Kit Siang Berhari Raya Di Rumah Tok Guru, Guan Eng Harap Islam Jadi Teras Rapatkan Silaturrahim


Marang - Penasihat Parti Tindakan Demokratik (DAP) Lim Kit Siang mengunjungi Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sempena Aidil Fitri, di rumahnya di Kampung Rhusila dekat sini semalam.

Kit Siang hadir dengan diiringi oleh rombongan anggota DAP Terengganu tiba di perkarangan rumah Tok Guru pada jam 9.27 malam.

Kedua-dua pimpinan parti Pakatan Rakyat itu telah berbincang dan beramah mesra sambil menikmati hidangan juadah dan kuih raya.
Antara pokok perbincangan mereka adalah berkisar sekitar isu-isu politik negara dan hal ehwal semasa termasuk perkembangan Pakatan Rakyat dan pelan peralihan kuasa.

Turut bersama dalam pertemuan itu adalah Pesuruhjaya PAS Terengganu Dato’ Mustafa Ali dan Pengerusi Penaja DAP Kuala Terengganu Ng Chai Hing.

Buletinonline difahamkan Kit Siang akan disertai oleh beberapa pimpinan DAP lain dalam rangka percutian sempena Aidil Fitri.
Dalam perkembangan lain, Setiausaha DAP Lim Guan Eng berharap Islam akan menjadi teras kepada usaha merapatkan silaturahim antara kaum di negara ini.

"Seperti mana yang saya faham, Islam sebagai agama yang syumul atau universal adalah Ad-Din atau cara hidup menyeluruh yang mencakupi semua aspek kehidupan manusia sama ada ekonomi, politik mahupun social,
"ia tidak bersifat perkauman kerana Ad-Din adalah berteraskan sistem keadilan tanpa mengira kaum dan agama,
"sememangnya, saya amat menghormatinya dan berharap ia akan menjadi teras kepada usaha merapatkan silaturahim antara kaum di negara ini," kata Guan Eng dalam perutusan Eidulfitrinya yang dipetik Harakahdaily.

Beliau yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang percaya bahawa semua agama di dunia ini turut mengajak para umatnya melakukan kebaikan termasuk agama Islam itu sendiri.

Katanya al-Quran menyebut mengenai Amar Ma’aruf Nahi Mungkar, iaitu menyuruh melakukan kebaikan dan mencegah melakukan kejahatan dan yakin umat Islam yang beriman dan bertakwa pastinya menerima prinsip keadilan tulen untuk semua.

Menurutnya bagi pihak DAP, beliau percaya kepelbagaian kaum, agama, adat, budaya dan bahasa, tidak pernah menjadi penghalang atau membatasi kemajuan Malaysia.

Beliau turut mengajak rakyat Malaysia menolak politik jahat tersebut yang hanya mementingkan golongan kecil yang amalkan kemungkaran.

Sebaliknya, kata beliau, semua mestilah besatu di bawah panji nilai-nilai teras universal yang diterima semua iaitu, kebebasan, keadilan, kebenaran, keluhuran undang-undang dalam
Perlembagaan Persekutuan dan ketakwaan kepada Tuhan.

"Barulah kita boleh dirikan sebuah kerajaan bercorak demokrasi, ketuanan rakyat dan kepimpinan beretika mencontohi pemimpin agung Islam Khalifah Umar Abdul Aziz," katanya.
Rakyat Malaysia, kata beliau, tidak patut benci-membenci semata-mata kerana warna kulit atau fahaman agama yang berbeza.

Rumah Terbuka Cikgu Pa Pada 1 Syawal

Kuala Terengganu - Pesuruhjaya PAS Terengganu Dato’ Mustafa Ali menjemput semua sahabat handai dan rakan taulan yang dekat dan jauh, ke rumah beliau pada Eidul Fitri yang disambut hari ini, 1 Syawal.

Beliau telah menunaikan solat sunat EidulFitri bersama-sama ahli qaryah di Surau Taman Purnama berhampiran rumah beliau di Kuala Ibai, dekat sini.

Beliau yang juga penasihat bagi Jawatankasa Surau tersebut mengucapkan selamat hari raya kepada semua umat Islam, khususnya kepada semua ‘anak-anak qaryah’ yang pulang untuk berhari raya dari perantauan.

