HIMPIT 2008 – Lebih 1500 Pemuda Berkampung di Pantai Pandak


Kuala Terengganu – Himpunan Pemuda Islam Terengganu (HIMPIT) 2008 yang bermula semalam, mencatat sejarah apabila berjaya menghimpunkan lebih 1500 orang pemuda dari seluruh negeri, dan berkampung selama dua hari di Pantai Pandak, Chendering dekat sini.


”Sehingga petang semalam, peserta yang mendaftarkan diri seramai 1500, jumlah tersebut meningkat dari pada HIMPIT 2007 tahun lalu,
”kawasan yang paling ramai adalah Marang dan Kuala Terengganu,”kata Pengarah HIMPIT 2008, Ustaz Ahmad Kamal Ali YANG ditemui selepas beliau melepaskan para peserta Larian HIMPIT 2008, pagi ini.

Beliau berkata kehadiran para peserta yang begitu ramai adalah diluar jangkaan kerana pihak Jawatankuasa Induk HIMPIT 2008 mensasarkan hanya 1000 orang yang akan hadir.

Selain itu, menurut beliau yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Kuala Terengganu, para pemuda yang datang pada tahun ini juga agak berlainan dari segi kelas umur mereka.

”Sebelum ini, HIMPIT pada tahun-tahun yang lalu, ramai disertai oleh pemuda-pemuda yang masih dalam persekolahan atau pengajian, kali ini agak berbeza, mereka yang datang terkeluar dari kategori itu,”ujarnya.

Mengulas perkara yang sama,
Penasihat HIMPIT 2008 Ariffin Deraman berkata komitmen, kesedaran serta keprihatinan pemuda di kawasan-kawasan adalah faktor utama menyebabkan penyertaan HIMPIT 2008 adalah paling ramai dalam sejarah.

”Mereka hadir atas kesedaran dan komitmen yang tinggi untuk melatih diri dan tarbiyah serta menyertai acara-acara yang diadakan sepanjang dua hari ini,”kata beliau yang juga Timbalan Ketua Pemuda PAS Terengganu.

”Beberapa tindakan susulan akan diambil terutamanya menumpukan program-program berbentuk ‘desentralisasi’ yang akan memusatkan program-program di peringkat DUN dan cawangan,”katanya apabila ditanya apakah tindakan susulan yang akan diambil oleh Pemuda PAS Negeri selepas ini.

HIMPIT adalah acara kemuncak tahunan bagi pemuda-pemuda yang menjadi ahli dan penyokong PAS di negeri Terengganu.

Program perkhemahan selama dua hari itu menumpukan aspek latihan jasmani dan rohani bagi memantapkan tenaga pemuda di cawangan-cawangan.

Disamping acara sukan dan rekreasi seperti Explorace, Larian HIMPIT, Sepak Takraw, Bolaspeak Pantai dan Sukan Rakyat, para peserta akan diisi dengan keperluan rohani seperti sesi motivasi, kuliah, tazkirah dan ceramah.



Program bercorak Islam UMNO Tidak Ada Roh ‘Halawatul Iman’ – Ustaz Abu Bakar Chik



Kuala Terengganu - Walaupun banyak program-program bercorak Islam yang dilaksanakan oleh UMNO, namun roh ‘Halawatul Iman’ (kemanisan iman) tidak ada dalam program-program tersebut.

Ia adalah kerana intipati Islam tidak ada dalam ‘induk’ parti UMNO yang sekular dan perjuangan UMNO diasaskan melalui perjuangan perkauman yang sempit.

Demikian dinyatakan oleh Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Ustaz Hj Abu Bakar Chik ketika menyampaikan ucapannya dalam majlis Himpunan Pemuda Islam Terengganu (HIMPIT) 2008 di pantai Pandak, Cendering dekat sini, kelmarin.


Beliau berkata PAS akan terus melaksanakan usaha untuk menghapuskan kezaliman dan menegakkan keadilan dalam masyarakat melalui kerja-kerja secara berjamaah dan ‘muwajahah salmiyah’.

Menurutnya muwajahah salmiyah adalah perjuangan aman dan perjuangan secara damai mendidik keluarga dan masyarakat menurut kehendak Islam.

”Nak buat kerja menghapuskan kezaliman, nak tegakkan keadilan dalam msyarakat kita, kaedah kerja kita adalah kaedah kerja berjamaah ataupun yang dipanggil sebagai ‘muwajahah salmiyah, perjuangan secara aman, perjuangan secara damai,

”kita didik anak isteri kita dengan Islam, muda-mudi jangan ikut pakaian bintang filem, penyanyi penari, ibu-ibu bapa-bapa pun ikut cara Islam,

”lagu mana akhlak Islam, lagu amalan hidup Islam, lagu mana cita-cita Islam, maka kita didik semua sekali,”kata beliau

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat berkata Islam menuntut umatnya menunjukkan kasih sayang diantara satu sama lain.

Oleh itu, katanya, kerana perasaan kasih sayang itu, ahli-ahli dan penyokong PAS wajib mengajak saudara-saudaranya termasuk ‘orang UMNO’ untuk kembali kepada Islam yang sebenar dan bersama-sama perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS.


”Kita kasih, kita sayang kepada diri kita, takut jasad dan roh kita dibakar api neraka, maka kerana kasih kita ini, kita kena menyampaikan kepada bangsa kita orang Melayu, supaya (mereka) terima Parti Islam (PAS),

”kita kena kasih kepada Allah dan Rasul lebih dari segala-galanya, kita kena kasih kepada saudara kita kerana Allah, maknanya kerana Allah kita nak ajak dia (orang UMNO) bersama-sama menegakkan agama Allah,”ujarnya.

Menurutnya, PAS mahu menegakkan bangsa Islam dan berjuang mengekalkan kemenangan Islam seperti pahlawan-pahlawan Melayu terdahulu yang berjuang menentang penjajahan.

Namun demikian katanya, perjuangan mendaulatkan martabat bangsa Melayu Islam, bukan bermakna PAS tidak mengambil kira bangsa-bangsa dan ugama-ugama lain yang ada dalam negara ini.

”kita kata kita nak menegakkan bangsa kita bangsa Islam, kita sekarang nak mendaulatkan martabat bangsa kita sebagai bangsa Melayu Islam,

“kita mengatakan begitu bukan makna kita tidak ambil kira orang lain, bukan makna kita tak ambil kira orang India, tak ambil kira orang Hindu,

”bahkan kita di dalam negara ini bermasyarakat majmuk, kita mengambil kira kedudukan orang lain, kerana RasuluLlah SAW menegakkan masyarakat Madinah sebagai masyarakat ‘plural’ atau masyarakat majmuk,”tambah beliau.

Ulasan