini bekerja di kilang Permint Plywood yang akan menghadapi masalah penggangguran,” ujarnya.

Abdul Ghafar Abdullah, menggesa agar pihak majikan mempercepatkan pembayaran pampasan kepada semua pekerja yang diberhentikan.

“Saya kerja dengan kilang ini hampir 17 tahun dan nok (hendak) minta supaya majikan cepat-cepat bayar pampasan kepada kita semua,” ujarnya.

Menurutnya, kilang Permint Plywood ini ditutup oleh pihak kerajaan negeri agak mengejut dan menjadi masalah kepada semua pekerja terbabit.

Mohd Helmizan Abd. Rahim, merayu agar pihak kerajaan negeri dapat merangka pelan baru membuka semula operasi kilang tersebut.

“Saya minta dan merayu supaya kerajaan buat pelan baru untuk buka semua kilang ini dan kami semua sedia bekerja semula di kilang yang baru itu, InsyaAllah,” ujarnya.

Namun keluhan mereka sebagai ‘rakyat yang teraniya’ tidak didengar oleh kerajaan negeri yang diterajui oleh bekas Menteri Besar Dato’ Seri Idris Jusoh ketika itu.

Idris sibuk dengan projek-projek mega, melakar sejarah mencipta tamadun, Monsun Cup dan Taman Tamadun yang bernilai ratusan juta ringgit.

Sebaliknya apabila Permint Plywood menutup kilangnya, kerajaan menabur janji dan berkata penutupan tersebut hanya sementara waktu.

Kesudahannya, kilang tersebut disewakan kepada Rapid Skill, dan hanya sekitar 100 pekerja yang diambil kembali untuk bekerja dibawah pengurusan Rapid Skill.

Lebih 300 orang anak watan Terengganu yang sudah belasan tahun menabur bakti memberikan khidmat memajukan Permint Plywood terpaksa mengadu nasib, mencari haluan masing-masing.

Ulasan