Langgar PKP Bukan Kesalahan Jenayah?

Lajnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (LUHAM) PAS Pusat menegaskan, sesiapa jua yang ditangkap dan didakwa dengan sebab melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)
bukanlah seorang Penjenayah.


Pengerusinya Wan Rohimi Wan Daud berkata, Pertuduhan bagi dakwaan kesalahan itu akan didaftarkan di bawah Kod No. 85, yang bermaksud Orang Kena Saman (OKS).

"Di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan 2020, statusnya bukanlah seorang Penjenayah.

"Hukuman bagi sabitan atas pertuduhan ini ialah denda tidak melebihi RM1,000 atau Penjara tidak melebihi 6 bulan, atau kedua-duanya sekali," jelasnya.

Dalam satu kenyataan berkata, sewaktu pertuduhan dibaca, OKS diminta berdiri di luar kandang Pesalah dan tidak sama dengan pertuduhan jenayah yang perlu berdiri dalam Kandang Pesalah.

"Sabitannya bukanlah sabitan jenayah, tiada rekod jenayah!

"Kesnya sama seperti seorang yang kena saman oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atau Polis DiRaja Malaysia (PDRM)," tegas beliau.

Namun sebaliknya, tambah beliau, jika  seseorang dihukum penjara melebihi sehari, ia akan direkodkan sebagai bekas banduan.

"Ia bermakna anda perlu mendaftar masuk sebagai seorang banduan) atau anda tidak mampu bayar denda yang dikenakan (default) dan kemudiannya dipenjarakan sebagai ganti denda, maka anda akan direkodkan sebagai bekas banduan," tegas beliau.

Justeru katanya, orang ramai dinasihatkan tidak  mengengkari arahan PKP dan menghormati para petugas keselamatan.

"situasi ini tidak terpakai sekiranya anda didakwa atau turut didakwa dibawah Kanun Keseksaan (katakan di bawah Seksyen 186 kerana menghalang Penjawat Awam dalam menjalankan tanggungjawab mereka untuk menguatkuasakan undang-undang,

"samada dalam bentuk caci maki, kata nista mahu pun kekerasan yang lain) atau Akta Polis 1967 atau kesalahan-kesalahan jenayah yang lain," ujar beliau.

Ulasan