Umno/BN tidak boleh diharap lagi


KEMAMAN - Rakyat telah menolak Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 dan beberapa pilihan raya kecil yang diadakan selepas itu.

Pengerusi Lajnah Kebajikan PAS Terengganu, Ustaz Abu Bakar Abdullah berkata ia adalah bukti yang jelas bahawa rakyat sudah tidak lagi mengharapkan parti Umno/BN memimpin negara ini.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian dan Pelancaran Skuan Khidmat Dewan Undangan Negeri (Dun) Chukai, di hadapan Pasar Chukai, Kemaman, baru-baru ini.

“Program ini sangat baik dan besar pahala. PAS ‘cakna’ dan peduli nasib rakyat miskin tanpa mengira fahaman politik, bangsa dan agama.

“Rakyat pula sudah sedar yang Umno dan kerajaan Barisan Nasional tidak boleh diharapkan lagi sejak berlaku PRU ke-12 tahun lalu,” ujarnya.

Katanya, pendekatan serta slogan ‘PAS For All’ memang masa kini sesuai untuk semua rakyat.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Dewan Ulama’ PAS negeri yakin dan percaya dengan sokongan rakyat terhadap PAS dan Pakatan Rakyat membawa perubahan.

Katanya, dalam pilihan raya akan datang bukan sekadar Terengganu berjaya dikembalikan kepada PAS tetapi Malaysia amnya kepada Pakatan Rakyat.

“Saya yakin dan percaya dengan sokongan rakyat kepada PAS dan Pakatan Rakyat akan kekal hingga PRU ke-13, bukan sekadar Terengganu tetapi Malaysia akan tumbang kepada PAS dan Pakatan Rakyat,” tegasnya.

Pada majlis tersebut sebanyak 21 cawangan PAS di Dun Chukai masing-masing menerima watikah perlantikan Skuad Khidmat Masyarakat dari Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakat MTD Chukai.

Hadir sama pada majlis tersebut bekas Exco Kerajaan PAS Terengganu, Ustaz Awang Dagang, Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Terengganu, Hanafiah Ramli, Pengerusi DAP Terengganu, Encik Ng Chai Hing serta Pengerusi Kelab Penyokong PAS Chukai.

PAS dan Umno tidak boleh bekerjasama


KUANTAN — “Saya yakin PAS dan Umno tidak boleh bekerjasama,” itulah sepatah komen orang lama Umno, Datuk Fauzi Abdul Rahman, yang kini adalah Pengerusi Perhubungan Parti Keadilan Rakyat Negeri Pahang.


Fauzi adalah bekas ADUN Beserah, Ahli Parlimen Kuantan dan Timbalan Menteri semasa dalam Umno dahulu. Sebelum menyertai PKR, beliau pernah diura-urakan akan menyertai PAS.

Beliau mengulas ribut kerajaan perpaduan yang ditafsirkan banyak pihak sebagai PAS mahu bekerjasama dengan Umno. Padahal, kerajaan perpaduan adalah cadangan Presiden PAS untuk menyatukan semua pihak dalam Pakatan Rakyat dengan semua pihak dalam BN bukannya kerjasama antara PAS dengan Umno.

Bagi Fauzi pemimpin PAS adalah dari kalangan cerdik-pandai belaka, kerajaan perpaduan bagi beliau hanyalah batu yang dilontarkan pemimpin PAS ke lubuk Umno bagi menguji tenangnya air, rupa-rupanya banyak buaya dan ular yang sedang kebuluran.

Dalam konteks Negeri Pahang, setelah menyertai dan memimpin PKR, sekaligus bersama PAS dalam Pakatan Rakyat, Fauzi memandang PAS sebagai tunjang bersama. Bersama Pakatan Rakyat, PAS sebagai sebuah parti akan terus bersatu dan semakin kuat.

Sedangkan PAS, jika bersama-sama Umno dalam BN akan sentiasa dilihat dan dikenal sebagai “parti kedua orang Melayu.” Sebagai pemain kedua, bagi Fauzi, PAS tidak akan mampu berperanan di dalam BN dan tidak akan terserlah. PAS juga, jika bersama dengan Umno akan berhadapan dengan risiko untuk berpecah dan menjadi lemah.

Mengulas akan ketidakyakinannya yang PAS boleh bekerjasama dengan Umno, Fauzi menjelaskan bahawa dasar PAS atau lain-lain parti dalam Pakatan Rakyat selama ini adalah kerajaan bersih, idea yang bagi Fauzi yang pernah berpuluh tahun di dalam Umno, tidak didokong oleh kepimpinan parti lamanya itu.

Mengakhiri ulasannya, bagi Fauzi jikapun benar memang wujud polemik dalam parti PAS akibat gagasan kerajaan perpaduan yang dibicarakan semua orang mutakhir ini, bagi beliau polemik itu adalah hal dalaman PAS, dan sebagai pemimpin PKR, rakan komponen PAS dalam Pakatan Rakyat, beliau menghormatinya dan mengambil sikap untuk tidak mencampurinya.

120 Kakitangan Kerajaan Di Berhentikan - Mimpi Ngeri Menjadi Realiti

KUALA TERENGGANU - Mimpi ngeri yang sering bermain dalam fikiran 120 orang kakitangan kontrak Jabatan Pelajaran akhirnya menjadi realiti apabila mereka benar-benar diberhentikan dan akan menjadi penganggur mulai 1 Julai ini.

Mereka yang berkhidmat sebagai buruh dalam pelbagai jabatan di Terengganu telah menzahirkan rasa tidak puas hati dan kekecewaan dengan berkumpul di Dewan Belia dan Sukan Jalan Pasir Panjang dekat sini hari ini.

Salah seorang daripada mereka, Alias Awang, 47, dari Kampung Banggol Tuan Muda, Manir, berkata beliau bekerja lebih 12 tahun sebagai tukang kebun di Sekolah Kebangsaan Kampung Gemuruh.

"Jadi, kalau saya diberhentikan kerja ke mana pula saya hendak cari kerja, sedangkan umur saya telah lanjut dan anak-anak masih ada yang bersekolah," katanya sebagaimana dilaporkan Bernama.

Zainal Shahruddin, 50, buruh di Sekolah Kompleks Gong Badak pula mengharapkan pihak berkenaan mengambil semula beliau dan rakan-rakan yang senasib dengannya untuk bekerja memandangkan ada di antara mereka yang sudah bekerja lebih 20 tahun.

Beliau berkata yang lebih menyedihkan lagi ramai di kalangan kakitangan kontrak JPM ini mempunyai banyak tanggungan seperti anak masih bersekolah dan pinjaman bank.

Ramlah Kassim, 45, yang bekerja sebagai buruh di Sekolah Rendah Wakaf Mempelam sejak 13 tahun lepas, berharap kakitangan kontrak Jabatan Pelajaran ini akan diambil bekerja oleh kerajaan negeri sesuai dengan kelayakan kelulusan kakitangan berkenaan.

Ulasan