Rapid Skill tutup operasi di Permint Plywood, 100 pekerja hilang mata pencarian, muka YB tak kelihatan !

Dungun - Seratus keluarga pekerja kilang terpaksa berjimat cermat menghadapi Ramadhan dan menyambut kedatangan Syawal yang akan menjelang tiba secara ‘ala kadar’ kerana telah hilang punca pendapatan akibat dibuang kerja.


Rapid Skill Sdn Bhd (Rapid Skill), syarikat yang menyewa premis anak syarikat kerajaan Terengganu, Permint Plywood Sdn Bhd (Permint Plywood), akan menutup operasi kilang papan lapis tersebut.

Syarikat yang beralamat di Taman Chukai Utama, Kemaman itu telah menghantar surat notis penamatan perkhidmatan kepada para pekerja pada 20 Ogos lalu.


”Sebab-sebab tutup kilang, kerana syarikat mendakwa dia mengalami kerugian,”kata wakil pekerja tersebut yang hanya mahu dikenali sebagai ‘Ahmad’, ketika ditemui Buletin Online di Bandar Al-Muktafi Billah Shah, dekat sini semalam


Beliau berkata kesemua 100 orang pekerja kilang tersebut telah mendapat surat dan akan mula meninggalkan kilang pada 4 September ini.


“Kami diambil berkerja secara kontrak setelah diberhentikan kerana Permint Plywood tutup dua tahun lalu,

syarikat Rapid Skill menyewa premis dari Permint Plywood secara kontrak,


“Syarikat kata kilang tutup kerana kurang bekalan kayu balak dan kenaikan bahan mentah,” kata Ahmad sambil menunjukkan surat notis tamat perkhidmatan.


Beliau berkata seramai 400 orang pekerja Permint Plywood telah diberhentikan kerja kerana anak syarikat kerajaan di bawah Golden Pharos Berhad (GPB) itu telah menghentikan operasi pengeluaran papan lapis dan menutup kilang tersebut sekitar tahun 2006.


Menurutnya dari jumlah tersebut hanya 100 orang sahaja yang memohon kerja daripada Rapid Skill apabila syarikat itu memulakan operasinya.


Buletin Online difahamkan Rapid Skill menyewa premis kilang Permint Plywood secara kontrak bersyarat selama tiga tahun.

Antara syarat lain adalah Rapid Skill dikatakan beroperasi dengan kayu balak yang dibekalkan oleh Kumpulan Pengurusan Kayu Kayan Terengganu (KPKK) yang juga sebuah anak syarikat dibawah naungan GPB.

“Kami syak ada sesuatu yang tidak kena dengan operasi syarikat, kerana pihak syarikat hantar surat notis secara tergesa-gesa,


“menurut apa yang kami ketahui, tidak ada apa-apa masalah dalam pengeluaran syarikat dan bekalan kayu balak cukup,” jelas Ahmad.


Menurutnya desas-desus Rapid Skill akan menutup operasinya terdengar selepas beberapa orang penguatkuasa dari Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu membuat pemeriksaan di premis kilang tersebut baru-baru ini.


“Apa yang tambah menyedihkan kami adalah Yang Berhormat kawasan ini langsung tak nampak batang hidung, walaupun telah dimaklumkan tentang perkara ini,


“Din Adam hanya jawab ‘tengoklah keadaan dulu, lagu mana’ waktu ketua cawangan menelefon beliau,” jelas Ahmad yang mendakwa terdapat satu cawangan UMNO yang didaftarkan dibawah Permint Plywood.

Beliau juga berharap kerajaan negeri Terengganu dapat memberikan perhatian terhadap nasib mereka kerana mereka adalah bekas-bekas pekerja Permint Plywood yang dimaklumkan secara bersurat bahawa penutupan Permint Plywood pada tahun 2006 dahulu adalah ‘penutupan sementara’.


Usaha PAS tingkat bidang pendidikan dihalang pihak berkuasa

Hulu Terengganu - Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Ustaz Harun Taib berkata PAS tidak pernah ketinggalan dalam menyediakan bidang pendidikan yang bermula seawal pra-sekolah, sekolah rendah, menengah hingga ke peringkat Universiti.

Beliau menyarankan agar umat Islam berusaha mencari ilmu pengetahuan di mana sahaja kerana menjadi keperluan yang amat penting dan mustahak masa kini.

Menurutnya Ilmu pengetahuan yang mendalam ibarat ‘senjata’ di zaman ini bagi menguasai dunia yang global agar tidak ketinggalan.

Beliau berkata pendidikan PAS berkembang maju sejak penubuhan pengajian pra-sekolah PASTI dan disambung dengan Sekolah-sekolah Rendah Islam seperti Darul At-Taqwa Batu Enam dan Kemaman, Darul Salam di Losong Kuala Terengganu, Darul Ehsan di Kubang Lembek Manir.

“Kita (PAS) terus maju dalam bidang pendidikan dengan menubuhkan Sekolah Darul Quran di peringkat menengah dan Kolej Universiti Darul Quran Islamiah (KUDQI),” jelasnya ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Graduan KUDQI Kali Ke-6, di Dewan Utama Kubang Lembek, Manir, 31 Ogos lalu.

Beliau yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Dakwah dan Pelaksanaan Syariah negeri ketika di bawah pemerintahan kerajaan PAS Terengganu mendakwa kejayaan PAS memasarkan anak-anak ke luar negara.

“Kita (PAS) bukan sahaja mampu menyediakan pendidikan kepada anak-anak di peringkat pra-sekolah, sekolah rendah dan menengah. Tetapi berjaya memasarkan anak-anak kita (PAS) ke luar negara untuk menyambung pengajian masing-masing,” ujarnya.

Menurutnya, anak-anak didik yang lulus di pusat-pusat pengajian yang disediakan berjaya melanjutkan pengajian di Mesir, Arab Saudi, Syria, Jordan, Yaman dan sebagainya.

Bahkan, katanya kejayaan yang lebih baik dan cemerlang pernah dicapai oleh para pelajar yang dihantar melalui pendidikan yang disediakan oleh PAS di luar negara.

Namun begitu, Ustaz Harun melahirkan rasa kesal dan dukacita dengan tindakan pihak berkuasa di negara ini melalui kedutaan tertentu cuba menyekat serta menutup usaha yang dilakukan oleh PAS itu.

Menurutnya, PAS mendapat maklumat jelas terdapat usaha di peringkat kedutaan tertentu yang mahukan beberapa buah Universiti terkenal seperti Al-Azhar di Mesir agar tidak mengiktiraf sistem pengajian Sekolah Agama Rakyat di negara ini.

Majlis Konvensyen KUDQI tersebut disempurnakan oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang dan hadir sama Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Mustafa Ali dan Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS Terengganu, Ustaz Abu Bakar Abdullah.

Ulasan