Lebih 3000 Hadir Rumah Terbuka PAS Terengganu.


Kuala Terengganu – Walaupun sudah 23hb Syawal, namun Majlis Rumah Terbuka PAS Terengganu yang diadakan diperkarangan Pejabat PAS, Taman Seri Intan dekat sini, disambut meriah Kelmarin.

Majlis yang bermula jam 12.00 tengahari dan berakhir pada jam 3 petang menyaksikan, lebih 3000 pengunjung dari pelbagai latar belakang bangsa dan ugama hadir meraikannya .

Sambutan pada tahun ini lebih besar dengan pelbagai juadah yang disediakan mengikut kawasan masing-masing dari Kemaman hingga ke Besut.

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Mustafa Ali dan semua Ahli Jawatankuasa Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT), Dewan Ulama’, Pemuda dan Muslimat hadir meraikan majlis tersebut.

Kawalan keselamatan parkir serta tunjuk arah lancar dengan khidmat beberapa orang sukarelawan dari Unit Amal Terengganu.

Dato’ Mustafa dalam ucapan ringkasnya mengalu-alukan kehadiran para tetamu serta orang ramai ke majlis rumah terbuka PAS Terengganu yang diadakan setiap tahun.

“Saya mewakili Badan Perhubungan PAS Terengganu merakamkan ucapan selamat hari raya aidilfitri dan maaf zahir batin.

“Pada hari dan bulan yang mulia ini adalah lebih baik kita saling bermaaf-maafan jika berlaku kesilapan,” ujarnya kepada para hadirin.

Bendahari PAS Terengganu, Haji Mohd Abdul Wahid Endut turut merakamkan ucapan salam aidilfitri serta mengharapkan suasana muhibbah dapat diteruskan.

Katanya, PAS bersama masyarakat dan majlis rumah terbuka tersebut menggambarkan hubungan PAS dengan rakyat terjalin.

“Saya ucap terima kasih kepada para hadirin ke majlis rumah terbuka PAS Terengganu dengan semangat muhibbah.

“Kita (PAS) bersama masyarakat dan perjuangan PAS kini untuk semua orang,” ujarnya dalam ucapan ringkas tersebut.

Ketua Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Azman Shapawi Abd Rani mengingatkan umat Islam terutama pemuda-pemuda agar terus bersama dengan perjuangan PAS.

Katanya, Pemuda PAS Terengganu tetap akan meneruskan usaha mendekati masyarakat terutama golongan muda yang terbiar.

“Pada hari raya ini Pemuda PAS Terengganu bertekad akan terus mendokong perjuangan parti dan sasaran kita selepas ini golongan muda.

“Golongan belia remaja kini semakin ‘liar’ dan Pemuda PAS kena ambil tanggungjawab mendekati mereka,” tegasnya.

Kemeriahan majlis serta keceriaan yang terpancar dari wajah muslimin dan muslimat yang hadir mengambil kesempatan untuk bertemu muka, bersalam-salaman dan bermaf-maafan diantara kepimpinan PAS negeri Terengganu dengan penyokong, pendokong dan seluruh rakyat.




PAS Hantar Memorandum Isu PRK IPTA

Kuala Terengganu - PAS akan menyerahkan memorandum berkaitan isu pilihan raya kampus (PRK) di Institusi Pengajian Tinggi Awam(IPTA) kepada Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Mohamed Khaled Nordin di Parlimen pada minggu hadapan.

Ketua Dewan Pemuda PAS, Salahuddin Ayob berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Himpunan Pemuda Islam Terengganu (Himpit) 2008, di Pantai Pandak, Chendering, Kuala Terengganu, semalam.

Beliau yang juga Anggota Parlimen Kubang Kerian berkata, memorandum tersebut adalah berkaitan proses pemilihan ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) IPTA yang masih ditakuk lama, tidak demokratik dan diwarnai dengan penyelewengan dan salah guna kuasa .

“Minggu depan saya akan menyerahkan memorandum kepada Menteri Pengajian Tinggi di Parlimen kerana kita (PAS) melihat bahawa tidak banyak perubahan yang berlaku dalam suasana pilihan raya di kampus.

“Walau pun telah nampak beberapa perkara baru yang cuba ditunjukkan iaitu memanggil kami (PAS) dalam forum-forum Universiti tetapi pilihan raya kampus masih lagi berada pada tahap yang lama,” ujarnya.
Bahkan, katanya terdapat para pelajar yang pro-pembangkang menerima ugutan serta dikenakan tindakan disiplin.

“Ugutan-ugutan masih lagi berterusan dengan tindakan disiplin, penggantungan semesta dan pengusiran mereka (pelajar) dari asrama.

“Kampus masih lagi tidak pulih dari segi menyuburkan demokrasi dalam kampus itu sendiri,”kata beliau yang turut melahirkan rasa dukacita dengan peranan Timbalan Naib Canselor dan Naib Cancelor yang seolah-olah menjadi jurucakap UMNO/Barisan Nasional (BN).

“Kita (PAS) amat kesal dengan perkara ini. Kita (PAS) nampak bahawa Timbalan Naib Canselor dan Naib Canselor masih lagi menjadi jurucakap kepada UMNO/Barisan Nasional bagi memastikan kumpulan pro-aspirasi mendapat kemenangan,” ujarnya.

Justeru itu, beliau menegaskan, Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 wajar dihapuskan bagi mengembalikan kebebasan demokrasi kepada para pelajar dan pensyarahnya.

Menurutnya kewujudan AUKU telah menyekat kebebasan para pelajar dan pensyarah terbabit serta boleh ‘membunuh bunga-bunga harapan’ di negara ini.

“Kerajaan masih lagi tidak melepaskan ‘cengkamannya’ terhadap universiti. Ini yang kita minta supaya AUKU dapat dikembalikan supaya kita dapat lihat kembali kebebasan berlaku di kampus sebagaimana yang kita (PAS) perjuangkan.

“Saya melihat ini suatu proses ‘membunuh’ potensi yang ada dalam diri pelajar-pelajar kita kerana pelajar dilayan seperti budak sekolah, pensyarah-pensyarah dilayan seperti guru sekolah rendah.

“Ini yang mereka (pelajar) terima dan bukan mereka diraikan sebagai ‘bunga-bunga harapan’ di masa akan datang,” jelasnya.

Katanya, AUKU tetap menjadi hambatan terbesar yang mencengkam kebebasan intelektual warga Universiti untuk maju.

Menurutnya, ranking (kedudukan) Universiti terus jatuh dan belum pernah negara ini meraih apa-apa anugerah sejak merdeka.

“Pensyarah tidak diberi kebebasan dalam menimbulkan dunia intelek mereka. Universiti tidak dijadikan satu medan untuk negara memperolehi hadiah-hadiah besar dan tidak pernah lagi kita (Malaysia) capai,” ujarnya.

Hadir sama pada majlis tersebut Timbalan Ketua dan Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasaruddin Hassan Tantawi, Ustaz Azman Shapawi Abdul Rani dan seluruh jawatankuasa Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu.

Ulasan