Perantau Diseru Mendedahkan Pengkhianatan UMNO Kepada Demokrasi dan Negeri Terengganu

Kuala Terengganu - Perantau diseru menyedarkan anak negeri di luar Terengganu dan memberi kesedaran kepada mereka tentang politik, khususnya pengkhianatan yang dilakukan oleh UMNO keatas demokrasi dan negeri Terengganu.

”Samada pegawai peringkat tinggi dan rendah, rakyat Terengganu sendiri tak rasa tercabarnya demokrasi,

“sedangkan inilah ‘very fundamental’ dimana rakyat kesemuanya patut berkempen, ini pengkhianatan yang paling jelas kepada demokrasi,”

“sepatutnya Perantau kita memainkan peranan menyebarkan maklumat pengkhianatan kepada demokrasi, rakyat dan kerajaan negeri Terengganu,”Kata Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Wan Mutalib Embong ketika berucap dalam sesi dialog, Ijtima’ Idul Fitri untuk Perantau yang diadakan di Kuala Ibai, dekat sini kelmarin.

”Kita ambil tindakan undang-undang dengan segera, tetapi kehakiman boleh dikawal oleh politik, walaupun pemisahan kuasa itu berlaku, tetapi kehakiman sampai hari ini masih lagi dikawal supaya kes (royalti minyak) tidak dijalankan (dibicarakan) dengan segera sehingga hari ini, sedangkan kita telah mendaftarkan ‘certificate of urgency’,”kata beliau ketika mengulas isu berkaitan royalti minyak yang berlaku di Terengganu.

Menurut beliau hasil yang dirampas dari wang royalti minyak disalurkan melalui Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan bukan melalui jentera kerajaan serta diagih-agihkan kepada ahli-ahli UMNO.

”Tahun ini RM47 juta (Dana Khas Duit Raya), ini telah dibelanjakan sejak tahun 2000, paling kurang 5,000 setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) disuap dengan duit ini, dibahagi-bahagikan,”jelas beliau.


Kerajaan UMNO/BN juga, kata beliau telah menggunakan kuasa pentadbiran mengambil balik tanah-tanah yang diberikan oleh kerajaan PAS dan membayar wang pampasan menggunakan kekuatan wang royalti minyak yang telah dirampas.


”Walaupun mereka terpaksa membayar pampasan yang begitu tinggi, mereka tak peduli,

“contohnya, kita beri satu keping tanah kepada Khairunnisa’ (Persatuan Isteri-isteri Wakil Rayat PAS) bersama dengan Puspanita (Persatuan Isteri-isteri Pegawai-pegawai Kerajaan), untuk mereka menjalankan aktiviti dan kepentingan mereka selama 40 tahun,
”Bila kita hilang kuasa, mereka rampas dan bayar pampasan sebanyak RM2 juta, bayangkanlah, dia tak peduli, asalkan tak dapat kita (PAS) untuk majukan (tanah) tak kira Puspanita ke atau Khairunnisa’,”tambah beliau.

Terengganu ‘Syurga’ Pil Kuda ?

Kuala Terengganu – Negeri Terengganu mungkin mencatat satu lagi sejarah menjadi sebuah negeri ‘syurga kepada penagih ecstasy atau pil kuda.

Berdasarkan statistik tangkapan pengedaran pil tersebut, dalam masa empat bulan dari Jun sehingga kini, sejumlah 6,892 biji pil kuda telah dirampas yang bernilai RM 206,030.

Menurut laporan media, remaja yang terbabit dalam kegiatan lumba motosikal haram di bandar ini, adalah dipercayai paling ramai menggunakan pil kuda bagi menghilangkan perasaan takut untuk menang dan mendapatkan hadiah yang ditawarkan oleh `bookie' perlumbaan.

Remaja bermotosikal sinonim dengan penagihan pengedaran ecstasy kerena menurut fakta kes yang berlaku, seseorang yang dipercayai mengedar pil haram itu pernah mengarahkan remaja bermotosikal bertindak ganas dan menyerang polis.

Pada bulan Mac tahun ini, sekumpulan kira-kira 25 remaja bermotosikal bertindak ganas menyerang empat anggota polis yang cuba membawa dua suspek ke balai polis untuk ujian saringan air kencing.

Penagihan pil kuda juga pernah dikaitkan dengan pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dinegeri Terengganu.

Pada Januari tahun 2008, Polis Terengganu dipercayai menumpaskan satu sindiket pengedaran pil kuda dan heroin di negeri ini membabitkan pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di daerah Dungun.

Rampasan membabitkan 2,396 pil kuda seberat 228 gram dan lapan botol heroin seberat 13.6 gram dengan nilai pasaran RM50,000 dibuat apabila polis menahan dua pelajar lelaki berusia 21 tahun dan seorang wanita yang dipercayai menjadi dalang sindiket pengedaran dadah.

Dibawah ini dipaparkan berita yang dipetik dari sumber Media Perdana berkaitan tangkapan yang dilakukan oleh polis berkaitan pil kuda dan dadah di Terengganu dalam tempoh Jun hingga Oktober tahun ini.