”Saya mewakili jawatankuasa (surau) mengucap khusus kepada perantau terutama sekali, hari raya beginilah mereka balik, mereka telah selamat balik dan semoga selamat pulang ke tempat masing-masing,”kata beliau yang menyampaikan ucapan selepas solat sunat Eidul Fitri.

Beliau juga mengharapkan semua umat Islam dapat menjalankan kehidupan dengan tenang selepas berjaya menempuh latihan sebulan berpuasa di bulan Ramadhan.

Selepas berucap, beliau turut menyampaikan sumbangan ‘duit raya’ kepada kanak-kanak yang turut bersama menunaikan solat sunat di Surau tersebut.

”Rumah terbuka selepas selesai di sini, hari ini” katanya apabila ditanya samada beliau mengadakan majlis rumah terbuka sempena Eidul Fitri


Kami harap dia akan pulang berhari raya – Nashar, ayah Sharlinie

Setelah kecewa dengan persekitaran hidup di bandar besar Petaling Jaya, keluarga Sharlinie telah berpindah balik ke kampong asalnya di Dungun Terengganu.

Harapan Mohd Nashar, 29, ayah Sharlinie, budak perempuan 5 tahun yang hilang tanpa sebarang berita sehingga kini, adalah untuk mencari suasana hidup yang tenang dan lebih menjamin keselamatan keluarganya.

Usaha kerajaan melalui agensi Ketengah membina rumah, dihargai oleh Nashar, namun menurutnya, ‘rumah tidak membawa makna yang besar bagi keluarganya tanpa Sharlinie’.

Dari wajah Nashar sewaktu sesi foto penyerahan ‘simbolik’ kunci rumah yang dibina, jelas kelihatan luka dihatinya yang tidak mungkin sembuh kecuali Sharlinie pulang kepangkuannya.

Sebuah akhbar berbahasa Inggeris melaporkan Nashar hanya senyum ‘sumbing’ ketika menerima replika kunci rumah tersebut, di sudut matanya masih tergenang airmata kesedihan yang tidak dapat disembunyikan.

Sedang pihak lain yang cuba meraih ‘populariti’, tersenyum lebar (hingga ke telinga) dan kelihatan berbangga dalam ‘agenda politik’ penyerahan rumah baru - mengambil kesempatan dari kesedihan dan kesusahan Nashar dan keluarganya demi kepentingan politik!

”Ia tidak dapat mengubati luka kehilangan Sharlinie, kami masih mengharap ‘dia’ akan pulang untuk berhari raya bersama kami,
“kami telah menyiapkan sepasang baju raya untuknya,”kata Nashar.

Kegagalan kerajaan menyelesaikan masalah kanak-kanak yang ‘ghaib’ tanpa kesan menggambarkan betapa rapuhnya soal-soal keselamatan dan memperlihatkan satu kelemahan paling ketara kepada penguatkuasa terutamanya kepada pasukan keselamatan.

Sharlinie telah hilang pada 5 Januari lalu selepas pergi bermain bersama kakaknya, Syarliena di Taman Mainan Kanak-Kanak PJ Syeksen 2, Taman Medan pada jam 11 pagi.

Sekitar Jam 11.30 pagi, setelah menyedari kehilangan adiknya, Syarliena pulang memberitahu ibunya lalu membuat laporan dibalai polis pada jam 2.00 petang.

Tidak dapat dipastikan apa prosedur yang diambil oleh pihak keselamatan, namun secara logik pemikiran, kehilangan yang baru dalam masa 3 jam, sekiranya operasi pencarian dikerah sesungguhnya, kemungkinan tragedi boleh dielakkan.

Selain Sharlinie, tragedi menyayat hati kesah Nurin masih dalam ingatan. Ia juga hilang tanpa kesan dan kembali kepangkuan keluarganya dalam beg sukan, dalam keadaan tidak bernyawa.

Antara tempoh Januari hingga Julai tahun lalu terdapat 34 kes kanak-kanak dibawah umur 9 tahun hilang lenyap, dan hanya 18 sahaja kes yang dapa diselesaikan.

Sehingga tempoh itu juga seramai 180 orang kanak-kanak disenaraikan oleh Polis DiRaja Malaysia sebagi hilang dan belum ditemui.

Ulasan