Rasuah dan penyelewengan menyebabkan Bajet ‘tiris dan bocor’

Hulu Terengganu - PAS tidak yakin bajet yang dibentangkan Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Badawi di Parlimen kelmarin akan dapat disampaikan dengan sempurna kepada rakyat kerana masalah ‘ketirisan’ dan ‘kebocoran’ dalam pengurusan.


Kebimbangan terhadap perkara tersebut, dinyatakan oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang ketika menjawab persoalan pihak media berkaitan perkara Bajet 2009 dalam sidang media selepas Majlis Konvokesyen Kolej Universiti Darul Quran Islamiah (KUDQI), di Dewan Utama KUDQI, Kubang Lembek, semalam.


“Apa yang membimbangkan saya ialah ‘ketirisan, kebocoran’ daripada peruntukan-peruntukan yang sering kali berlaku. Saya masih tidak mempunyai suatu keyakinan,”katanya.


Menurut beliau pelaksanaan (penyampaian) bajet yang bentang itu tidak akan sempurna selagi kerajaan tidak dapat membersihkan negara daripada amalan rasuah dan penyelewengan.


Justeru itu, katanya PAS kominted mahu membenteraskan amalan rasuah serta penyelewengan yang berlaku dalam negara ini.


“Kita (PAS) mengharapkan akan berlaku perubahan dan kita (PAS) mahu langkah-langkah membersih negara dari rasuah dan penyelewengan diteruskan.


“Kita (PAS) mengharapkan Perdana Menteri yang ada ini dapat melihat kelemahan-kelemahan yang ada dan membaiki kesilapan-kesilapan yang telah dilakukan itu,” tegasnya.

Beliau yang juga Anggota Parlimen Marang menyatakan bahawa penyediaan peruntukkan yang besar belum tentu lagi dapat menyelesaikan masalah rakyat kerana bergantung kepada pelaksanaanya.


“Peruntukan besar belum tentu lagi dapat menyelesaikan masalah, bergantung kepada pelaksanaannya. Saya harapkan tidak ‘bocor’, tidak ‘tiris’ dan jika bocor lagi jawabnya tidak selesai masalah,” ujarnya.


Walau bagaimanapun beliau berkata kesalahan (rasuah dan penyelewengan) tersebut bukan hanya terletak dibahu Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi selaku Perdana Menteri sahaja.


Menurutnya, kesilapan tersebut adalah kerana telah menjadi amalan ‘orang’ (pemimpin kerajaan) yang terdahulu dan beliau terpaksa memikulnya.


“Ini bukan kesalahan Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi sahaja tetapi beliau memikul kesilapan oleh mereka (pemimpin) yang lalu. Dalam tempoh lebih 50 tahun negara Merdeka, beliau terpaksa memikul tanggungjawab ini,” jelasnya.



Siapa PM tidak penting, Islam mesti berkuasa

Hulu Terengganu – Dasar Islam yang jelas dibawa PAS meletakkan matlamatnya, Islam mesti menguasai pemerintahan Negara, tanpa mengira siapa yang bakal meneraju kepimpinan sebagai Perdana Menteri.

“Kita (PAS) tidak kira siapa kerana yang penting Islam menguasai negara. Anwar ke, siapa ke…itu tidak penting. Cumanya, dasar PAS Islam mesti menguasai pemerintahan ini,” tegas Presiden PAS, Dato’ Seri
Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang ketika mengulas isu pembentukan kerajaan Pakatan Rakyat.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Konvokensyen Kali Ke Enam, Kolej Universiti Darul Quran Islamiah (KUDQI) di Dewan Utama Kolej tersebut, Kubang Lembek, Manir, hari ini.

Beliau enggan mengulas panjang dan berkata persoalan tersebut mesti menunggu masa dan tarikh 16 September 2008 akan datang, apabila beliau diminta mengulas lanjut kenyataan Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa tarikh 16 September 2008 bakal mengubah senario politik Negara.


“Itu kena tunggu 16 September dan saya pun belum dapat senarai yang dikatakan mereka (Ahli Parlimen) akan masuk Pakatan Rakyat,” jelasnya.


Hadir sama pada majlis tersebut ialah Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Mustafa Ali dan Timbalannya, Dato’ Ustaz Harun Taib selaku penasihat dan pengerusi kolej berkenaan yang ditubuhkan sejak enam tahun lalu.

Ulasan