3, 571 biji lagi pil kuda di rampas di Terengganu

KUALA TERENGGANU, 3 Okt - Polis merampas 3,571 biji pil WY atau lebih dikenali sebagai pil kuda bernilai RM107,130 dan menahan dua lelaki serta dua wanita dalam satu serbuan di sebuah chalet di Rusila, Marang, Ahad lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Terengganu Supt Roslan Abd Rahim berkata polis turut merampas wang tunai RM18,922 yang dipercayai hasil jualan dadah dalam serbuan kira-kira pukul 2.45 pagi itu.

Beliau berkata mereka yang ditahan berumur dalam lingkungan 40-an dan tiga daripada suspek termasuk dua wanita berkenaan, mempunyai rekod jenayah berkaitan dengan dadah.

"Dua wanita itu, masing-masing berasal dari Pasir Mas Kelantan dan Melaka, baru sahaja dibebaskan dari Pusat Tahanan Simpang Renggam, Johor awal tahun lalu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Bernama memetik Roslan berkata keempat-empat suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan dan mereka sedang disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana kesalahan mengedar dadah – Bernama

Polis tahan 2 lelaki bersama 1,810 pil kuda

KUALA TERENGGANU 2 Okt.- Polis Terengganu menahan dua lelaki berusia 28 dan 30 tahun bersama 1,810 pil kuda bernilai RM61,540 di Sungai Tong, Setiu Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Supritendan Shaik Othman Abd. Hamid berkata, kedua-dua mereka ditahan oleh polis selepas cuba melarikan diri daripada sekatan jalan raya yang diadakan oleh Kastam Diraja Malaysia.

Katanya, kejadian berlaku kira-kira pukul 12.15 pagi apabila sebuah kereta secara tiba-tiba membuat pusingan-U kerana cuba mengelak sekatan di Jalan Batu 24, Kampung Desa, Sungai Tong.

''Kereta tersebut membuat pusingan berbahaya itu betul-betul di hadapan kereta peronda polis yang kemudian bertindak mengejar kereta berkenaan," katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau memberitahu, selepas mengejar kira-kira tiga kilometer, polis peronda berkenaan berjaya menahan kereta tersebut.

''Para pegawai Jabatan Kastam turut mengejar kereta berkenaan kerana ia lari daripada sekatan jalan raya," katanya.

Shaik Othman berkata, hasil pemeriksaan, kedua-dua lelaki itu membawa sebanyak 1,810 pil kuda bernilai RM61,540.

Beliau berkata, kedua-dua lelaki yang masing-masing berasal dari Kemaman, Terengganu dan Kuantan, Pahang kini direman seminggu bermula 29 September lalu untuk siasatan dan akan didakwa mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah.

''Mereka juga akan dituduh mengikut Seksyen 39B akta sama yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman gantung," ujarnya.

Beliau berkata, polis percaya kedua-dua lelaki tersebut bertindak sebagai penghantar pil-pil berkenaan dari Kelantan untuk dijual ke destinasi tertentu.

Polis Terengganu tahan dua lelaki dan merampas 995 pil kuda

Kuala Terengganu, 10 Sept - Polis menahan dua lelaki dan merampas 995 pil kuda (ectasy) jenis WY bernilai RM30,000 daripada mereka dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Baru, Merang dekat sini kelmarin. (Gambar - sejenis pil ectasy - gambar hiasan)

Ketua Polis Daerah Setiu, DSP Shaik Othman berkata, kedua-dua lelaki berumur 40 dan 45 tahun dari Kota Baharu, Kelantan itu ditahan kira-kira jam 9 malam dalam serbuan yang dilakukan oleh sepasukan 15 anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu.

“Setelah mendapat maklumat, polis melakukan intipan terhadap rumah suspek dan kira-kira jam 9 malam seorang daripada suspek keluar dari rumah dan meletakkan satu bungkusan di bawah pokok kelapa di belakang rumah berkenaan sebelum berpatah balik ke rumah berkenaan.

“Sepasukan angota polis kemudiannya membuat serbuan dan menahan suspek bersama seorang lagi rakannya yang berada di dalam rumah berkenaan,” katanya.

Shaik berkata polis kemudian menemui empat pil kuda jenis WY yang disorok di dalam satu kotak rokok.

Katanya serang suspek kemudiannya menunjukkan kepada polis lima paket plastik yang mengandungi 991 bijil pil WY yang mereka sorokkan di bawah pokok kelapa berhampiran rumah itu.

Beliau berkata kedua-dua lelaki yang bekerja sendiri itu ditahan reman mulai semalam hingga 14 Sept ini sebelum didakwa mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih RM100,000 atau lima tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Mereka juga akan dituduh mengikut Seksyen 39B akta yang sama yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman gantung mandatori, katanya.

