Isu Royalti - Ahmad Said Tuduh MAMPAT Cuba Menjadi Hero


Kuala Terengganu - Menteri Besar Dato’ Ahmad Said seolah-olah tidak senang dengan usaha yang dilaksanakan oleh Majlis Pemuafakatan Rakyat Terengganu (MAMPAT) terutamanya dalam soal menuntut royalti minyak.

Usaha MAMPAT menyerahkan memorandum rakyat hasil Konvensyen Royalti yang dianjurkan Badan NGO tersebut pada 14 Jun lalu kepada Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong tidak dianggap sebagai usaha ‘menyokong’ oleh kerajaan negeri Terengganu.

Ahmad Said apabila ditanya mengenai tuntutan MAMPAT supaya royalti itu dinaikkan kepada 20 peratus, beliau berkata, isu tersebut wajar diselesaikan oleh kerajaan negeri.

''Tak perlu ada pihak yang cuba menjadi hero untuk menyelesaikan masalah royalti kerana kerajaan negeri sudah pasti akan memaklum kepada rakyat akan jumlahnya nanti," ujar beliau kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Khatam Program Pintar al-Quran Kanak- kanak Tadika Peringkat Negeri di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak, semalam.


Terengganu Belum Menerima Royalti – MAMPAT mengadap SPB Yang Di-Pertuan Agong

Kuala Terengganu - Majlis Permuafakatan Rakyat Terengganu (MAMPAT) pada hari Selasa ( 16/9, semalam) telah mengadap SPB Yang Di-Pertuan Agong AL-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin, merafak sembah rintihan dan harapan Rakyat Terengganu khususnya dan Rakyat Malaysia Amnya.

”Tujuan utama MAMPAT mengadap SPB Yang Di-Pertuan Agong adalah untuk menpersembahkan hasil kehendak dan harapan Rakyat Terengganu melalui Resolusi Konvensyen Royalti Petroleum yang telah dianjurkan oleh MAMPAT pada 14 Jun 2008 yang lalu,”kata Pengerusi MAMPAT Mohamad Fauzi bin Abu Samah dalam sidang media yang diadakan di kediaman Penaung MAMPAT, Tengku Seri Paduka Raja.

Menurut Fauzi antara penegasan yang dibuat pada Konvensyen tersebut adalah Royalti Petroleum merupakan Hak Rakyat Terengganu dan ia mestilah dipulangkan berasaskan kepada segala fakta sejarah dan perundangan.

Selain itu beliau menegaskan perjuangan untuk mendapatkan kembali Royalti Minyak adalah PERJUANGAN RAKYAT tanpa mengira fahaman politik, agama dan kaum serta kegagalan menyerahkan Royalti adalah satu pencabulan kepada semangat federalisma.

Beliau berkata antara tuntutan yang telah dirumuskan oleh Peserta Konvensyen Royalti adalah menuntut Kerajaan Pusat untuk mengembalikan semula royalti yang telah dinafikan sebanyak 5 % dalam kadar yang segera selain menuntut supaya kadar Royalti kepada Negeri Terengganu dinaikkan kepada 20 % sehinggalah hilang status sebagai negeri termiskin di Semenanjung Malaysia.

”MAMPAT juga memutuskan untuk turut menyampaikan Resolusi Konvensyen kepada 9 Institusi lain selain daripada SPB Yang Di-Pertuan Agong termasuk Perdana Menteri (PM), Majlis Penasihat Pemangku Raja dan Menteri Besar untuk menyampaikan salinan Memorandum Rakyat sepertimana yang disampaikan kepada DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong,”kata beliau

Mengulas tentang majlis mengadap SPB Yang DiPertuan Agong, Fauzi berkata ia berlangsung selama kira-kira 30 minit dalam suasana yang amat mesra.

”Empat orang Ahli Majlis MAMPAT telah bersama di dalam Majlis Pertemuan ini. Perbincangan bermula pada kira-kira jam 11.30 am dan berakhir pada jam 12.05 tengahari,”jelas Fauzi

Mengulas lanjut janji Perdana Menteri berkaitan penyerahan royalti beliau berkata sehingga kini MAMPAT mendapat maklumat dan difahamkan bahawa JANJI-JANJI PM untuk menyalurkan Wang Royalti pada minggu pertama September 2008 adalah suatu PEMBOHONGAN di mana Kerajaan Negeri masih lagi tidak mendapat sebarang bayaran seperti mana yang dijanjikan.


Royalti - Belum Ada Tarikh Muktamad


Kuala Terengganu – Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said berkata tarikh sebenar kerajaan negeri akan memperoleh wang royalti itu belum dapat diumumkan walaupun sebelum ini beliau berkata ia akan dibayar pada bulan ini.

"Saya akan beritahu bila sampai masanya. Kita ada sedikit masalah teknikal yang kini dalam proses untuk diselesaikan," kata Ahmad yang dipetik Bernama hari ini

Perbincangan antara tiga pegawai tertinggi Kerajaan Negeri dengan Kementerian Kewangan semalam gagal menyelesaikan beberapa masalah teknikal mengenai tuntutan wang royalti minyak negeri ini.

Ahmad Said berkata dalam pertemuan itu semalam, kerajaan Terengganu diketuai Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mokhtar Nong, Pegawai Kewangan Negeri Datuk Mazlan Ngah dan Penasihat Undang-undang Negeri Mohamed Sekeri Mamat.

Masalah teknikal agak sukar diselesaikan kerana sebelum ini Ahmad menyebut beliau sendiri tidak tahu berapa perbelanjaan yang telah digunakan dan baki royalti yang bakal diserahkan kepada kerajaan negeri.

"Perjumpaan itu (semalam) adalah bagi menyelesaikan beberapa masalah teknikal termasuk mendapatkan maklumat mengenai perbelanjaan melalui projek yang dilaksanakan serta baki yang ada," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis khatam Program Pintar al-Quran Kanak-Kanak Tadika peringkat negeri di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak dekat sini hari semalam (Rabu).

Ulasan