Iman Dan Integriti


Semua kalangan menegaskan betapa pentingnya integriti menjadi suatu konsep yang sangat penting dalam memimpin dan mengurus, khususnya dalam aspek politik yang paling mencabar. Hal ini demikian kerana, kedudukannya yang paling berkuasa dan berpengaruh dalam kehidupan manusia, termasuklah terhadap mereka yang kononnya melarikan diri daripada politik. 

Apa yang disebutkan oleh golongan yang melarikan diri daripada politik itu hanyalah cakap kosong sahaja kerana kedudukan mereka juga mesti berada di bawah bumbung yang sama. Hal ini laksana berada di bawah langit yang luas, menaungi dan mempengaruhi seluruh kehidupan individu, keluarga dan masyarakat mengikut ketetapan Allah SWT, khususnya bagi makhluk manusia. 

Perkara ini telah pun diisytiharkan sejak diciptakan Adam AS lagi. Sesungguhnya tiada kuasa yang boleh membatalkan ketetapan Allah SWT itu. Hal ini selari dengan firman Allah SWT:

﴿كَيۡفَ تَكۡفُرُونَ بِٱللَّهِ وَكُنتُمۡ أَمۡوَٰتٗا فَأَحۡيَٰكُمۡۖ ثُمَّ يُمِيتُكُمۡ ثُمَّ يُحۡيِيكُمۡ ثُمَّ إِلَيۡهِ تُرۡجَعُونَ٢٨﴾ 

“Bagaimana kalian tergamak kufur (mengingkari) Allah, padahal kalian dahulunya mati (belum lahir), kemudian Allah menghidupkan kalian; setelah itu Dia mematikan kalian, kemudian Dia menghidupkan kalian pula (pada Hari Akhirat); akhirnya kalian dikembalikan kepada-Nya (untuk diberikan balasan bagi segala yang kalian kerjakan).” (Surah al-Baqarah: 28)

Maka, Islam menegaskan perspektifnya terhadap integritI yang perlu difahami, khususnya oleh penganut Islam yang beriman kepada adanya hisab dalam urusan dunianya apabila berada di alam akhirat nanti. 

Allah SWT berfirman:

﴿كُلُّ نَفۡسٖ ذَآئِقَةُ ٱلۡمَوۡتِۗ وَإِنَّمَا تُوَفَّوۡنَ أُجُورَكُمۡ يَوۡمَ ٱلۡقِيَٰمَةِۖ فَمَن زُحۡزِحَ عَنِ ٱلنَّارِ وَأُدۡخِلَ ٱلۡجَنَّةَ فَقَدۡ فَازَۗ وَمَا ٱلۡحَيَوٰةُ ٱلدُّنۡيَآ إِلَّا مَتَٰعُ ٱلۡغُرُورِ١٨٥﴾ 

“Tiap-tiap yang bernyawa pasti akan merasai mati, dan bahawasanya pada Hari Kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan bagi kalian. Ketika itu, sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga, maka sesungguhnya dia telah beruntung. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan.” (Surah Ali ‘Imran: 185)

Semua perkara yang berlaku di dunia merupakan ujian Allah SWT kepada manusia yang diberikan ni‘mat hidup dengan kurniaan-Nya setelah mereka diciptakan. Kemudiannya, segala urusan mereka akan dikembalikan kepada Allah SWT untuk dihisab dan dihukum.

Perkataan integriti terbit daripada perkataan integrĭtas atau integrãtis yang berasal daripada bahasa Latin yang disebutkan dengan perkataan integer, bermaksud keseluruhan atau lengkap. Dalam konteks objektifnya, integriti ialah rasa ‘keutuhan kualiti kejujuran dan sifat ketekalan’. 