Shaik berkata dalam satu lagi kes berasingan, polis dari cawangan Siasatan Jenayah Narkotik Besut menahan dua lelaki masing-masing berumur 34 dan 20 tahun yang berasal dari Besut serta merampas satu guni beserta dua bakul daun ketum pagi semalam.

Serbuan dilakukan di sebuah rumah di Kampung Apal, Jertih. – Bernama

Kakitangan JPJ, MBKT ditahan edar dadah

KUALA TERENGGANU 11 Ogos - Tiga kakitangan kerajaan termasuk seorang ketua penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan seorang guru sandaran ditangkap kerana dipercayai mengedar dan menagih dadah dalam kejadian berasingan sejak lima hari lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Narkotik negeri, Supritendan Roslan Abd. Wahid berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 5 pagi itu polis menahan tiga lelaki berusia antara 24 dan 26 tahun termasuk seorang kakitangan Bahagian Pelesenan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) di sebuah hotel bajet di Jalan Tok Lam di sini.

Beliau berkata, polis turut merampas dadah jenis syabu seberat 10 gram dan peralatan menghisap dadah yang semuanya bernilai RM3,550.

''Ketiga-tiga lelaki berkenaan yang masing-masing berasal dari Kampung Gong Tok Nasek dan Batu Burok di sini serta Jerteh, Besut berada dalam keadaan khayal di sebuah bilik di hotel berkenaan ketika ditahan," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Dalam kejadian berasingan, katanya, seorang guru sandaran berusia 29 tahun bersama rakannya, pelayan sebuah hotel di sini ditangkap bersama 230 pil kuda jenis WY bernilai RM7,360 di tempat letak kereta Dataran Shahbandar di sini semalam.

Menurut Roslan, hasil maklumat orang ramai polis menyerbu kedua-dua suspek yang berada dalam sebuah kereta Proton Gen 2 dan menemui sebanyak 100 biji pil WY di dalam kereta dan 130 biji lagi dalam poket pelayan hotel berusia 23 tahun itu.

Beliau berkata, guru sandaran itu yang merupakan seorang penagih dadah turut mengaku menjadi pengedar pil-pil WY berkenaan di kawasan Bukit Payong, Marang.

Dalam pada itu, Roslan berkata, seorang ketua penguatkuasa JPJ Cawangan Kijal, Kemaman berpangkat Penolong Pegawai Penguatkuasa berumur 33 tahun bersama seorang rakan dan teman wanitanya ditangkap di sebuah rumah di Kampung Baru Dusun Nyior, Chukai, Kemaman.

Katanya, dalam serbuan kira-kira 3.10 petang itu, polis turut menemui kira-kira 10 gram dadah jenis syabu.

''Ini merupakan kali kedua ketua penguatkuasa JPJ tersebut ditahan selepas ditangkap di rumahnya di Kampung Tanjung Teguh, Kemasik, Kemaman pada 4.30 petang Khamis lalu selepas polis menemui empat biji pil WY berkenaan di dalam dompetnya.

''Setelah ditahan reman tiga hari, dia dibebaskan semalam dengan jaminan polis ,'' ujarnya.

Beliau berkata, kesemua suspek kes-kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 12(2) dan 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Terengganu Kini Negeri Transit Pengedaran Dadah

Kuala Terengganu, 29 Jun - Terengganu kini dipercayai cuba dijadikan sebagai negeri transit mengembangkan jualan dadah ke pasaran gelap tempatan oleh sindiket pengedaran dadah yang mempunyai rangkaian di pantai timur

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Anti Narkotik (D8) negeri, Superintendan Roslan Abdul Wahid, berkata pihaknya menyedari kecenderungan sindiket berkenaan dan kini meletakkan beberapa kawasan di negeri ini dalam pengawasan pihak berkuasa.

Sehubungan itu, pihak berkuasa kini meningkatkan risikan dan pemantauan di beberapa lokasi yang sudah dikenal pasti dalam usaha mengelak negeri ini daripada terus menjadi pilihan sindiket menjalankan kegiatan haram.

“Kita mempunyai maklumat berhubung perkara itu dan sedang memerhati gerak-geri individu disyaki kerana percaya mereka kini lebih berminat memilih Terengganu kerana sindiket berkenaan percaya lokasi sedia ada mereka kurang selamat" kata Roslan

Kerancakan aktiviti pengedaran serta kesalahan berkaitan dadah kini didapati cenderung berlaku di kawasan sempadan negeri dan ia terbukti berikutan rampasan pelbagai jenis dadah di Kemaman, Terengganu yang bersempadan dengan bandar Kuantan, Pahang.

Ia dikesan dalam Ops Sepadu membabitkan hampir 400 anggota dan pegawai polis dari seluruh kontinjen Terengganu yang telah merampas 106 biji pil kuda, satu peket kecil serta 30 tiub heroin seberat 0.8 gram, 25 peket ganja, 12 tiub kecil syabu, 575 gram serbuk ketum dan wang tunai campur RM13,305 hasil jual dadah - Sumber HMetro

Ulasan