Jertih dikuasa oleh puak-puak ‘Gedebe’ – penyelewengan dan pembaziran berterusan

Jertih, 1 Februari – Sebaik sahaja berita berkenaan ‘MB khianati, jiran tetangga, orang kampungnya sendiri’ didedahkan kepada umum, beberapa ‘gedebe’ peliharaan MB telah menemui Pak Nong dan memaksa Pak Nong keluar serta merta dari rumah dan tanahnya yang telah diambil oleh kerajaan untuk kerja-kerja pembesaran masjid Seberang Jertih.

Maklumat ini telah didedahkan kepada BuletinOnline oleh Hj Hassan Salleh, bekas calun PAS bagi DUN Jertih, ketika sesi temubual BuletinOnline di rumahnya di Alor Lintah, dekat sini, kelmarin.

“Pak Nong memberitahu saya perihal puak-puak Gedebe semasa saya menziarahi Pak Nong hari ini” jelas Hj Hassan Salleh.

“AlhamduliLlah, Pak Nong telah berpindah kerumah baru, tapi Pak Nong merasa cukup sedih, kerana jalan kerumah barunya terpaksa menempuh kawasan bekas tapak rumah dan tanahnya,
”setiap kali lalu disitu, Pak Nong rasa macam nak menangis” jelas Hj Hassan.

‘Puak-puak Gedebe’ telah digunakan oleh Idris sejak tahun 2002 untuk menjalankan kerja-kerja mengugut dan lain-lain kerja ‘jahat’ di dalam DUN Jertih serta Daerah Besut didalam usahanya untuk menang. Banyak insiden ‘buruk’ yang telah berlaku, termasuk serangan keatas warga kerja Urusetia Penerangan Negeri Terengganu(UPNT) yang telah mencederakan beberapa petugas. Walaupun kejadian itu telah menjadi pengetahuan umum, tapi pihak polis tidak mengambil apa-apa tindakan.

Justeru itu, puak-puak Gedebe bebas bertindak kerana mereka seolah-olah mendapat perlindungan dari pihak berkuasa.

“Puak-puak ni juga sekarang sedang mengugut para peniaga di Pasar Jertih”,

“mereka kata kalau nak tengok pasar Jertih disiapkan, mesti undi UMNO pada pilihanraya kali ini” kata Hj Hassan lagi

Pasar Jertih yang baru disiapkan oleh Kerajaan lalu, telah dipecahkan dan diubahsuai semula. Ini adalah antara pembangunan yang membazir yang sedang berlaku di Jertih. Pengubahsuaian pasar Jertih juga menyusahkan paa peniaga kecil yang terdiri dari orang-orang Melayu. Gerai-gerai yang menjual goreng pisang serta air batu turut ‘dirombak’ mengakibatkan mereka kehilangan mata pencarian.

Sementara itu, Kumpulan Orang-orang Cina anak watan Jertih juga memberitahu perkara yang sama. Wakilnya, Encik Lee Ting Wan @ Api memberitahu Buletinonline orang-orang Cina anak watan Jertih tidak pernah melihat sebuah kerajaan yang membazir dan meyeleweng sebagaimana kerajaan yang dipimpin oleh Idris sekarang.

Mereka menyatakan keluhan terhadap apa yang berlaku di Bandar Jertih sekarang. Tidak ada pembangunan untuk premis perniagaan yang baru dan sewa premis perniagaan sedia ada menjadi mahal.

Api yang pernah dilantik sebagai Ahli Majlis Daerah Besut sewaktu pemerintahan PAS juga mendedahkan terdapat penyelewengan didalam pengagihan rumah kos rendah.

“Mereka cakap, orang dapat rumah murah, orang susah tak dapat, orang sebang dapat”,

“kemudian mereka jual rumah kepada orang lain” jelas Api.

Selain itu Api juga kesal kerana kerajaan UMNO/BN menafikan hak orang-orang Cina anak watan Jertih. Kerajaan dibawah pimpinan Idris dikatakan telah melantik JKKK bukan dari kalangan anak watan dan rakyat tempatan, tetapi telah melantik orang Cina yang dilahirkan di negeri China, yang berhijrah ke Malaysia dan tinggal di Jertih.

