Sidang DUN Bajet Negeri Terengganu – YB Wakaf Mempelam Kemuka Usul Tergempar


Kuala Terengganu – Mesyuarat Yang Ketiga (Bajet )Penggal Persidangan Yang Pertama Dewan Undangan Negeri Terengganu Ke 12 (Sidang DUN Bajet) yang dimulakan sekitar jam 9.30 pagi ini (14 Dis) menyaksikan Ahli Dewan Undangan Negeri Wakaf Mempelam membentangkan satu Usul Tergempar.

YB Mohd Abdul Wahid Endut yang juga Bendahari PAS Terengganu telah mengemukakan Cadangan dibawah Fasal 30 Peraturan-peraturan dan Perintah Tetap Dewan Undangan Negeri Terengganu berkaitan perkara yang mustahak bagi orang ramai.

Beliau yang telah mengemukakan usul tersebut jam 11 pagi menyatakan satu cadangan kepada kerajaan negeri Terengganu supaya menubuhkan satu Jawatankuasa Khas bagi menyediakan Kertas Putih – Laporan Perbelanjaan Dan Kajian Projek-projek Dana Khas Kerajaan Persekutuan di Negeri Terengganu dari Tahun 2000 - 2008

Beliau yang ditemui Buletinonline pagi ini, sejurus sebelum Sidang DUN bermula berkata, tujuan beliau mengemukakan usul tersebut supaya kerajaan negeri dapat membuat satu ‘Kertas Putih’ berkaitan Perbelanjaan Dana Khas Kerajaan Persekutuan di Negeri Terengganu untuk rakyat menilai fakta yang sebenarnya.

“Saya akan bentang pagi ini, mungkin ia akan ditolak, kerana Sidang Dewan Undangan Negeri sibuk untuk bajet belanjawan,


“minta supaya kerajaan kaji supaya ada pasukan, setiap satu berkaitan perbelanjaan Dana Khas Kerajaan Persekutuan di negeri Terengganu, supaya ada ’kertas putih’,”katanya.

Beliau berkata dengan itu kerajaan boleh menubuhkan satu pasukan bagi mengkaji satu persatu berkenaan projek-projek yang telah dilaksanakan melalui perbelanjaan dana khas kerajaan persekutuan.

”Sebagaimana yang disebutkan oleh Menteri Besar, ada projek-projek yang diluluskan sebelum ini yang tidak melalui kerajaan negeri, misalnya jalan yang dibuat dalam hutan bernilai jutaan ringgit dan lain-lain lagi,”tambahnya.

Dibawah disiarkan salinan usul tergempar yang dikemukakan oleh ADUN Wakaf Mempelam.

Dato’ Razali ‘Pergi’ Bawa ‘Tuah’ Kepada Mat Said

Kuala Terengganu - Kematian mengejut Timbalan Menteri Pelajaran yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Allahyarham Dato’ Razali Ismail yang rebah ketika sedang bermain badminton di Institut Aminuddin Baki, Genting Highland pada 28 November lalu rupa-rupanya membawa ‘tuah’ kepada Menteri Besar Terengganu, Dato’ Ahmad Said


Ini kerana, kematian tersebut menyebabkan satu Pilihan Raya Kecil P.36 Kuala Terengganu terpaksa diadakan bagi mengisi kekosongan kerusi Parlimen tersebut dan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memutuskan pengundiannya pada 17 Januari 2009 depan.

Sehubungan itu, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak segera mengistiharkan bahawa wang royalti Petroleum Terengganu sebanyak RM408.600 juta akan dikembalikan sepenuhnya kepada kerajaan negeri.

Menurutnya, wang tambahan sebanyak RM408.6 juta itu adalah dari perolehan baki akaun pembayaran royalti tahun 2007 dan 2008 yang belum diserahkan sebelum ini.

“Hari ini wang royalti akan dikembalikan semula kepada kerajaan negeri Terengganu dan selepas ini tidak timbul lagi isu wang royalti di kalangan rakyat.

“Jemaah Menteri telah bersetuju untuk mengembalikan semula wang royalti itu terus kepada Terengganu dan bukan lagi sebagai ‘wang ehsan’, ujarnya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Bayaran Royalti Minyak Separuh Ke-2 Tahun 2008, di Stadium Negeri, dekat sini, semalam.

Sebelum itu, Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Mustafa Ali menyifatkan pemberian royalti tambahan sebanyak RM4.8 juta itu disaat akan diadakan Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu sebagai sebuah lagi drama politik bagi memancing undi.

