Faktor Khalid Tidak Berasas


Kuala Nerus - Tuduhan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad yang menyatakan pendekatan keras dan tiada senarai keutamaan menyebabkan PAS Terengganu tewas di tangan BN dalam pilihanraya umum ke-12 yang lalu, disifatkan oleh PAS Terengganu sebagai tidak berasas dan agak ‘sombong’.

“Jangan suka tuduh, sebenarnya kenyataan (Khalid) macam sombong sikit,” kata Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Ustaz Hj Abu Bakar Chik ketika ditemui selepas majlis berbuka puasa bersama Pesuruhjaya PAS Terengganu di Maahad Tahfiz Wal Tarbiyah dekat sini petang semalam.


Menurut beliau banyak faktor samada faktor luaran atau dalaman parti yang menyebabkan kekalahan PAS di Terengganu pada pilihanraya umum yang lalu.


Beliau berkata amalan demokrasi yang tidak memenuhi
piawaian sepatutnya juga menyumbang kepada kekalahan tersebut.


”Sebab itu timbul isu pada pilihanraya yang terakhir, nak pakai dakwat (kemudian) tak jadi pakai dakwat pada saat akhir, nak pakai borang mati stem tapi saat akhir ditarik,
”kemudian
tahun 2004 dalam dua hari sebelum mengundi tak boleh pakai bangsal panas tiba-tiba hari terakhir dibenarkan pakai bangsal panas, kita tak tahu sedangkan UMNO tahu,”jelas beliau, ketika memberikan respon terhadap kenyataan Khalid.

Ustaz Abu Bakar Chik yang juga Jawatankuasa PAS Pusat merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bedah Siasat (Post-Mortem) Pilihanraya PAS Terengganu menegaskan isu pengundi hantu adalah satu isu yang masih relevan.


”Soal pengundi hantu, kita (PAS) pada peringkat jawatankuasa ‘post-mortem’ negeri Terengganu dan jawatankuasa peringkat pusat merasa hairan dari segi jumlah pengundi yang keluar terlalu tinggi di negeri terengganu, sampai tahap 90%,

“kita juga merasa hairan, jumlah pengundi yang sangat tinggi, (jumlah) penduduk yang kurang lebih satu juta (tetapi) pengundinya setengah juta,”tegas beliau.

Beliau mendedahkan melalui kajian post-mortem yang telah dibuat, tidak terdapat faktor sebagaimana yang dinyatakan Khalid menjadi sebab kepada kekalahan PAS Terengganu pada pilihanraya umum yang lalu.

“Kajian telah dibuat diperingkat apa yang Khalid sebut tidak ditunjukkan oleh penyelidikan yang kita buat,

“faktor yang disebut oleh Khalid tidak kami (PAS) ditemui daripada post-mortem melalui jentera parti dan juga penyelidikan diperingkat bawah,”terang beliau.

Beliau menerima hakikat kemenangan (PAS) dinegeri-negeri lain, namun sejauh mana ketahanannya adalah bergantung kepada pilihanraya yang ke 13 akan datang.


Beliau tidak faham apa yang diperkatakan oleh Khalid dan meminta Khalid untuk memberitahu apa yang dibuat oleh PAS Terengganu yang tidak membetuli dengan (kaedah) Islam.

“Kita sedia mendengar dan sedia perbaiki,”tambah beliau.


DUN Ladang Kekal Bersama PAS

Kuala Terengganu - Berikutan kegagalan pempetisyen membuktikan dakwaan bahawa kerani Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak melaksanakan tugas dalam mengendalikan kertas undi pos, Mahkamah Pilihan Raya di sini hari ini, menolak petisyen pilihan raya oleh UMNO Terengganu.

Keputusan itu dibacakan oleh Hakim Datuk Ramly Ali yang menolak permohonan UMNO Terengganu untuk membuat pemeriksaan rapi dan pengiraan seula undi pos bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang.

"Setelah menimbang semua keterangan, pempetisyen gagal membuktikan petisyen (yang memohon pemeriksaan rapi dan pengiraan undi pos). Dengan ini petisyen (UMNO Terengganu) ditolak," katanya.

Pada 28 April lepas, UMNO Terengganu memfailkan petisyen memohon pemeriksaan semula dilakukan terhadap 127 undi pos bagi DUN Ladang yang ditolak SPR pada hari pengundian 8 Mac lepas.

Petisyen tersebut dikemukakan oleh Ketua UMNO Cawangan Lorong Kemunting, Mahari Endut yang menamakan tiga pihak iaitu Pegawai Pengurusan Pilihan Raya bagi Parlimen Kuala Terengganu, Dato’ Md Razali Kassim, SPR dan Anggota Dewan Undangan Negeri Ladang, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar sebagai responden.

Mahari diwakili oleh barisan peguam diketuai Datuk Muhammad Shafee Abdullah manakala Peguam Kanan Persekutuan, Datuk Kamaluddin Mohd Said mewakili SPR dan Tengku Hassan pula diwakili peguam Dato’ Wan Abdul Muttalib Embong.

Pada pilihan raya umum ke-12 8 Mac lepas, calon PAS Dato’ Tengku Hassan Omar mengalahkan Bekas Exco Terengganu, Dato’ Wan Hisham yang menjadi calon Barisan Nasional (BN) dengan majoriti.

Bernama memetik kata Wan Abdul Muttalib berkata mahkamah menolak petisyen yang dikemukakan oleh UMNO Terengganu kerana tiada keterangan daripada saksi-saksi pempetisyen yang boleh membatalkan kemenangan Tengku Hassan itu.

Beliau berkata mahkamah mendapati kerani-kerani SPR telah melaksanakan tugas dengan sempurna serta mengikut undang-undang dalam mengendalikan kertas undi pos berkenaan.

Sementara itu, Dato’ Tengku Hassan berkata sejak daripada awal, beliau sudah menjangka untuk memenangi kes itu.

Sehubungan itu, beliau berkata tugasnya kini adalah untuk memberi sepenuh perhatian dalam memberikan khidmat kepada pengundi di DUN Ladang.

Ulasan