Buletin Palsu: Pengundi Buat Laporan Polis

Align Left
Kuala Terengganu - Seorang pengundi, Mohd Azrin Mohd Aris, 30, dari Taman Seri Paloh, dekat sini membuat laporan polis di Balai Polis Kuala Terengganu, di sini petang semalam berhubung penerbitan risalah Buletin Kuala palsu.

Menurutnya, pada 14 Januari sekitar jam 9.00 pagi, beliau telah menerima daripada individu yang tidak dikenali satu salinan naskah bahan bercetak Buletin Kuala siri ke-3 yang mengandungi lambang parti PAS, Keadilan dan DAP.

Tambahnya, bahan bercetak itu mengandungi bahan berita palsu dan memburukkan calon PAS bagi Parlimen P.036 Kuala Terengganu, Haji Mohd Abdul Wahid Endut dan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat dan semua parti politik di bawah Pakatan rakyat.

“Kandungan dalam bahan bercetak tersebut jelas bertujuan mendatangkan kebencian umum masyarakat khususnya pengundi-pengundi bagi Parlimen Kuala Terengganu kepada calon PAS dan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat,” ujarnya dalam laporan itu.

Katanya, berdasarkan kepada catatan nombor siri terbitan tersebut, beliau percaya bahawa beberapa siri terbitan lain telah dibuat dan diedarkan kepada masyarakat umum termasuk pengundi-pengundi bagi Parlimen Kuala Terengganu dengan tujuan memburukkan calon PAS.

“Saya juga percaya bahawa terbitan tersebut adalah satu penyiaran bahan bercetak yang salah dan merupakan amalan salah (corrupt practice) mengikut peruntukan seksyen 11 subseksyen 1(d) Akta Kesalahan Pilihan raya 1954. Saya pohon agar aduan saya disiasat,” katanya lagi.

Buletin Kuala asal yang mengandungi 11 siri diterbitkan oleh Badan Perhubungan PAS Terengganu.

Ulasan