Jihad Wajib Tatkala Musuh Menakluki Negara Islam


MARANG - Hukum berjihad menjadi fardhu ain, wajib kepada setiap orang Islam apabila musuh sudah menakluki dan memerintah negara. 

Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Hadi Awang berkata, ulama semua mazhab menggariskan ketetapan tersebut yang mewajibkan perang di seluruh pelusuk dunia. 

"Kita menyaksikan kewujudan negara Israel hasil daripada pakatan Ahzab zaman moden di kalangan kuasa-kuasa besar yang menganut pelbagai ideologi.

"Mereka didukung pemimpin munafik yang mempertahankan kewujudan Israel. Setelah mereka gagal untuk menghapuskan Islam dengan senjata, mereka melaksanakan al-harb al-siyasi, perang politik", tegas Ahli Parlimen Marang itu. dalam Ceramah Perdana Kembalikan Al-Quds di Marang, pada Jumaat 24 Februari. 


Beliau turut mengulas antara perang politik ialah dengan mendesak negara Islam supaya mengiktiraf negara haram Israel. Para ulama sudah pun menfatwakan bahawa negara Israel adalah negara haram dan tidak boleh diiktiraf.

"Kemudian mereka melaksanakan agenda baru iaitu agenda normalisasi terhadap kewujudan Israel. Padahal kewujudan Israel itu sendiri di luar tabie.

"Sesungguhnya tanggungjawab kita mempertahankan Palestin sangat besar. Kita percaya bahawa kedatangan orang Yahudi ke Palestin adalah untuk dikuburkan mereka, bukan untuk hidup selama-lamanya. Akan tiba masanya umat Islam akan bersatu dan mengalahkan Yahudi," ucapnya.

Untuk rekod, Terengganu merupakan destinasi terakhir persinggahan sebelum Minggu Al-Quds melabuhkan tirainya. Antara acara yang telah berlangsung sepanjang Minggu Al-Quds Sedunia peringkat Negeri Terengganu ialah Ceramah Perdana, Kayuhan Basikal, Khutbah Perdana Al-Quds serta Pertandingan Mewarna.



Ulasan