Oleh yang demikian, ‘memiliki integriti’ ialah sejauh mana seseorang itu bertindak sesuai dengan iman (kepercayaan dan prinsip) yang dianut dengan hati yang ikhlas. Maka, konsep integriti sekali-kali tidak berpisah dengan iman kerana pemisahannya laksana berpisah nyawa daripada jasad. Integriti tanpa iman laksana bangkai tanpa nyawa. 

Integriti ialah amalan bersikap jujur ​​dan menunjukkan kepatuhan tanpa kompromi terhadap prinsip dan nilai moral serta etika yang kuat. Dalam etika, integriti dianggap sebagai kejujuran dan kebenaran atau ketepatan tindakan seseorang. 

Integriti itu berlaku dengan iman yang ikhlas kepada Allah SWT tanpa bersifat munafiq. Keikhlasan itu keluar daripada hati yang beriman, seterusnya menggerakkan seseorang itu bertindak melalui anggota jasadnya. Adanya sifat munafiq bermakna imannya ditolak oleh Allah SWT. 

Semua makhluk berada di bawah pengawasan Allah SWT, Tuhan yang Maha Mengetahui. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT:

﴿لِّلَّهِ مَا فِي ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَمَا فِي ٱلۡأَرۡضِۗ وَإِن تُبۡدُواْ مَا فِيٓ أَنفُسِكُمۡ أَوۡ تُخۡفُوهُ يُحَاسِبۡكُم بِهِ ٱللَّهُۖ فَيَغۡفِرُ لِمَن يَشَآءُ وَيُعَذِّبُ مَن يَشَآءُۗ وَٱللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَيۡءٖ قَدِيرٌ٢٨٤﴾ 

“Segala yang ada di langit dan di bumi adalah kepunyaan Allah. Dan jika kalian melahirkan apa yang ada di dalam hati kalian atau kalian memyembunyikannya, nescaya Allah akan membuat perhitungan dengan perbuatan kalian tersebut. Kemudian Dia mengampunkan bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan menyeksa sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” (Surah al-Baqarah: 284)

Islam menegaskan wujud integriti dengan adanya iman. Tanpa iman, maka tiada integriti yang sebenar. Firman Allah SWT:

﴿ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَلَمۡ يَلۡبِسُوٓاْ إِيمَٰنَهُم بِظُلۡمٍ أُوْلَٰٓئِكَ لَهُمُ ٱلۡأَمۡنُ وَهُم مُّهۡتَدُونَ٨٢﴾

“Orang-orang yang beriman dan tidak mencampuradukkan iman mereka dengan kezaliman (syirik), mereka itulah orang-orang yang mendapat keamanan dan mereka itulah orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.” (Surah al-An‘am: 82)

Syirik dengan makna yang luas, termasuk perkara yang tersembunyi. Menafikan syirik juga bermaksud ikhlas dengan percaya kepada Allah SWT dan Hari Akhirat serta balasannya mengikut perhitungan pahala dan dosa yang dijanjikan. 

Amalan yang ikhlas dilakukan bukan kerana makhluk, termasuk manusia dan undang-undang ciptaan mereka. Walau bagaimanapun, tindakan undang-undang wajib dikuatkuasakan berkonsepkan amar ma‘ruf dan nahi munkar dengan tahapnya yang mendidik, bukannya untuk menghukum semata-mata. 

Tindakan undang-undang Islam pula memecahkan segala kekebalan. Hal ini demikian kerana, tiada sesiapa yang dapat mengatasi dan boleh melarikan diri daripada undang-undang yang telah menjadi ketetapan Allah SWT. 

Walaupun wujud tindakan melawan undang-undang Islam oleh sesiapa sahaja yang berlagak kuasa, namun setiap Muslim percaya bahawa seseorang itu tidak akan terlepas daripada mahkamah Allah. Khususnya setelah mereka meninggal dunia kelak, malah hukumannya pula lebih halus dan keras sekiranya seseorang itu tidak dihukum di dunia dan tidak sempat bertaubat.  

