Tarikh PRU15 Diputuskan Secara Kolektif


ALOR SETAR - Keputusan tarikh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tertakluk kepada persetujuan secara kolektif oleh Kabinet Perikatan Nasional (PN) bukan keputusan Perdana Menteri (PM) dan UMNO semata-mata.

Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob difahamkan sukar untuk berbuat demikian kerana UMNO bukan terdiri dari Presidennya manakala PN bukan terdiri pemimpin UMNO sahaja.

"Perdana Menteri pun susah nak buat (tentukan) tarikh pilihan raya ni, kita tunggulah kerana mengikut perlembagaan yang boleh menetapkan tarikh pilihan raya ialah kabinet, kabinet ni bukan majoriti UMNO, ia majoriti PN dalam kabinet dan parti-parti lain termasuk parti-parti dari Sarawak. 

"Jadi PM tidak boleh sebarangan membuat keputusan dan tidak boleh bergantung dengan UMNO semata-mata," ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam Sidang Media selepas menyampaikan Ucapan Dasar Muktamar Tahunan PAS Ke-68 di Kompleks PAS Kedah di Kota Sarang Semut di sini hari ini.

Mengenai pembahagian kerusi antara parti-parti kerajaan beliau berkata perundingan masih berjalan dan keputusan muktamad mengenainya  belum dibuat kerana tarikh PRU15 belum diketahui.

"Pilihan raya umum  belum diumumkan, tidak tahu bila (pilihan raya itu akan diadakan) ia ada dalam ilmu Allah dan pembahagian kerusi sedang berjalan dan belum selesai lagi, masih dalam perundingan manakala perundingan terus berjalan dengan semua pihak," ujarnya.

Katanya, PN melibatkan parti-parti Melayu dan bukan bumiputera manakala Muafakat Nasional (MN) melibatkan parti-parti Melayu Islam.

"Ada perunding berjalan dengan parti Melayu dan bukan Melayu yang tidak ekstrim dan tidak mustahil dalam politik, PAS boleh bekerjasama dengan UMNO/BN dalam pilihan raya," jelasnya.

Mengenai lambang atau simbol calon pilihan raya , PAS katanya, masih mendengar pandangan akar umbi dan keputusan dijangka akan dibuat dalam muktamar kali ini.

"Di kalangan akar umbi kita (PAS) ada yang mahu kekalkan simbul lama, ada yang mahu supaya pakai simbul baru, ada yang menimbulkan masalah warna dan sebagainya.

"Ini biasalah kita akan pertimbangkan segala pandangan akar umbi (untuk membuat keputusan).Muktamar ini akan ada keputusan yang akan dibuat mengenai simbul calon pilihan raya,' jelasnya.


Ulasan