Penyelewengan GLC Terengganu – Mencari ‘Kambing Hitam’ menjelang Pemilihan


Kemaman – Pemburuan ‘Kambing Hitam’ sudah dimulakan secara rasmi oleh Kumpulan Blok Selatan apabila Menteri Besar Dato’ Ahmad Said kelmarin menyatakan kerajaan negeri sedang meneliti laporan berhubung kes penyelewengan dalam anak-anak syarikat milik kerajaan (GLC) negeri ini.

Tindakan Ahmad mendedahkan perkara tersebut saat hampir kepada pemilihan bahagian dilihat sebagai usaha terakhir bagi memastikan proxy blok Selatan tidak kalah dalam semua pemilihan walaupun mungkin tidak menang semuanya.

Kenyataan Ahmad bernada ‘ugutan’ apabila beliau berkata kerajaan negeri sedang membuat pertimbangan dan penilaian untuk melaporkan penyelewengan yang belaku kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) atau meminta individu yang terlibat melepaskan jawatan.

Justeru individu yang memimpin GLC yang terdiri dari pengurus-pengurus dan anggota lembaga pengarah bagi 18 syarikat-syarikat anak, 10 syarikat bersekutu dan 5 syarikat pelaburan dalam Terengganu Incoporated (TI) kini dalam keadaan berjaga-jaga kerana kedudukan mereka ibarat ‘telur dihujung tanduk’.

"Kita ada terima laporan penyelewengan...tengah dinilai. Siapa yang salah akan terima akibatlah. Kita mempunyai banyak jenis tindakan yang boleh dikenakan. Kalau perlu lapor BPR kita akan laporlah.

"Jika perlu berhenti, maka dia kena berhentilah. Saya tidak akan sembunyikan sampah sarap di bawah permaidani. Takut apa kalau kita tidak bersalah. Saya sendiripun pernah kena siasat dengan BPR sebelum ini," katanya pemberita selepas majlis Hari Raya bersama kumpulan Eastern Pacific Industrial Corporation (EPIC) Berhad, GLC kerajaan negeri di Pangkalan Bekalan Kemaman semalam (Selasa)

Difahamkan sehingga kini beberapa jawatan tertinggi dalam syarikat-syarikat gergasi GLC Terengganu iaitu EPIC, Golden Pharos Berhad dan TDM Berhad telah dan akan mengalami perubahan.

Terdahulu daripada itu, Ahmad telah pun mengambil tindakan memecat Pengerusi dan Pengarah Eksekutif Syarikat Ladang Rakyat Trengganu Sdn Bhd (LRTSB).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Limbat Alias Abdullah telah dipecat dari menjadi Pengerusi LRTSB kira-kira dua minggu yang lalu.

Pengarah Eksekutifnya Hj Kamarudin Mohd Zin juga menerima tindakan yang sama, sejurus selepas pemecatan Alias.

Dalam perkembangan yang sama Buletinonline dimaklumkan bekas ahli parlimen Kuala Nerus Azmin Abdul Rahman telah dilantik bagi mempengerusi satu jawatankuasa yang akan menyiasat penyelewengan balak yang berlaku di negeri Terengganu.

Pemerhati politik melihat perlantikan Azmi dan penubuhan Jawatankuasa tersebut adalah untuk menyiasat ahli parlimen Kuala Nerus Dato’ Mohd Nasir Ibrahim yang akan mempertahankan jawatannya sebagai Ketua Bahagian Kuala Nerus.

Nasir dikatakan terlibat dalam skandal balak sewaktu beliau menerajui Golden Pharos Berhad semasa era pemerintahan bekas Menteri Besar, Dato’ Seri Idris Jusoh.

Azmi adalah salah seorang yang akan mencabar Nasir pada pemilihan bahagian tersebut.

Bacaan Berkaitan :

Alias diPecat Menjelang Pertembungan Utara Selatan


Penyingkiran Bermotif Politik – Syed Azman

Penyingkiran beramai-ramai pemimpin dan lembaga pengarah syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri Terengganu adalah merupakan tindakan politik Menteri Besar (MB), Dato’ Ahmad Said bagi menghadapi musuh-musuhnya.

”Ia lebih merupakan tindakan politik, MB sedang meletakkan kroni-kroni beliau dalam syarikat-syarikat tersebut,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Dr. Syed Azman Syed Ahmad Nawawi berkata ketika mengulas tindakan yang sedang diambil oleh kerajaan negeri ekoran kenyataan Ahmad kelmarin.

Beliau yang dihubungi Buletinonline memaklumkan turut menerima laporan berlaku diskriminasi dan salah guna kuasa dalam penyingkiran beberapa Ketua Pegawai Ekskutif (CEO).

“Satu kes yang specific (khusus), seorang CEO yang telah berkhidmat lebih 20 tahun telah diberikan notis sebulan supaya berhenti, ini satu diskriminasi,”ujar beliau.


Menurut beliau CEO tersebut kini telah memfailkan satu saman terhadap kerajaan negeri Terengganu dan menuntut kerajaan negeri membayar RM 4 juta.

Beliau mengalu-alukan kenyataan Ahmad untuk melaporkan sebarang penyelewengan yang berlaku kepada pihak Badan Pencegah Rasuah (BPR)


Namun demikian menurut beliau Ahmad perlu membuat laporan kepada BPR atau pihak polis, bukan hanya mengeluarkan knyataan kpada pihak media.

“Kalau betul ada penyelewengan yang berlaku (dalam GLC) dia (Ahmad) mesti laporkan kepada polis atau BPR, bukan sekadar menyebut begitu sahaja,”tegas beliau.

Tindakan tersebut perlu diambil kerana menurutnya syarikat-syarikat GLC mempunyai Laporan Tahunan yang telus dan telah diterima umum.

Beliau bercadang akan membawa kes penyingkiran beramai-ramai pemimpin dan lembaga pengarah GLC negeri Terengganu dalam sidang Dewan Undangan Negeri yang akan datang.

Ulasan