MARANG - Kerjasama dengan Bersatu melalui Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 adalah untuk memastikan agenda Islam terlaksana.
Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang berkata, begitu juga hasrat 'bertahaluf' dengan Umno, namun syarat dikemukakan jelas tidak akan mampu menyatukan parti politik Melayu.
"kita hendak betulkan keadaan kita mesti ajar melalui pilihan raya ini seboleh-bolehnya PN perlu menang kerusi yang banyak bagi membolehkan menubuhkan kerajaan sendiri.
"Ataupun jika Umno tidak boleh tubuh kerajaan selepas PRU melainkan kena pakat kerjasama.
"kali ini kita minta pakat moleklah, pendirian kita tegas dalam bekerjasama yang boleh membawa kepada agenda kita, yang tidak terima, kita tolak," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Markas Besar P 037 Marang, di Dewan Tok Guru, Rusila, semalam.
Ustaz Had turut menyifatkan kerjasama dengan Umno tidak boleh diteruskan kerana berlaku 'kekeruhan' dalaman parti itu sendiri.
"Kita hendak ambil yang jernih, kalau diteruskan bekerjasama kalau ditakdirkan menang ia umpama putik, tidak masak.
"kalau kait durian putik dan makan jadi kembung perut, kena masak betul-betul, tiba-tiba pemimpin Umno salah faham, dia kata saya 'gelar' dia durian dan dia kata PAS ini timun.
"Tak apalah, biar luruh lepas tu biar jadi tempoyak selam dalam budu ambil timun letak atas, cicah mudah sahaja, saya sebut di Kelantan kerana orang sana suka budu, " ujarnya.
Dalam pada itu, tegas beliau Pakatan Harapan (PH) perlu ditolak kerana mendatangkan mudarat besar dalam negara termasuk ada dalam kalangan pemimpinya mengamalkan rasuah.
"Dalam PH ada penerima dan pemberi rasuah, 'tokey besar' yang kata-kata sokong mereka dan mengharapkan kemenangan, ada pemberi dan tukang terima.
"Dalam Umno hanya ada penerima rasuah, yang masih dibicara, yang sedang dibicarakan tetapi zalim kerana merampas royalti Terengganu tidak pasal-pasal.
"Di Kelantan melambatkan royalti, ini zalim. Ketika PN mentadbir, Terengganu dapat balik royalti, Kelantan tidak sempat.
"Kerana itu saya sebut di Kelantan dalam ceramah kalau PN menang kita akan beri royalti," katanya lagi.
Ulasan