Cadangan Calon Pemuda , 'No Comment'

Kuala Terengganu - Cadangan Dewan Pemuda PAS untuk mengetengahkan calon mewakili golongan muda yang juga anak tempatan bagi bertanding dalam pilihan raya kecil kerusi Parlimen Kuala Terengganu tidak mendapat sebarang komen dari pimpinan PAS Terengganu.

Pesuruhjaya PAS Terengganu Dato' Mustafa Ali berkata belum ada nama-nama yang disenarai pendek bagi calon PRK Kuala Terengganu.

Ketika ditanya pihak media minggu lalu, beliau berkata PAS Terengganu telah mengarahkan PAS Kawasan Kuala Terengganu untuk mendapatkan maklum balas dari cawangan-cawangan di seluruh kawasan tersebut bagi menentukan cadangan yang akan dibawa kepada pihak PAS Pusat.

"Kriteria calon adalah individu yang boleh membawa kemenangan kepada PAS dan Pakatan Rakyat dalam pilihanraya tersebut,"katanya.

Dalam perkembangan yang sama, Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Terengganu enggan memberikan sebarang komen terhadap cadangan yang telah dikemukakan oleh Dewan Pemuda PAS Terengganu.

Beliau yang ditemui pada program korban Cawangan Bukit Kubang Jambu hanya berkata cadangan untuk calon-calon bagi PRK Kuala Terengganu 'dalam proses'.

"Saya tak mahu komen apa-apa tentang cadangan Pemuda, kita (PAS Kuala Terengganu) sedang mendapatkan maklumbalas PAS cawangan-cawangan,"katanya kepada Buletinonline.

Bagaimanapun menurutnya PAS Kuala Terengganu telahpun mengadakan mesyuarat bagi menggerakkan jentera pilihanraya diperingkat masing-masing dan semua jentera di peringkat DUN dan Unit Peti Undi telah di gerakkan.

Buletinonline difahamkan, nama yang telah disenarai pendekkan oleh PAS Terengganu akan dibawa kepada PAS Pusat sebelum 21 Disember 2008.

Jangan Harap Menang dari Kelemahan Musuh - Ustaz Nasa

Kuala Terengganu - Para petugas dan ahli PAS diberi peringatan agar tidak mengharapkan kemenangan parti dari kelemahan musuh sebaliknya mendapatkan kemenangan dari kekuatan parti sendiri.


Timbalan Presiden PAS Ustaz Nasaruddin Mat Isa berkata demikian ketika melancarkan jentera pilihanraya PAS bagi Pilihanraya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu di Markaz Tarbiyyah Pas Kuala Terengganu, di Kuala Ibai, semalam.

“Pilihan raya adalah suatu perlumbaan. Kita (PAS) usah mencari kemenangan dari kelemahan ‘musuh’ tetapi dapatkan kemenangan itu hasil dari kekuatan diri kita (parti) sendiri,” ujarnya.

Beliau berkata PAS perlu menggunakan pendekatan kempen yang cermat bagi memenangi hati rakyat dalam usaha mencapai kemenangan dalam pilihan raya kecil ini.

Beliau yang juga Pengarah Jawatankuasa Induk Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu mengingatkan jentera parti agar tidak bersikap kasar dan keras terhadap pengundi sepanjang kempen tersebut.

“Kita (PAS) perlu memenangi hati manusia dengan pendekatan yang berhemah dan cermat. Hati-hati manusia tidaklah sekeras ‘batu’ dan boleh menerima perubahan.

“Cara kasar dan ‘keras’ tidak sesuai dan hendaklah dijauhkan dalam kempen-kempen kita (PAS),” ujarnya dihadapan 500 orang para petugas PAS.

Katanya, pendekatan parti kali ini mahukan para pengundi dan rakyat di negeri ini merasa yakin kepada PAS dengan penampilan akhlak yang baik.

Justeru menurutnya, PAS menyertai pilihan raya kecil kali ini dengan tekad mencapai kemenangan kerusi Parlimen tersebut dengan cemerlang.

Katanya, kemenangan PAS adalah amat penting bagi menambahkan lagi satu suara rakyat di Parlimen dan dapat memperkukuhkan kedudukan politik Pakatan Rakyat.

Hadir sama pada majlis tersebut Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Mustafa Ali serta kepimpinan Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu, Ketua Bahagian Parti KeADILan Rakyat (PKR) Kuala Terengganu, Dr. Abdul Manaf dan Pengerusi Penaja DAP Kuala Terengganu, Encik Ng Chai Hin

Ulasan