Menjelang Sidang DUN Terengganu – ‘Geng’ 22 menjadi tumpuan, ADUN PAS sudah bersiap

Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu yang akan bermula pada 5hb Mei akan menjadi tumpuan kerana ‘Geng 22’ akan turut hadir menyertai Mesyuarat Yang Pertama,

Penggal Persidangan Yang Pertama, Bagi Dewan Undangan Negeri Kedua Belas itu.
Bahkan 10 orang dari mereka akan menjadi ‘tukang jawab’ kepada soalan-soalan yang dikemukakan oleh ADUN kerana telah dilantik sebagai anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) Terengganu.

Perlantikan anggota Exco kerajaan Terengganu bulan lalu disifatkan banyak pihak sebagai tidak mempunyai kualiti dan moral yang rendah.
Ini kerana, kesemua 10 orang Exco tersebut pernah menyertai 12 orang ADUN lain, bergabung membentuk Geng 22 yang memprotes dan menentang perlantikan Dato’ Mad Said Menteri Besar (MB)Terengganu sekarang.

Malah, Geng 22 telah menandatangani surat sokongan dan taat setia kepada bekas Menteri Besar, Idris Jusoh serta mengugut akan memboikot majlis angkat sumpah MB dan akan meletakkan jawatan sebagai ADUN.


Ketua Geng 22 walau bagaimana akan duduk didalam Dewan Negeri sebagai ADUN biasa kerana tidak dilantik semula sebagai anggota Exco.


Walaupun Rosol Wahid dari segi kekananannya (seniority) sebagai Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Terengganu sepatutnya dilantik, namun kerana sikapnya yang melampau mengetuai Geng 22, namanya tidak dicadangkan.


Namun begitu dua orang Exco lama dikekalkan, Rahin Said dan Awang Tera dikekalkan kerana mereka dilihat oleh pihak MB sebagai ‘orang yang terpaksa’ mengikut ketua Geng 22.


Sementara itu, ADUN PAS telah pun membuat persiapan untuk menghadiri Sidang DUN yang pertama bagi penggal ini.
Diantara mereka YB Ustaz Mohd Nor Hamzah ADUN Bukit Payung akan melangkah masuk ke Dewan Negeri buat kali pertama. Ketika ditemui minggu lalu, beliau memberitahu Buletin Online segala persiapan berjalan lancer, malah beliau telah pun siap menempah baju rasmi yang wajib dipakai oleh semua ADUN pada hari pembukaan nanti.

Beliau diberi tanggungjawab untuk memastikan portfolio Agama dan Penerangan Negeri Terengganu berjalan mengikut lunas Islam sebenarnya dan akan mempersoalkan setiap tindak tanduk Exco berkenaan sekiranya didapati gagal menjalankan amanah rakyat.


Selain beliau, Dato’ Tengku Hasan Tengku Omar, ADUN Kawasan Ladang, akan kembali ke Wisma Darul Iman setelah dipaksa meninggalkan pusat pentadbiran negeri itu 4 tahun yang lalu kerana dipecat oleh Bekas Menteri Besar Idris Jusoh pada tahun 2004.


Sebagai bekas Pegawai Kewangan Negeri, beliau diberi amanah memastikan hal ehwal pentadbiran, kewangan dan pembangunan ekonomi negeri Terengganu akan berjalan lancar dan benar-benar membawa manfaat kepada seluruh rakyat.

PAS juga memberikan amanah kepada orang lama, Dato’ Ustaz Harun Taib ADUN Manir sebagai Ketua Whip PAS bagi penggal ini, selain akan mencadangkan beliau sebagai ketua pembangkang di Dewan Undangan negeri Terengganu.


Dewan Sidang Undangan Negeri Terengganu yang akan diadakan pada 5, 6, 7, dan 8hb Mei ini dijangka akan ‘panas’ dengan perbahasan yang berkisar kepada persoalan berkaitan kemajuan dan perlaksanaan program-program kerajaan negeri Terengganu pada sesi lalu, memandangkan ianya adalah penggal yang pertama.

Sudah pasti topik-topik hangat berkaitan projek mega seperti Monsoon Cup Pulau Duyong, Masjid Kristal Pulau Wan Man, Pembangunan Muara Sungai Terengganu, Kompleks Sukan dan Menaiktaraf Lapangan Terbang akan memanaskan Sidang DUN kali ini. Projek-projek tersebut sebelum ini telah pun diperkatakan oleh Menteri Besar, Dato’ Mad Said sebagai projek yang tidak membawa manfaat yang banyak kepada rakyat Terengganu.

Idris Jusoh, bekas Menteri Besar yang menjadi ‘partner’ kerajaan Pusat didalam membelanjakan bernilion ringgit duit rakyat dari Dana Khas Kerajaan Persekutuan/Wang Ehsan/ Royalti pasti akan panas punggung walaupun tidak lagi duduk diatas kerusi Menteri Besar.

Ulasan