Beliau menegaskan pemberian tersebut adalah tidak masuk akal kerana Kerajaan Persekutuan masih belum melunaskan jumlah pembayaran royalti sebenar yang sepatutnya diperolehi oleh Terengganu.

“Ini permainan politik saja, kalau yang induk ‘doh’ (sudah) bayar baru boleh kita kata bayaran tambahan tetapi yang induk pun belum dijelaskan macam mana ‘nok’ (hendak) tambah lagi,” ujarnya pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Kecil P.36 Kuala Terengganu, di Markaz Tarbiyyah PAS Kuala Terengganu, 11 Disember lalu.


Mahasiswa Terengganu kecewa sikap Menteri Besar yang berpolitik

Mengecewakan. Itulah gambaran kepada sikap Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said dalam Himpunan Mahasiswa Terengganu 2008 yang dianjurkan Seketriat Persatuan Mahasiswa Anak Terenggau (PERMATA) pada 10 Disember lalu


Program yang telah diadakan dua tahun berturut-turut menjadi medan politik murahan Kerajaan Negeri Terengganu yang dipelopori oleh UMNO untuk berkempen politik kepada mahasiswa yang hadir.

Dalam program yang berlangsung di Dewan Besar Wisma Darul Iman itu, ucapan Menteri Besar Terengganu yang ditujukan khas kepada mahasiswa yang akan mengundi di Parlimen Kuala Terengganu supaya menyokong kepada ’perubahan dan kesenangan’ iaitu Barisan Nasional. Hal ini telah mencemarkan kesucian mahasiswa yang hadir hanya untuk mendengar amanat daripada Menteri Besar, bukannya pemimpin UMNO.

Diselitkan juga ucapan berbaur kempen rayu undi apabila menyebut tentang jumlah tambahan royalti sedangkan ia hanya boleh disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri pada 13 Disember, dan bukannya beliau yang cuba meraih populariti murahan. Bahkan lebih malang, menteri Besar kontroversi ini turut menabur janji-janji yang masih lagi diawang-awangan seperti memberikan setiap laptop kepada semua mahasiswa Terengganu di Intitusi Pengajian Awam dan Swasta di dalam negara dan juga luar negara.


Pihak UMNO yang berselindung di sebalik Yayasan Terengganu turut mengedarkan risalah dan cakera padat berbaur politik kepada mahasiswa yang hadir. Bahkan kelibat puteri UMNO dengan pakaian rasmi mereka mencerminkan hasrat penganjur yang ingin jadikan himpunan mahasiswa sebagai himpunan politik.


Menurut seorang mahasiswa Politeknik Kota Bharu yang hadir dan enggan dikenali, beliau menyatakan kekesalan kerana hadir pada himpunan itu yang jelas jadi tempat propaganda politik dan bukannya perjumpaan antara mahasiswa dengan kerajaan Negeri.


” Saya yang datang dari jauh, Kemaman melihat program ini tidak wajar lagi diteruskan pada tahun hadapan kerana ia sudah diseleweng daripada matlamat asal himpunan jika diteruskan, saya dan rakan-rakan akan boikot program ini pada tahun hadapan,” Ujarnya.


Sementara itu, mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang enggan dikenali turut melahirkan perasaan marah kepada pihak penganjur, Yayasan Terengganu dan juga PERMATA yang cuba mempolitikan mahasiswa.


” Saya melihat motif utama penganjuran himpunan ini tidak lebih sekadar memenuhi kemahuan politik semasa yang memerlukan mahasiswa menyokong parti politik tertentu dan bukannya mempunyai motif yang sesuai dengan jiwa mahasiswa”


” Pihak penganjur yang terdiri daripada mahasiswa Terengganu yang menganggotai Seketriat PERMATA ini wajar dikenakan tindakan di bawah AUKU dan dalang disebalik penganjuran himpunan ini perlu sedar bahawa mahasiswa bukannya boleh diperkotak-katikan,” ujarnya yang juga seorang mahasiswa yang akan mengundi di Parlimen Kuala Terengganu.


Beliau turut melahirkan kebimbangan kerana data maklumat diri yang divberikan untuk cabutan bertuah pada himpunan itu akan dimanipulasikan oleh UMNO untuk propaganda mereka dalam pilihanraya kecil dan ini telah berlaku dalam pilihanraya umum yang lalu.


Penganjuran himpunan yang dijadualkan berakhir pada jam 5.00 petang terpaksa diawalkan kerana kesibukan menteri Besar dan ramai mahasiswa yang hadir pada himpunan itu menyuarakan kekecewaan dengan sikap penganjur yang mempolitikkan mahasiswa serta perjalanan program yang tidak teratur.

Ulasan