OKU Taman Rahmat Pula Akan Dihambat Oleh Kerajaan UMNO/BN

Marang – Setelah tidak mempedulikan nasib yang bakal menimpa anak yatim di asrama Darul Iman, kerajaan UMNO/BN Terengganu akan menghambat Orang Kurang Upaya (OKU) yang tinggal di rumah OKU Taman Rahmat, Pulau Kerengga dekat sini.

Dalam tempoh tidak sampai sebulan Kerajaan menyerahkan pentadbiran asrama anak yatim Darul Iman kepada Perkaya, Asha’ari Idris bercadang untuk menghambat keluar penghuni cacat dan miskin dari Taman Rahmat.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri mahukan semua penghuni di Taman Rahmat kembali ke tempat asal masing-masing, setelah 28 tahun tahun tinggal di pusat tersebut.

Mesyuarat Pembangunan Semula Komuniti Taman Rahmat yang dipengerusikan oleh Asha’ari pada 12 Ogos 2008 lalu pengerusinya, Asha’ari Idris memutuskan 239 orang penduduk taman tersebut keluar kerana menurutnya konsep asal penempatan itu adalah bersifat sementara.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Penghuni Taman Rahmat, Tahir Musa, 57, merasa bimbang, sedih dan terharu dengan tindakan kerajaan negeri itu.

Beliau berkata, tindakan tersebut bermakna semua penghuni yang menetap disitu sejak 28 tahun lalu akan dikeluarkan dan diminta kembali kepada komuniti masing-masing.

“Saya cukup bimbang, sedih dan terharu dengan nasib golongan OKU, orang cacat dan miskin yang akan ‘dihalau’ keluar dari tempat tinggal ini.

“Kami semua tidak ada tempat tinggal lain. Ke mana kami semua hendak pergi termasuk jika kerajaan tidak memberi tempat baru,” ujarnya.

menurutnya majoriti penghuni di Taman Rahmat yang hidup bersama selama 28 tahun telah menjadi satu keluarga dan tidak lagi mempunyai tempat tinggal lain.

Katanya, penghuni terbabit tidak bersetuju serta menentang cadangan kerajaan negeri mahu mengeluarkan merka dari Taman Rahmat walaupun secara berperingkat.

Seorang penghuni taman itu, Mohd Tahir Ismail, 52, yang cacat penglihatan mempunyai empat anak tidak bersetuju dengan cadangan kerajaan dan merasakan seolah-olah kerajaan mahu menghalau mereka.

beliau berkata mereka tidak mempunyai tempat tinggal lain dan ada yang langsung tidak mempunyai kaum keluarga serta sanak-saudara lagi.

Menurutnya, cadangan tersebut jika dilaksana menyebabkan penghuni OKU dan orang miskin bakal menjadi pengemis atau ‘kutu’ rayau.

“Saya dan penghuni Taman Rahmat ini tidak ada tempat tinggal lain lagi dan ada di kalangan kami yang langsung tidak punya saudara-mara.

“Kami tidak mampu lagi hendak jadi macam ‘kutu’ rayau, mengemis di jalanan kerana sudah tua dan uzur,” ujarnya.

Beliau merayu kerajaan negeri membuat pertimbangan waras dan bukan hanya memikirkan keuntungan dari projek yang bakal dilaksanakan.

Seorang lagi penghuni, Hashim Omar, 51, yang cacat anggota kaki tidak mempunyai pekerjaan tetap bagi menanggung lapan orang anak sekeluarga.

Beliau berkata tiga dari lapan orang anak-anaknya turut menerima nasib sama mengalami kecacatan sejak dilahirkan terdiri dua lelaki dan seorang perempuan.

“Jika kami semua diminta keluar dari Taman Rahmat yang diduduki sejak 28 tahun lalu tanpa memberi penempatan baru.

“Kami semua anak-beranak akan jadi ‘pelarian’ di negeri sendiri oleh kerajaan sendiri,” katanya.

