Jenayah Belia Terengganu Membimbangkan; Pemuda PAS Kesal Kenyataan Exco

KUALA TERENGGANU - Dewan Pemuda Pas Negeri Terengganu tidak terkejut atas kenyataan Ketua Polis Negeri, Datuk Mohd Syukri Dahlan pada 23 Februari (Selasa) yang dikeluarkan Bernama, yang menyatakan bahawa 60% jenayah dilakukan oleh golongan be lia.

Ketuanya, YB Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata, ia adalah kerana, statistik yang sama telah dikeluarkan pihak polis pada tahun lalu.

Namun, katanya, pihaknya merasa kecewa dengan kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains Teknologi dan Sumber Manusia Negeri Terengganu semalam (24 Februari).

Ahmad Razif Abdul Rahman mendakwa bahawa jumlah 6000 pelajar menengah Terengganu terlibat dengan ponteng, merempit, pelbagai jenayah dan penyalahgunaan dadah sebagai kecil berbanding dengan bilangan keseluruhan pelajar negeri ini.

”Sepatutnya jumlah itu dipandang sebagai sangat membimbangkan kerana ia melibatkan perlakuan jenayah. Perbandingan sepatutnya dibuat berdasarkan kepada bilangan, bukan peratus.

”Kami bimbang sikap kita yang suka memperkecilkan bilangan perlakuan jenayah belia menyebabkan ia akan bertambah dari masa ke semasa,”katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini, 25 Februari.

Justeru, beliau mengulangi kesedian Pemuda PAS Terengganu untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak bagi mencegah dan membendung jenayah.

”Kami bersedia bekerjasama dengan pihak polis atau mana-mana badan pencegahan jenayah untuk membendung masalah ini agar tidak berterusan dan merebak dengan meluas,”tegasnya.

Pemuda PAS Terengganu juga, katanya, mendesak agar Kerajaan negeri melakukan usaha yang bersungguh-sungguh ke arah pelaksanaan hukum Islam berdasarkan kepada Perlembagaan Negeri Terengganu yang telah dipinda pada zaman pemerintahan PAS.

“Bukankah sudah terbukti di zaman pemerintahan PAS pada 1999 hingga 2004, kadar jenayah turun dengan keberkatan pemerintahan yang berlandaskan Qur’an, Sunnah, Ijmak dan Qias?,”soal beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payung.

Beliau juga yakin, kenaikan mendadak jumlah keterlibatan belia dalam jenayah dinegeri Terengganu adalah kerana tiada keberkatan Allah terhadap pemerintahan kerajaan semasa.

”Ia adalah kerana kerajaan Umno Barisan Nasional yang tidak mahu tunduk kepada perintah Allah SWT dalam hal pemerintahan,”katanya.


INFO: Masalah juvana
  • 5.4 juta pelajar di seluruh negara (2009)
  • Indeks pembabitan pelajar dalam jenayah 0.03 peratus berbanding jumlah keseluruhan
  • Usia pelajar bermasalah 13 – 18 tahun
  • Statistik polis: 2007 – 1,837 kes jenayah dan 3,383 pelajar ditahan; 2008 – Meningkat kepada 2,218 kes dan 3,725 pelajar ditahan.
  • Kajian Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia dengan kerjasama Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Malaysia, 48.1 peratus mat rempit berpunca akibat kebosanan, 38 peratus bertujuan mengisi masa lapang dan 27.8 peratus dipengaruhi kawan.
  • Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia – Seramai 295 pelajar terbabit dalam pelbagai jenayah sepanjang tempoh dua bulan pertama tahun ini.
  • Kajian Universiti Malaya – masalah disiplin utama di sekolah adalah kecurian, buli, pergaduhan dan gangsterisme.

Ulasan