Orang Cina Jertih Tidak Mudah Lupa

Jertih, 31 Jan – Masyarakat keturunan Tionghua yang dilahirkan di Jertih, Besut, Terengganu, masih tidak lupa ‘negeri berkebajikan’ PAS sewaktu memerintah Terengganu dari tahun 1999 hingga 2004.

Itulah kata-kata yang diungkapkan oleh Encik Lee Ting Wan, 62, anak jati kelahiran Jertih. Beiau tidak pernah keluar ‘merantau’ dari Jertih, sejak kecil sehinggalah menjadi warga emas kini. Tanah tumpah darahnya adalah Jertih, tempat jatuhnya dan tempat bermainnya adalah bandar Jertih.

“Sapo nok tahu sejaroh Jertih, nak tanyo gapo-gapo, kawe buleh royak” katanya dengan fasih, dengan loghat orang Besut.

Dia tidak berpeluang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Namun, kemahiran yang telah ditakdirkan kepadanya adalah untuk menjadi Tukang Jahit. ‘Holy Tailor’ adalah kedai jahit milik Lee atau yang dikenali oleh orang Jertih sebagai ‘Api’, terletak dideretan kedai lama, disebelah kanan Bandar Jertih sekiranya kita menuju ke Kota Bharu.

“Tak pernah kerajaan sebelum ini yang memberi anugerah tanah kepada orang cina, hanya kerajaan PAS dibawah kepimpinan Tok Guru Hj Hadi” jelasnya apabila ditanya mengapa masyarakat Cina Jertih tidak lupa kepada kerajaan PAS.

“Kerajaan beri 10 lot tanah, di Padang Landak. Kami semua telah bayar bila telah pecah lot”

“Tapi bila Deris perintah, dia rampas semula. Dia robohkan” kata Api

“Kerajaan PAS juga beri rumah murah, sebanyak 10 buah di Seberang Jertih, bila BN berkuasa dia batalkan semula” terang Api dengan nada yang bersungguh-sungguh.

Peristiwa merampas tanah di Padang Landak dan penarikan semula pemberian rumah murah tidak akan dilupakan oleh masyarakat Cina Jertih. Mereka kesal dan marah.

“MCA juga beri wang Ehsan, tapi beri kepada orang senang, bukan orang susah, mereka pilih kasih”,

“orang yang sokong MCA dapat, walaupun kaya. Orang Cina yang tidak sokong MCA akan diugut” jelas Api lagi, apa ditimbulkan soal pembahagian wang Ehsan dikalangan masyarakat Cina Jertih.

“Hari ni ada pimpinan MCA datang jumpa saya, nak beri wang Ehsan kepada saya”,

“saya kata tak payah, saya tak lapar pitih ehsan, beri saja kepada orang susah” kata Api.

Api juga menceritakan kepada BuletinOnline bagaimana sebenarnya MCA Besut bukan memperjuangkan nasib orang Cina. Sebagaimana budaya yang ada didalam UMNO, begitujugalah budaya didalam MCA.

Mereka berebut jawatan didalam parti MCA, kerana apabila mempunyai jawatan yang tinggi dalam parti, mereka akan mendapat laba dari projek-projek.

“Mereka berbalah, sampai bertumbuk, pecah muka-muka”,

“Sekarang MCA Besut digantung, kepimpinan MCA negeri mengambil alih MCA Besut” kata Api menerangkan kepada BuletinOnline bagaiaman budaya yang sedang melanda MCA Besut setelah mengambil alih pemerintahan negeri Terengganu bersama rakan ‘kaotim’ mereka parti UMNO.

Apabila diminta mengulas tentang pembangunan untuk masyarakat Cina yang telah dilaksanakan oleh UMNO/BN di Jertih, Api menggeleng-geleng kepala sambil berkata “mana ada pembangunan!”

“Malah saya cuba dihalau macam ‘anjing’ dari kedai ini, sedangkan saya adalah anak watan Jertih, saya lebih tua dari Deris, lebih tahu selok belok Jertih” kata Api lagi.

