Masalah Sosial Yang Semakin Parah !

>

Lebih 250,000 anak luar nikah

Kuala Lumpur - Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sudah mengeluarkan 257,411 sijil kelahiran yang didaftarkan tanpa dicatatkan nama bapa dari 2000 hingga Julai lalu.

Bernama memetik Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata demikian ketika menjawab soalan R Sivarasa (PKR Subang).(gambar kanan)

Beliau berkata pendaftar tidak boleh mencatatkan nama bapa dalam sijil kelahiran bagi anak-anak tidak sah taraf iaitu anak-anak luar nikah, kecuali atas permintaan bersama ibu dan orang yang mengaku dirinya sebagai bapa, selaras dengan peruntukan Seksyen 13 Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 atau Akta 299.

“Bagaimanapun mengikut Seksyen 28 Akta 299, pendaftar berhak mendapatkan maklumat sebaik mungkin berkenaan ibu dan bapa yang sah bagi setiap kelahiran yang hendak didaftarkan.

“Ini bermakna pihak pendaftar boleh membuat siasatan bagi mendapat maklumat yang sahih bagi tujuan pendaftaran ke atas setiap kelahiran,” katanya


Lebih 7 kes Cabul, Rogol - Pemuda UMNO Tolak Bincang Masalah Sosial


Kuala Terengganu - Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayob berkata, pihaknya telah menghantar beberapa pucuk surat kepada kerajaan dan Pemuda UMNO bagi membincangkan masalah sosial yang kini menjadi isu nasional, namun tidak mendapat sebarang respon.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas masalah sosial yang semakin parah melanda khususnya di negeri ini dimana statistik jenayah menunjukkan Terengganu negeri paling tinggi berlaku kejadian rogol dan zina bawah umur.

Beliau turut mendesak kerajaan supaya satu pelan bertindak lebih komprehensif diwujudkan dalam usaha menyelesaikan masalah sosial yang semakin serius di kalangan remaja di negara ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata dalam keadaan zaman yang telah berubah, semua pihak perlu melihat secara holistik tentang pendekatan-pendekatan yang boleh digunakan terhadap remaja sekarang.

“Program-program perlu dilihat di samping pendekatan baru dan ini semua wajar kita fikirkan bersama. Saya lihat hiburan semata-mata yang dibuat Barisan Nasional (BN) telah menjadikan keadaan seperti ini berlaku.

“Pergaulan bebas, penyebaran bahan-bahan lucah secara tidak terkawal dan ini semua merupakan faktor utama yang harus kita fikir bersama agar masalah sosial remaja dapat diatasi demi masa depan agama, bangsa dan negara kita,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan HIMPIT 2008.

“Saya harap semua pihak dapat memberi komitmen untuk kita fikirkan perkara ini demi masa depan remaja kita,” katanya

Pada bulan ini sahaja (Oktober) pelbagai kejadian masalah sosial dilaporkan oleh media di negeri Terengganu, termasuk perbuatan lucah, klip video lucah pelajar sekolah, merogol dan cubaan merogol.


Seawal 2 Oktober, sewaktu bulan Ramadhan, seorang adik telah menendang bahagian kemaluan abangnya dan berjaya menyelamatkan maruahnya dari dicabul di Kampung Pantai Ali, Hulu Terengganu.

Rakyat Terengganu pada 14 oktober lalu telah dikejutkan dengan tindakan seorang remaja wanita 21 tahun yang telah merendam bayi yang baru dilahirkannya dalam baldi, sebelum mencampakkan bayi tersebut di kawasan masjid ‘Terapung’, Kuala Ibai.

Sebelumnya, pada 10 oktober, seorang remaja wanita yang sedang menonton televisyen di rumahnya terkejut apabila tiba-tiba seorang lelaki telah menceroboh masuk ke dalam rumahnya dan tanpa segan silu terus menunjukkan alat sulitnya ke arah mangsa.

Adegan tidak senonoh itu berlaku ketika remaja berusia 17 tahun itu hanya tinggal seorang diri di rumah keluarganya di Rumah Awam Kos Rendah Tok Randuk, Ajil, Hulu Terengganu kira-kira jam 8.30 malam.

Pada 16 Oktober, seorang warga emas berusia 66 tahun telah dicekup Pegawai Agama Daerah Besut, Nik Zulhaiza Ismail selepas dipercayai berasmara termasuk melakukakn ‘seks oral’ dengan seorang remaja wanita berusia 25 tahun di sebuah rumah tidak bernombor di sebuah kampung di Keruak, Hulu Besut.

Pada 21 Oktober, media melaporkan Klip video berjudul 'Tayangan Perdana' menggemparkan masyarakat kerana melibatkan seorang pelajar perempuan yang selama ini dianggap berakhlak.


Paling mengejutkan, aksi ghairah itu dirakam oleh seorang remaja lelaki menggunakan telefon bimbit di dalam sebuah kelas kosong di sekolah itu.

Pada 21 Oktober lalu, polis menahan seorang lelaki kerana disyaki merogol anak tirinya yang berumur 17 tahun dalam kejadian di Kampung Che Lijah, Dungun, semalam.


Tangkapan dilakukan selepas mangsa mengadu lelaki berumur 36 tahun itu merogolnya dalam semak ketika diajak oleh bapa tirinya untuk menemaninya ke rumah kawan untuk mengambil motosikal yang baru dibeli, Ahad lalu.

Pada 26 Oktober, polis menahan dua remaja lelaki berusia 15 dan 18 tahun kerana disyaki merogol seorang pelajar sekolah di sebuah rumah kosong di Ajil, Jumaat lalu.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah 1 negeri, Supritendan Khairi Ahrasa berkata, tangkapan itu dilakukan selepas mangsa mengadu teman lelakinya dan lapan lagi lelaki yang dikenali merogolnya secara bergilir-gilir di rumah itu.

Mengaku Buang Bayi, Tak Mengaku Bunuh


Kuala Terengganu
- Seorang kerani yang menggemparkan kerana merendam bayi selepas melahirkannya bersendirian kemudian membuangnya di masjid Tengku Tengah Zaharah (terapung) dua minggu lalu, mengaku bersalah membuang bayi tetapi tidak mengaku menyebabkan kematian bayi itu.

Sabariah Yatim, 21, dari Kampung Lubuk Kawah, Jertih, Besut, membuat pengakuan demikian ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Bernama melaporkan, Sabariah kelihatan tenang ketika kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Mohammad Khalid Ab. Karim.

Mohammad Khalid kemudian menetapkan wang jaminan sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin.

Mengikut pertuduhan pertama, Sabariah didakwa mengikut Seksyen 309A, dengan sengaja menyebabkan kematian bayi yang baru dilahirkanya antara kira-kira jam 9 malam pada 10 Okt dan 6.15 pagi 11 Okt bertempat di Masjid Tengku Tengah Zaharah.

Beliau juga didakwa mengikut pertuduhan pilihan, bahawa beliau secara rahsia membuang bayi itu sama ada mati sebelum atau selepas atau semasa dilahirkan dan dengan sengaja menyembunyikan kelahiran tersebut.

Atas pertuduhan pertama, jika sabit kesalahan membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda, manakala pertuduhan pilihan, boleh membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dilakukan oleh Penolong Pendakwa Raya Amer Abu Bakar manakala Sabariah diwakili oleh peguam Zikri Jusoh.

Mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan pada 19 Jan tahun depan.

Jenayah Rogol Terbaru : Pelajar sekolah dirogol sembilan lelaki

Ulasan