Beliau dan semua penghuni Taman Rahmat merayu agar kerajaan negeri segera meluluskan Lesen Menduduki Sementara (LMS) ke atas tempat tinggal sekarang.

Manakala, rakannya Che Ibrahim Che Man, 54, mendakwa enam dari 9 orang anaknya turut menerima nasib kecacatan sejak dilahirkan.

“Saya mempunyai anak paling ramai dalam keluarga penghuni di Taman Rahmat ini tetapi enam dari 9 orang anak saya juga cacat dan OKU,” ujarnya.

Oleh itu, katanya jika kerajaan negeri mempunyai rasa tanggungjawab dan prihatin diharapkan tidak ganggu kehidupan penghuni berkenaan.

Beliau turut memohon simpati mana-mana pihak termasuk Badan Bukan Kerajaan (NGO) atau media untuk tampil membantu.

Katanya, semua penghuni di Taman Rahmat ini lemah dan tidak mampu berdepan dengan situasi yang tertekan serta mempunyai masa depan agak gelap.

Buletinonline dimaklumkan seramai 39 penghuni Taman tersebut adalah cacat penglihatan, 72 terdiri Orang Kurang Upaya (OKU), lima orang ibu tunggal manakala 10 orang adalah warga emas yang dhaif.

Difahamkan mereka telah menghantar surat memohon satu pertemuan dan perbincangan dengan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Ahmad Said tetapi tidak dilayan serta gagal mendapat jawapannya.

JKKK Menjadi Tok Dalang

Kuala Nerus – Pelbagai kezaliman yang telah dilakukan oleh Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampong (JKKK) tehadap rakyat Terengganu yang tidak berdosa.

Terbaru, seorang mangsa kebakaran Puan Zaharah Wan Endut, 51, dari Kampung Bukit Tunggal mendakwa pihak JKKK menjadi dalang yang menghalang keluarganya mendapat bantuan Tabung Darul Iman (TDI).

Warga emas berkenaan telah kehilangan harta benda apabila rumahnya terbakar kira-kira jam 12.00 tengahari 6 Mac lalu.

Menurutnya kebakaran yang memusnahkan seluruh rumah dan peralatannya mengakibatkan beliau menanggung kerugian kira-kira RM 70,000.00, disyakki berpunca dari litar pintas.

“Kami orang susah pergi jumpa JKKK di kampung ini untuk tandatangan borang bantuan Tabung Darul Iman (TDI) tetapi pengerusinya tidak mahu layan kerana (perbezaan fahaman) politik.

“Dia (pengerusi JKKK) kata, saya orang PAS sebab tidak pernah hadir ke majlis anjuran Umno di kampung ini,” ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Beliau berkata borang permohonan bantuan TDI tidak ditandatangani oleh pihak JKKK berkenaan tetapi terpaksa membuat permohonan melalui saluran lain.

Katanya, beliau bukan sngaja tidak mahu hadir program anjuran Umno namun kesibukan mencari rezeki tambahan dengan menjual goreng pisang setiap petang menghalangnya berbuat demikian.

Akibat kebakaran itu, menurutnya, tujuh ahli keluarganya termasuk anak dan cucunya kini terpaksa menumpang teduh di rumah saudara mara.

Justeru, beliau merayu mana-mana pihak yang prihatin dan bersimpati dengan nasib keluarganya boleh menghanatar sumbangan melalui akaun Bank Simpanan Nasional atas nama Zaitun Wan Endut: A/C-1110329846597865.

Tabung Darul Iman (TDI) adalah sebuah tabung kebajikan bagi membantu mangsa-mangsa yang dilanda bencana, ditubuhkan semasa kerajaan PAS Terengganu (1999-2004).

Menurut rekod, ketika Umno mengambilalih tabung tersebut pada Mac 2004, Tabung tersebut mempunyai baki melebihi RM2 juta.

Buletinonline difahamkan, tabung itu kini ‘kering kontang’ setelah semua wangnya ‘habis licin’ dibelanjakan oleh kerajaan ahli-ahli yang berhormat dari kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN) Terengganu.

Ulasan