Pengerusi MTD Jertih mahukan Idris

Jertih, 3 hb Feb – Kontrovesi samada MB Terengganu, Idris Jusoh terus mempertahankan kerusinya di DUN Jertih menimbulkan pelbagai reaksi dari orang ramai.

Kontrovesi tersebut telah lama timbul dikalangan penduduk Jertih walaupun media perdana baru menyiarkannya pada 16 Januari lalu. Isu ini menjadikan percakapan rakyat Terengganu sejak September lalu apabila tercetusnya Insiden Berdarah Batu Burok, 8 September 2007, yang dikaitkan dengan permainan politik, Setiausaha Politik Kementerian Dalam Negeri, Wan Farid.

Dato’ Mustafa Ali, Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu mengatakan beliau mempunyai bukti bahawa Wan Farid sebagai perancang Insiden Berdarah Batu Burok. Tindakan Wan Farid mencetuskan Insiden Berdarah Batu Burok adalah dikatakan untuk melemahkan kedudukan Idris sebagai MB.

Kempen mahukan Wan Farid sebagai Menteri Besar telah digunakan olekh kem UMNO Kuala Terengganu, dengan slogan ‘Idris MB Besut’. Wan Farid telah menafikannya pada 1 Februari lalu dengan mengatakan bahawa ianya adalah satu spekulasi. Walaubagaimanapun isu pengkhianatan Idris terhadap rakyat Terengganu terutamanya di DUN Jertih menguatkan lagi spekulasi yang Idris akan bertanding untuk kerusi Parlimen.

Namun begitu, pendapat Pengerusi MTD Jertih agak berbeza. Hj Hassan Salleh yang ditemui oleh BuletinOnline mengatakan bahawa dia lebih suka jika Idris terus bertanding di Jertih.

“Saya harap Idris akan kekal di Jertih, pada tahun 2004, Pak Lah isytiharkan Idris akan menjadi Menteri Besar sekiranya menang di Jertih” kata Hj Hassan

“Pada Pilihanraya Umum kali ini, kita nak dengar, Pak Lah nak isytihar apa pula” tambahnya.

Beliau berpendapat persaingan tidak akan menjadi sengit di DUN Jertih sekiranya kerusi DUN Jertih ditandingi oleh orang lain. Ini adalah kerana buat waktu ini, semangat ahli, penyokong dan rakyat Jertih adalah untuk menjatuhkan Idris.

Selain dari rakyat di DUN Jertih melihat dan mendengar perbalahan dikalangan pemimpin UMNO yang berebut projek, rakyat hilang kepercayaan terhadap Idris kerana Idris telah membiarkan Jertih di kuasai oleh ‘puak-puak gedebe’ kata Hj Hassan.

“Pelbagai kezaliman UMNO terhadap rakyat di Jertih khususnya dan Terengganu umumnya telah menyedarkan orang-orang bawahan bahawa mereka telah tersalah pilih” kata Hj Hassan.

Antara kezaliman UMNO adalah membatalkan pemberian tanah oleh kerajaan PAS kepada rakyat. Kerajaan PAS telah bermurah hati menganugerahkan tanah kepada rakyat Besut melalui skim RTB Padang Landak, RTB Padang Luas dan Alor Lintang.

“Rakyat melihat penipuan UMNO. Mereka mengatakan RTB Padang Landak akan dijadikan sekolah, namun sehingga kini, ia masih kosong dan tidak diambil tindakan apa-apa” jelas Hj Hassan.

Selain itu rakyat melihat kerajaan Terngganu telah membazirkan wang rakyat dengan projek-projek yang sengaja diada-adakan untuk tujuan diagih-agihkan kepada pimpinan UMNO dan kroni-kroninya. Sebagai contoh, kerajaan telah merobohkan pasar Jertih yang baru siap serta pembesaran Masjid Seberang Jertih yang tidak perlu dilaksanakan kerana ianya terlalu hampir dengan masjid ‘mega’ Hadhari di Bandar Jertih, yang menelah kos RM 18 juta.


Ulasan