Tohmahan tidak benar; Melayu Islam tetap jadi teras


KUALA TERENGGANU - Kuasa politik Melayu Islam tidak terjejas dengan pertembungan PAS dan Umno malah ia akan menjadi semakin kuat dan kukuh apabila PAS menggantikan Umno dan Barisan Nasional (BN).

PAS memberi jaminan kepada rakyat bahawa teras politik negara tetap dipegang oleh Melayu Islam jika Pakatan Rakyat menggantikan Barisan Nasional.

Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata semua pihak di Malaysia hari ini samada kerajaan atau pembangkang menyedari hakikat dan realiti tersebut termasuk MCA, MIC, Gerakan, DAP dan lain-lain.
Beliau selaku ADUN Rhu Rendang berkata demikian ketika berucap membahaskan Belanjawan (Bajet) 2012 pada Mesyuarat Yang Ketiga Penggal Keempat, Dewan Undangan Negeri (Dun) ke-12, di Wisma Darul Iman.


“Umno hari ini ada 78 kerusi seluruh negara. PAS 23 kerusi dan KeADILan (PKR) ada 18 kerusi Melayu. Sekiranya, PAS dapat 40 kerusi lagi menjadikan PAS 63 kerusi, Umno jadi menurun jumlah kerusinya.

“Dalam keadaan ini teras kuasa politik masih dikuasai oleh orang Melayu Islam. Siapa yang menguasai teras politik, dialah yang menguasai politik Negara,”jelasnya

Malangnya, kata beliau, orang Melayu diperbodohkan termasuk di Terengganu dan disebarkan jika Umno kalah DAP yang memerintah Terengganu.

Sedangkan, DAP satu kerusi pun tidak bertanding di Terengganu dan jelas Umno memperbodohkan orang Melayu sendiri.

Tohmahan, bahawa DAP yang akan menguasai politik negara jika Umno kalah dalam pilihan raya adalah tidak benar.

Sehubungan itu, seorang peguam, Fathi Aziz Abu Bakar menyifatkan dakwaan ADUN Alor Limbat bahawa DAP akan tetap menguasai Terengganu sekiranya Pakatan Rakyat memerintah kerajaan pusat adalah menghina sultan Terengganu.

Fathi berkata, undang-undang tubuh kerajaan negeri memperuntukkan Menteri Besar negeri Terengganu mestilah orang Melayu dan beragama Islam.

“Perlembagaan memperuntukkan Sultan akan memanggil ketua parti yang mendapat majoriti yang paling ramai dalam pilihanraya untuk membentuk kerajaan,

“sekiranya PAS mendapat kerusi paling banyak, PAS akan dipanggil, bukan DAP,”jelasnya.

Ulasan