Keimanan itu berlaku tanpa ada keraguan sedikit pun. Firman Allah SWT:

﴿إِنَّمَا ٱلۡمُؤۡمِنُونَ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ بِٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ ثُمَّ لَمۡ يَرۡتَابُواْ وَجَٰهَدُواْ بِأَمۡوَٰلِهِمۡ وَأَنفُسِهِمۡ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِۚ أُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلصَّٰدِقُونَ١٥﴾

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu hanyalah orang-orang yang percaya (beriman) kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka tidak ragu-ragu dan mereka berjuang (berjihad) dengan harta dan jiwa mereka pada jalan Allah. Mereka itulah orang-orang yang benar.” (Surah al-Hujurat: 15)

Perkataan jihad dalam ayat di atas juga termasuk berjihad melawan hawa nafsu sendiri yang mengejar pangkat dan harta dengan rakus, sehingga hilangnya perhitungan pahala dan dosa. Maka, seseorang yang beriman dan berintegriti tidak akan mempedulikan kedudukan harta dan pangkat, demi menunaikan amanah yang ditugaskan kepadanya.

Maka, Islam meletakkan syarat dan rukunnya iaitu Islamnya seseorang itu dan memiliki sifat ‘adalah (adil) terhadap semua jawatan penting dalam negara dan masyarakat dengan takrif yang kuat dan teguh. 

Syarat Islam dengan maksud beriman kepada seluruh ajaran Islam, aqidah, syariat dan akhlak. Manakala, bersifat adil pula dengan maksud adil kepada dirinya tanpa melakukan dosa besar. Jika seseorang itu melakukan dosa besar, maka hendaklah bertaubat. 

Selain itu, tidak berterusan dengan melakukan dosa kecil yang banyak kekerapannya. Pada masa yang sama, tidak melakukan perkara yang menjatuhkan maruah, sekalipun perbuatan itu tidak berdosa. 

Syarat yang diwajibkan merangkumi bersifat adil, sama ada secara individu mahupun kolektif sepertimana saksi dalam perkara yang besar dan berat atau tugas besar yang dilaksanakan bersama secara kumpulan. 

Keikhlasan niat menjadi syarat sesuatu amalan itu diterima Allah SWT. Hal ini disebabkan oleh firman-Nya:

﴿وَمَآ أُمِرُوٓاْ إِلَّا لِيَعۡبُدُواْ ٱللَّهَ مُخۡلِصِينَ لَهُ ٱلدِّينَ حُنَفَآءَ وَيُقِيمُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَيُؤۡتُواْ ٱلزَّكَوٰةَۚ وَذَٰلِكَ دِينُ ٱلۡقَيِّمَةِ٥﴾

“Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan) agama yang lurus, dan supaya mereka mendirikan solat dan menunaikan zakat; dan hal yang demikian itulah agama yang lurus.” (Surah al-Bayyinah: 5)

Seorang ulama’ yang mengajar agama tetap dihumban ke dalam neraka kerana tidak ikhlas kepada Allah SWT dan mempengaruhi orang ramai semata-mata untuk kepentingan dirinya. 

Seseorang yang bertindak zalim terhadap kaum yang lain juga dihumban ke dalam neraka, walaupun golongan yang dizalimi itu musuh mereka. Keadaan ini berlaku akibat sikap fanatik dan semangat kebangsaannya sehingga tidak berlaku adil kepada semua. Seorang dermawan masuk neraka kerana tidak ikhlas menyumbang bukan kerana Allah SWT.  

