Pakatan Rakyat Sudah Sepakat


Kuala Terengganu – Gabungan parti-parti dalam Pakatan Rakyat sudah bersepakat untuk bersama menghadapi menghadapi pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu yang akan diadakan tidak lama lagi.

Pengarah Pilihan Raya PAS Terengganu Hj. Yahya Ali berkata semua jentera dan kelengkapan PAS telah diletakkan pada tahap terbaik untuk membolehkan PAS menggempur UMNO/Barisan Nasional, tidak kira siapa sahaja yang menjadi calon.

“Kita bukannya bersedia masa pilihan raya sahaja, tetapi perjuangan kita adalah sepanjang masa bagi berdakwah kepada masyarakat dan menegakkan agama Islam. Proses perjuangan kita adalah jelas,” katanya.

“Kita juga mahu proses pilihan raya kali ini berjalan dengan lancar dan berakhir tanpa sebarang masalah. Kita akan menjalankan kerja-kerja dengan tenang walaupun berdepan dengan pelbagai tekanan,” katanya lagi.

Sementara itu Ketua Angkatan Muda (AMK) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Terengganu, Fariz Musa berkata, anggota AMK akan membantu PAS dengan kekuatan seratus peratus dalam mengahadapi PRK Kuala Terengganu.

Menurutnya yang juga Timbalan Ketua AMK PKR anggotanya berasa sangat teruja untuk datang ke Kuala Terengganu sebaik sahaja mengetahui akan berlaku PRK Kuala Terengganu ketika Kongres Ke 5 PKR berlangsung baru-baru ini.

“Saya dan seluruh anggota AMK amat teruja untuk datang membantu PAS menghadapi pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu,”katanya yang ketika dihubungi Buletinonline semalam.

“Skuad AMK akan memberikan bantuan menyediakan tenaga pidato bagi memberikan penerangan, tenaga bagi keselamatan dan logistik,”katanya.

Katanya perkara tersebut akan diatur dengan membuka satu markaz besar pada setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Kuala Terengganu.

Dengan itu beliau yang juga Pengarah Pilihanraya AMK Malaysia berkata kaunter-kaunter pendaftaran sukarelawan AMK akan dibuka dimarkaz-markaz tersebut, terus-menerus sepanjang kempen PRK.

Dalam perkembangan yang sama, Parti Tindakan Demokrasi (DAP) sudah mengatur untuk menurunkan tidak kurang dari 200 orang pemimpin pelbagai peringkat bagi menguatkan jentera kempen PAS.

Pengerusi Penaja DAP Kampung China Kuala Terengganu, Ng Chai Hing berkata, pihak DAP Pusat telah mengarahkan beliau untuk mengenalpasti dan memilih lokaliti strategik dalam DUN Bandar Kuala Terengganu untuk dijadikan pusat operasi sepanjang kempen.

“Kita akan memilih tiga lokaliti yang strategik, mungkin dua di kawasan Kampung China dan satu di Batas Baru bagi dijadikan pusat operasi kempen DAP,”katanya ketika ditemui semalam.

Pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu akan diadakan berikutan kematian Ahli Parlimen Kuala Terengganu yang juga Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail, 59, pada 28 November lalu.

Allahyarham meninggal secara mengejut ketika bermain badminton bersama kakitangan Institut Aminuddin Baki di Genting Highlands, Pahang kira-kira 6.30 petang.

Tuanku Mizan Sanggup Mencemar Duli – Tidak ‘cemar’kah Wakil-wakil Rakyat UMNO??

Kuala Nerus - Banjir di Terengganu semakin buruk berlaku dengan jumlah mangsa yang dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan sementara mencecah angka 2,988 orang hari ini.

Daerah Kuala Terengganu dan Marang merupakan dua daerah yang paling teruk dilanda banjir yang disifatkan oleh sesetengahnya penduduknya terburuk sejak 10 tahun lalu.

Dalam daerah Kuala Terengganu, Parlimen Kuala Nerus merupakan kawasan yang paling teruk dilanda banjir dengan jumlah lebih seribu orang penduduknya dipindahkan dari Taman Desa Pusu Tiga, Kampung Tok Jiring, Kampung Tok Jembal dan Kampung Padang Hangus.

Walaupun kesemua kampung-kampung tersebut dalam kawasan Parlimen Kuala Nerus dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh, namun sebelum hari ini, kedua-kedua wakil rakyat UMNO bagi Parlimen dan DUN berkenaan tidak turun melawat kampung-kampung tersebut.

Sehinggalah hari ini, yang ‘memahat sejarah mencemarkan’ bagi wakil-wakil rakyat tersebut yang terpaksa melawat mangsa-mangsa banjir berkenaan apabila Yang DiPertuan Agong, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong, Nur Zahirah ‘mencemar’ duli mengadakan lawatan ke pusat pemindahan Banjir.

Baginda berdua memilih untuk melawat pusat perpindahan paling ramai iaitu di Sekolah Kebangsaan Kompleks Gong Badak, dekat sini, hari ini.


Baginda Yang DiPertuan Agong dan Raja Permaisuri tiba di pusat pemindahan banjir tersebut sekitar jam 12.30
tengahari.


Baginda berdua telah meluangkan selama dua puluh minit bertemu dengan mangsa-mangsa banjir dan mengagihkan sumbangan hamper, tanda ihsan baginda kepada rakyat jelata.


Suasana ceria menyambut ketibaan Baginda berdua yang berjiwa rakyat tidak pernah membezakan ‘warna dan sokongan politik’, sanggup mencemar duli serta bersalam-salaman dengan kanak-kanak, orang dewasa serta warga emas, bukan seperti yang dilakukan oleh wakil-wakil rakyat UMNO ‘yang cemar’ dengan memilih bulu apabila memberikan sebarang bentuk bantuan.


Turut serta mengiringi baginda ialah Pengerusi Penasihat Pemangku Raja Tengku Badruzzaman, Menteri Besar Terengganu, Dato’ Ahmad Said serta Ahli Majlis Pangkuan, Dato’ Abdul Kadir Sulaiman.


Beberapa pimpinan PAS juga bersama memeriahkan dan menyambut Baginda berdua termasuk Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Nerus Ustaz Haji Abu Bakar Abdullah serta Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Setiu Tengku Ahmad Hussein.

Ulasan