Kerajaan Terengganu Abai Kebajikan Anak Yatim

Kuala Nerus – Kerajaan negeri Terengganu dibawah pemerintahan UMNO/Barisan Nasional (BN) Terengganu lari dari memikul amanah sekaligus mengabaikan kebajikan anak-anak yatim

Yang Dipertua Yayasan Kebajikan dan Pendidikan Negeri Terengganu (YAKEPT) Ustaz Abu Bakar Abdullah menyifatkan langkah kerajaan sebagai ‘mundur ke belakang’ apabila menyerahkan kembali pentadbiran Asrama Anak Yatim Darul Iman kepada Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Terengganu (Perkaya).

Beliau turut mempersoalkan tindakan kerajaan negeri menyerah kembali pentadbiran Asrama Anak Yatim Darul Iman kepada pihak pengurusan lama Perkaya.

“Apa rasional kerajaan negeri beri balik pengurusan dan pentadbiran itu kepada Perkaya. Kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak prihatin kepada anak-anak yatim,”katanya ketika menghubungi Buletinonline kelmarin.

Beliau berkata kerajaan negeri dibawah pemerintahan PAS bertanggungjawab kerana telah mengambil alih pengurusan kebajikan anak yatim tersebut pada tahun 2002 apabila mendapati terdapat banyak kelemahan.

Katanya kerajaan PAS mengambil alih pengurusan asrama itu setelah mendapati rekod pentadbiran sebelumnya menunjukkan berlaku pelbagai salah urus dan kelemahan.

Beliau yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa (Exco) Kebajikan dan Kesihatan Negeri berkata beliau yang bertanggungjawab mengambil alih pengurusan asrama berkenaan dari NGO terbabit kerana mendapati badan tersebut gagal gagal memenuhi tuntutan keperluan dan kebajikan anak-anak yatim telah terabai.

Menurutnya, sebagai sebuah kerajaan penanggungjawaban terhadap kebajikan anak-nak yatim lebih terjamin berbanding sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO).

“Semasa kita (PAS) memerintah Terengganu, kerajaan negeri telah membelanjakan sejumlah RM3 juta untuk keperluan asrama itu termasuk pengangkutan dan keperluan lain untuk kira-kira 400 anak yatim.

“Kita serapkan kira-kira 30 kakitangan asrama anak yatim yang tidak dapat dipastikan statusnya ketika itu dalam penjawatan kerajaan dan semua mereka gembira berada di bawah kerajaan negeri,” jelasnya.

Sehubungan itu, katanya pihak YAKEPT kesal serta tidak yakin dengan pengurusan ‘baru’ asrama tersebut, dapat memberikan perkhidmatan menjamin kebajikan yang lebih baik.

Menurutnya, alasan menyerahan Asrama Anak Yatim Darul Iman tersebut dapat menjimatkan wang kerajaan sebanyak RM2 juta menunjukkan kerajaan UMNO/Barisan Nasional tidak mengutamakan kebajikan namun lebih mengutamakan keuntungan semata-mata.

“Kita anggap alasan serah balik kerana hendak jimat wang kerajaan hingga RM2 juta itu sebagai alasan yang tidak munasabah, dangkal dan lemah.

“Kerajaan buat projek membazir hingga ratusan juta setiap tahun boleh tetapi hendak buat kebajikan untuk anak yatim mahu berjimat,” ujarnya.

Beliau turut melahirkan rasa kebimbangan akan berlaku kelemahan dan kekurangan di masa lalu berulang kembali.

Akhbar Sinar Harian pada 3 November lalu melaporkan bahawa kerajaan negeri membuat kos penjimatan sehingga RM1 juta setahun iaitu sebanyak 50 peratus daripada kos pentadbiran asrama anak yatim itu selepas penyerahan kembali kepada Perkaya.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita Negeri, Asha’ari Idris berkata, kerajaan negeri menanggung kos pentadbiran sehingga RM2 juta setahun selama ini untuk menguruskan asrama anak yatim itu.

Bacaan Berkaitan :
Kerajaan ambil alih Asrama PERKAYA
PERKAYA diperalat pembangkang
Perasmian Kompleks Asrama Putera Perkaya


Surau Cerong Lanjut Terima Padah Penarahan Bukit Pak APil

Kuala Terengganu – Surau Cerong Lanjut telah menerima ‘padah’ pembangunan projek merbahaya yang dilaksanakan oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dipuncak Bukit Pak Apil.

Hujan lebat yang turun beberapa hari di bandar ini telah membawa banjir lumpur (selut) akibat hakisan kesan dari kerja-kerja penarahan bukit Pak Apil.

Tinjauan Buletinonline semalam mendapati seluruh kawasan surau tersebut dipenuhi oleh lumpur setebal kira-kira satu inci.

Menurut seorang jamaah yang menjaga surau itu, air yang deras bercampur lumpur turun dari bukit membanjiri seluruh kawasan surau tersebut kelmarin.

Beliau yang tidak mahu dikenali berkata air lumpur naik sehingga memenuhi tempat mengambil wudhu’ di hadapan surau.

“Habis naik semuanya, saya terpaksa bersihkan lumpur di tempat wudhu’, cuba tengok kat belakang,”katanya sambil berjalan dan menunjuk arah belakang surau.

Dibahagian belakang surau terdapat longkang yang baru digali, bagi mengalirkan air yang turun dari terus membanjiri kawasan surau.

“saya gali sendiri, kalau tidak lagi teruk keadaannya,” kata beliau apabila ditanya, siapakah yang menggali longkang tersebut.

“Ni baru hujan begini, kalau masuk musim (tengkujuh) betul-betul nanti, tak tahulah saya,”keluhnya.

Buletinonline difahamkan pembangunan Projek Puncak Panorama Bukit Pak Apil dilaksanakan tanpa kajian yang terperinci oleh pihak kerajaan.

Menurut sumber dalaman MBKT, semua kerja-kerja persediaan termasuk cadangan dan penyediaan pelan dilakukan oleh pihak swasta.

Datuk Bandar Kuala Terengganu, Dato’ Mat Razali Kasim menyatakan pemilihan kawasan itu kerana ‘diyakini’ dapat menarik lebih ramai pelancong dan warga tempatan.

Projek Fasa 1 yang kini sedang dalam proses pelaksanaan melibatkan jalan masuk, penyediaan bekalan elektrik dan menara tinjau bernilai RM25 juta.


Lihat Galeri Gambar Penarahan Bukit Pak Apil

Ulasan