Allah SWT mendedahkan sifat munafiq yang sedia bersumpah, walaupun pada hakikatnya mereka berbohong kerana tidak mempunyai keimanan dan keikhlasan dalam dirinya. Firman Allah SWT:

﴿سَيَحۡلِفُونَ بِٱللَّهِ لَكُمۡ إِذَا ٱنقَلَبۡتُمۡ إِلَيۡهِمۡ لِتُعۡرِضُواْ عَنۡهُمۡۖ فَأَعۡرِضُواْ عَنۡهُمۡۖ إِنَّهُمۡ رِجۡسٞۖ وَمَأۡوَىٰهُمۡ جَهَنَّمُ جَزَآءَۢ بِمَا كَانُواْ يَكۡسِبُونَ٩٥ يَحۡلِفُونَ لَكُمۡ لِتَرۡضَوۡاْ عَنۡهُمۡۖ فَإِن تَرۡضَوۡاْ عَنۡهُمۡ فَإِنَّ ٱللَّهَ لَا يَرۡضَىٰ عَنِ ٱلۡقَوۡمِ ٱلۡفَٰسِقِينَ٩٦﴾

“Kelak mereka akan bersumpah kepada kalian dengan nama Allah, apabila kalian kembali kepada mereka, supaya kalian berpaling daripada mereka. Maka, berpalinglah daripada mereka; kerana sesungguhnya mereka itu adalah najis dan tempat bagi mereka ialah jahannam; sebagai balasan atas apa yang telah mereka kerjakan. (95); Mereka akan bersumpah kepada kalian, agar kalian reda kepada mereka. Akan tetapi, jika sekiranya kalian reda kepada mereka, sesungguhnya Allah tidak reda kepada orang-orang yang fasiq itu. (96)” (Surah al-Tawbah: 95-96)

Firman Allah SWT:

﴿وَٱلَّذِينَ ٱتَّخَذُواْ مَسۡجِدٗا ضِرَارٗا وَكُفۡرٗا وَتَفۡرِيقَۢا بَيۡنَ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ وَإِرۡصَادٗا لِّمَنۡ حَارَبَ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ مِن قَبۡلُۚ وَلَيَحۡلِفُنَّ إِنۡ أَرَدۡنَآ إِلَّا ٱلۡحُسۡنَىٰۖ وَٱللَّهُ يَشۡهَدُ إِنَّهُمۡ لَكَٰذِبُونَ١٠٧﴾

“Dan (antara orang-orang munafiq itu) ada orang-orang yang mendirikan masjid untuk menimbulkan kemudaratan (pada orang-orang Mukmin), untuk kekufuran dan untuk memecahbelahkan antara orang-orang Mukmin serta menunggu kedatangan orang-orang yang telah memerangi Allah dan Rasul-Nya sejak dahulu. Mereka sesungguhnya bersumpah, ‘Kami tidak menghendaki selain kebaikan’. Dan Allah menjadi saksi bahawa sesungguhnya mereka itu adalah pendusta (dalam sumpahnya).” (Surah al-Tawbah: 107)

Seorang sahabat RA yang ditugaskan supaya mengumpulkan zakat daripada penganut Islam dan cukai daripada bukan Islam, tetapi dengan ikhlasnya sahabat itu melaporkan kepada Rasulullah SAW bahawa ada sumbangan yang diberikan adalah untuk peribadinya. Lalu, Rasulullah SAW menegurnya dengan mengajukan satu soalan:

“Adakah sekiranya kamu berada di rumah ibumu tanpa tugas yang diamanahkan, sumbangan itu tetap akan dihantar kepadamu?

Soalan yang sangat menusuk hati seseorang yang berintegriti.

Ciri integriti yang berlandaskan Islam mempengaruhi manusia untuk menerima Islam tanpa paksaan, sehingga pengaruhnya masuk ke dalam masyarakat majmuk apabila Islam itu berdaulat dalam sebuah negara dan masyarakat. 

