Oleh: Dr Riduan ohamad Nor
Gerakan Islam ini menoreh sejarah panjang ummat, berakar dan meranum dengan amal tarbawi serta dibaja dengan darah para syuhada dalam tempoh lebih sembilan dekad. Ikhwanul Muslimin yang tumbuh empat tahun selepas kejatuhan Khilafah Uthmaniah ini begitu fenomenal dan dekat dihati para pejuang Islam kontemporari. Bohong jika dunia Islam zaman moden tidak tersentuh dengan seruan dan fikrah mereka untuk menjulang kembali agama Allah. Kajian akademik oleh sarjana Barat dan Timur mengesahkan jasa bakti harakatul ummah ini disepanjang keberadaannya dimedan dakwah,tarbiah dan siasah.
Ikhwanul Muslimin diuji dengan gelombang ibtila', mehnah dan tribulasi yang tidak terhingga sejak 1928. Ribuan kader dakwahnya mendekam dalam penjara serta ratusan yang telah syahid dibalik jeriji penjara, tiang gantungan atau pun ditembak mati seperti assyahid Hasan al Banna. Jasa mereka mencerahkan ummah dengan tokoh-tokoh ilmuan yang menelurkan ribuan kitab-kitab, membuka mata fikir umat akhir zaman untuk kembali kepada Syariat Islam.
Tokoh-tokoh besar mereka berhujung dengan kematian akibat kezaliman regim , antaranya Hasan al Banna, Sayyid Qutb, Kamal Saniri, Abdul Kadir Audah, Yusuf Talaat ,bahkan ada yang dikhabarkan mati dengan misteri dipenjara padang pasir atau penjara bawah tanah . Tidak sedikit yang lari menyelamatkan diri keluar Mesir dan seterusnya menyebarkan fikrah Ikhwan dinegara lain, termasuk Sheikh Taqiyuddin Qandil diawal dekad 1950an yang datang ke Tanah Melayu serta mengkaderkan anak-anak muda PAS.
Pagi yang indah ini , jumaat yang berkah sebelum kita menyeruput kopi hangat dan aroma sarapan pagi , dunia Islam dan ahli gerakan Islam dikejutkan dengan seorang lagi tokoh kanan Ikhwanul Muslimin telah pulang ke negeri abadi. Beliau sering muncul dipaparan media pasca revolusi aman 2011, namun figura Ikhwan ini sering keluar masuk penjara Mesir semenjak tahun 1981 di era Hosni Mubarak. Tokoh dengan guratan wajah genius dan cerdas ini mewakili pihak Ikhwanul Muslimin, implikasinya kita semua mengenali Esam Eryan dimana beliau juga dianggap sebagai jurucakap bagi gerakan Islam tersebut.
Pengalaman panjang serta kompetensi yang dimiliki oleh sosok cerdas ini,Esam Eryan diberi amanah untuk menggalang jawatan sebagai salah seorang daripada anggota kanan Maktab Irsyad. Jika PAS mempunyai Majlis Syura Ulama sebagai badan tertinggi hirarki parti, Maktab Irsyad adalah merupakan badan tertinggi dalam pertubuhan Ikhwanul Muslimin.
Kejayaan Ikhwanul Muslimin memobilisasikan rakyat Mesir sehingga tersungkurnya Hosni Mubarak maka sebuah sayap politik telah ditubuhkan . Ini bagi membolehkan Ikhwan berpartisipasi dalam kancah politik demokrasi di tanah bekas jajahan British dan Peranchis itu. Dr Mohamad Morsi dilantik sebagai Presiden FJP manakala Essam pula diamanahkan sebagai timbalan presiden Parti Kebebasan & Keadilan (FJP), yang berfungsi sebagai sayap politik bagi Ikhwanul Muslimin. Sheikh Abdul Hadi Awang antara tokoh yang mencadangkan supaya sayap politik Ikhwan Muslimin ini diwujudkan bagi melicinkan usaha merengkuh sokongan massa dan parti Islam ini berjaya akhirnya berada dikoridor kuasa.
Esam mendapat reputasi yang cemerlang dalam komunikasi media , beliau menjadi jambatan penghubung antara FJP dengan masyarakat umum serta media awam. Beliau dapat meluncurkan idea -idea dengan baik dan menggilap imej parti Islam pasca revolusi itu dengan baik serta informasi tentang FJP dapat disampaikan ke khalayak dengan bergaya sekali .
FJP sendiri berjaya mengoperasikan stesyen TV bagi menyampaikan maklumat, aktiviti seranta dan pengukuhan imej tokoh-tokoh Ikhwanul Muslimin. Prestasi Ikhwanul Muslimin mencuat dalam Pilihanraya bahkan mereka berjaya juga menonjolkan Dr Morsi dalam Pilihanraya Presiden Mesir dan menabalkan Morsi sebagai presiden Mesir yang kelima . Esam antara pemain utama media dan penggarap imej FJP dikhalayak awam.
Sinar kebahagiaan akhirnya diredam dengan rakus oleh pihak tentera Mesir yang bersekongkol dengan musuh-musuh Ikhwan pada Jun 2013. Morsi dijatuhkan dengan tindakan kudeta tentera seterusnya membawa kepada pembantaian skala besar kepada Ikhwanul Muslimin. Medan Rabiah telah berkubang darah dengan ribuan anggota dan penyokong Ikhwan ,FJP telah digiring ke penjara pasca kudeta 2013.
Esam Aryan juga kemudiannya telah ditangkap oleh pentadbiran kudeta yang dipimpin oleh Jeneral as Sisi. Esam sebagaimana yang lain, berselimut dengan intimidasi, penyiksaan dan pengabaian hak didalam penjara Mesir. Beliau selama tujuh tahun ini mendekam dalam penjara regim ,dengan pelbagai tuduhan palsu dan tak munasabah dimahkamah regim kudeta yang membabitkan hukuman penjara terhadap beliau selama 150 tahun.sosok berjasa ini telah kembali mengadap Tuhan yang Esa dalam usianya 66 tahun dengan " alasan" kematiannya akibat serangan jantung.
Hanya Allah SWT yang mengetaui akan setiap perkara yang berlaku. Semoga mahkamah Rabbul Jalil sebagai sebaik-baik penghakiman kepada setiap perbuatan zalim kepada para pejuang Islam. Berehatlah wahai sang pejuang!
( Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI)
Ulasan