Permainan ‘Politik Korporat’ GP menyebabkan Permint Plywood ditutup?

Rakyat Terengganu patut merasa hairan mengapa operasi premis kilang Permint Plywood Sdn Bhd di sewakan kepada sebuah syarikat swasta Rapid Skill Sdn Bhd sedangkan Permint Plywood adalah anak syarikat kepada sebuah syarikat gergasi kerajaan negeri Terengganu Golden Pharos Berhad (GP).

Lebih meghairankan, GP telah membiarkan beratus-ratus orang rakyat Terengganu menjadi penganggur kerana kehilangan pekerjaan apabila operasi kilang Permint Plywood ditutup dua kali pada tahun 2005 dan 4 September baru-baru ini.

GP adalah satu daripada dua anak syarikat kerajaan negeri Terengganu yang disenaraikan di Bursa Saham Kuala Lumpur.

Ia dikuasai oleh kerajaan Terengganu dengan pemilikan saham sebanyak 54% melalui Terengganu Incorporated (TI) dan mempunyai enam buah anak syarikat tempatan dan dua anak syarikat luar negeri.

Antara syarikat tempatan di bawah GP adalah Kumpulan Pengurusan Kayu-kayan Terengganu Sdn Bhd , Pesaka Terengganu Berhad , Pesama Timber Corporation Sdn Bhd , Golden Pharos Doors Sdn Bhd , Golden Pharos Glass Sdn Bhd , dan Permint Plywood Sdn Bhd

Manakala syarikat luar negeri yang menjadi syarikat dagangan GP adalah Golden Pharos Europe Ltd & XL Joinery Ltd yang beroperasi di Eropah serta United Kingdom dan Golden Pharos USA Inc, yang menjalankan operasi di Amerika Syarikat.

Pada 23 Jun lalu, GP mengumumkan akan menggunakan dua konsesi balak yang menjadi aset utama syarikat tersebut seluas 129,000 hektar bagi memantapkan operasinya.

Perkara tersebut didedahkan oleh Ketua Pegawai Operasi (CEO) GP, Datuk Maruan Mohd Said dalam satu termuramah dengan sebuah akhbar berbahasa Inggeris tempatan.

Beliau berkata tahun (2008) ini, GP akan mengeluarkan sebanyak 45,000 tan kayu balak dari konsesi tersebut yang diperolehi dari kerajaan negeri pada tahun 1979 dan 1983.

Hitung panjang harga bagi satu tan kayu adalah bergantung kepada jenis dan mutu kayu diantara RM 600.00 hingga RM 6,000.00.

Sekiranya dikira harga terendah sebanyak RM 600 setan, GP akan memperolehi pendapatan sebanyak RM 27 juta, manakala sekiranya dapat dijual dengan harga tertinggi, ia akan berjumlah RM 270 juta.

Maruan juga berkata dua anak syarikat GP iaitu, GP Door dan GP Glass telah menyumbang kepada perolehan syarikat sebanyak RM 30 juta dan RM 25 juta pada tahun 2007.

Perolehan dua syarikat anak GP tersebut telah menyumbang peningkatan perolehan kumpulan GP sebanyak 19.3% kepada RM 118.82 juta dari tahun sebelumnya sebanyak RM 99.63 juta.

Dengan kedudukan kumpulan GP yang begitu besar serta mempunyai aset yang kukuh, adalah tidak munasabah GP tidak mampu untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada 100 orang pekerja yang dibuang baru-baru ini !

Atau memang wujud campurtangan politik sebagaimana yang didakwa oleh pemilik Rapid Skill Sdn Bhd yang sengaja menyebabkan kilang Permint Plywood ditutup

Tapak Kilang Papan Lapis menjadi ‘port’ pencuri besi buruk

Kuala Nerus - Sebuah lagi Kilang papan lapis (plywood) yang ditutup semasa era Bekas Menteri Besar Dato’ Seri Idris Jusoh adalah terletak di Wakaf Tembesu, dekat sini.


Kilang tersebut yang ditutup pada tahun 2005 telah menyebabkan hampir 400 orang pekerja menganggur apabila majikannya bertindak memberhentikan tanpa notis 24 jam.


Penutupan kilang tersebut menjadi sejarah hitam kepada rakyat negeri Terengganu kerana walaupun kerajaan ketika itu dilihat ‘amat berkuasa’ namun rundingan serta campur tangan Adun Tepoh, Mohd Ramli Nuh dengan pihak kilang tersebut ‘gagal’.


Kini, tapak kilang yang terletak dijalan utama dari Batu Enam ke Gong Badak terbiar dan ditumbuhi oleh semak samun.

Selain ia mencacatkan pemandangan jalan menuju kepada pelbagai destinasi institusi pendidikan dan kompleks sukan Gong Badak, ia juga menjadi ‘syurga’ bagi pencuri besi buruk.


Buletin Online terserempak dengan dua individu yang sedang melakukan kegiatan jenayah itu baru-baru ini ketika membuat tinjauan ke kawasan tersebut.

Kawasan tapak kilang yang amat luas dengan beberapa bangunan yang masih kukuh berdiri, juga disyakki menjadi tumpuan aktiviti negatif yang lain seperti maksiat dan penagihan dadah.

Ulasan