Apabila Maharaja Parsi yang tumbang kerajaannya menghantar utusan kepada Maharaja China untuk meminta bantuan ketenteraan, Maharaja China tidak melayannya dan mengambil sikap berdamai dengan kerajaan Islam yang baru muncul itu kerana mengetahui pengaruhnya terhadap rakyat tidak boleh dihalang sekali-kali. Hal ini sebagaimana yang dicatatkan dalam sejarah seperti berikut:

أَنَّهُ ‌لَمْ ‌يَمْنَعْنِي ‌أَنْ ‌أَبْعَثَ ‌إِلَيْكَ ‌بِجَيْشٍ ‌أَوَّلُهُ ‌بِمَرْوَ ‌وَآخِرُهُ ‌بِالصِّينِ الْجَهَالَةُ بِمَا يَحِقُّ عَلَيَّ، وَلَكِنْ هَؤُلاءِ الْقَوْمِ الَّذِينَ وَصَفَ لِي رَسُولُكَ صِفَتَهُمْ لَوْ يُحَاوِلُونَ الْجِبَالَ لَهَدُّوَهَا، وَلَوْ خَلى سربهم أَزَالُونِي مَا دَامُوا عَلَى مَا وَصَفَ، فَسَالِمْهُمْ وارض مِنْهُمْ بِالْمَسَاكِنَه، ولا تهجم مَا لَمْ يُهِيجُوكَ.

“Sesungguhnya tiada suatu apapun yang dapat menghalang beta daripada menghantar bala tentera yang panjangnya di antara Marwa (sebuah daerah di Parsi) dengan China kerana beta berkemampuan melakukannya. Namun, setelah mendengar sifat orang-orang Islam, beta berpendapat bahawa tiada kemampuan untuk menghalang kemaraan mereka. Hal ini demikian kerana, umat yang begitu sifatnya tidak boleh dihalang kemaraannya dengan peperangan. Sekiranya dihalang oleh bukit bukau dan gunung-ganang sekalipun, nescaya mereka dapat menghancurkannya. (Al-Tabari, Tarikh al-Tabari, jld. 4, ms. 172–173)

Maharaja China itu bertindak sedemikian apabila dikhabarkan berkenaan pemerintahan Islam yang berkuasa dan berintegriti dengan keadilannya. Maka, Islam mula masuk ke dalam masyarakat China sejak zaman awalnya, bahkan hingga kini terdapat masjid bersejarah di China yang dibina sejak abad pertama Hijrah lagi.

Sejarah China juga merekodkan adanya raja-raja yang menganut Islam di beberapa wilayah. Malah, kerajaan Kublai Khan mampu bertahan lama bersama pegawai-pegawai Islam yang berintegriti. 

Majoriti rakyat wilayah Parsi dahulu menganut Islam hingga kini, sehingga mereka yang menganut agama Majusi hanya tinggal menjadi golongan minoriti. Suasana ini menandakan tiada paksaan dalam beragama.

Semua hal tersebut berlaku apabila Islam diberikan peluang untuk melaksanakan syariatnya dengan sempurna. Semuanya dapat diketahui apabila Islam itu dikaji dengan jujur, tanpa gangguan kedengkian sehingga menghalang kebenaran ditegakkan. 

Garis penamatnya ialah asas yang dinyatakan oleh firman Allah SWT:

﴿وَقُلِ ٱعۡمَلُواْ فَسَيَرَى ٱللَّهُ عَمَلَكُمۡ وَرَسُولُهُۥ وَٱلۡمُؤۡمِنُونَۖ وَسَتُرَدُّونَ إِلَىٰ عَٰلِمِ ٱلۡغَيۡبِ وَٱلشَّهَٰدَةِ فَيُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمۡ تَعۡمَلُونَ١٠٥﴾

“Dan katakanlah: “Bekerjalah kalian, maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang Mukmin akan melihat pekerjaan kalian itu, dan kalian akan dikembalikan kepada (Allah) Tuhan yang Maha Mengetahui akan perkara yang ghaib dan nyata, lalu diberitakan-Nya kepada kalian apa yang telah kalian kerjakan.” (Surah al-Tawbah: 105)


ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS

Bertarikh: 28 Sha‘ban 1443 / 31 Mac 2022

Ulasan