Demokrasi ’Tertutup’


Kuala Terengganu - Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata demokrasi yang diamalkan di negara ini agak tertutup dan terhad tidak sebagaimana di negara barat.

Beliau berkata rakyat hanya mendapat maklumat sebelah pihak sahaja iaitu secara bebas dari pihak parti pemerintah manakala maklumat dari parti bukan kerajaan dikongkong.

“Kita (PAS) melihat, rakyat di negara barat yang mengamalkan demokrasi walau pun di sana (barat) ada perkara yang kita (PAS) tidak setuju dengan barat, kebebasan yang meruntuhkan moral dan masyarakatnya.

“Tetapi di sana (barat) ada amalan-amalan politik yang diambil daripada Islam tetapi ditinggalkan oleh orang Islam dan ini memalukan kita umat Islam,” ujarnya pada Majlis Peristiharan Calon PAS P.36 Kuala Terengganu, di Stadium Negeri.

Katanya oleh yang demikian berlakulah amalan demokrasi yang tertutup serta terhad kepada rakyat bagi mendapat maklumat sebenar.

“Maka, berlakulah amalan demokrasi yang tertutup, yang terhad. Rakyat mendapat maklumat yang bebas dan luas dari satu pihak dan pihak yang bukan kerajaan tidak mendapat maklumat yang seluas-luasnya.

“Kelemahan kerajaan ditutup, bukan sahaja melalui media tetapi juga melalui undang-undang, ISA, OSA, Auku,” tegasnya.

Katanya undang-undang menahan tanpa bicara (ISA) digunakan dengan sewenang-wenang keatas mereka yang berani mengancam keselamatan kerajaan dan bukan keselamatan negara.

“Undang-undang menangkap tanpa bicara (ISA) kepada mereka yang berani mencabar kerajaan sekiranya mengancam keselamatan kerajaan dan bukan keselamatan negara.

“Undang-undang yang menghukum siapa yang berani mendedahkan ‘rahsia-rahsia’ kerajaan walau pun kerajaan yang melakukan kesalahan tidak boleh dirahsiakan.

“Undang-undang yang menghalang pusat-pusat pengajian tinggi, orang cerdik pandai, pensyarah-pensyarah dan mahasiswa dan mereka dibelenggu seperti rakyat biasa,” ujarnya.

Beliau berkata suasana politik dalam negara hari ini sudah berubah setelah kejayaan Pakatan Rakyat menghapuskan majoriti kerajaan BN dua pertiga di peringkat pusat.



Wahid Akan Senarai dan Dedahkan ’Pengkhianatan’ Kerajaan UMNO/BN

Kuala Terengganu - Calun PAS bagi pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu berkata beliau akan mengumpulkan semua ucapannya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi mendedahkan segala kepincangan kerajaan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

“Dari tahun 2000 – 2005 sebanyak RM 200.34 juta wang royalti kerajaan Terengganu telah diberikan kepada kerajaan-kerajaan negeri yang lain, ia meningkat sebanyak RM 600 juta lagi sehingga tahun 2008,”kata Mohd Abdul Wahid selepas ceramah pengenalan calun di Gong Pauh dekat sini semalam.

Beliau berkata demikian apabila ditanya pihak media tentang ucapannya dalam ceramah tersebut yang menegaskan beliau akan menyenaraikan segala penyelewengan dan pengkhianatan yang dilakukan oleh UMNO/BN.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Wakaf Mempelam berkata, beliau pernah mengusulkan beberapa usul dan sidang DUN termasuk hal yang berkaitan royalti minyak.

Namun hasrat baiknya meminta kerajaan mendedahkan scara terperinci kemanakah wang royalti tersebut ‘lesap’ tidak menjadi realiti kerana usul beliau ditolak oleh Sidang DUN.

Beliau berkata kerajaan negeri yang dikuasai oleh UMNO/BN sepatutnya mempunyai dasar dan praktik yang jelas berkaitan ketelusan, pertanggungjawaban dan urus tadbir yang baik.

“Biar dia(kerajaan) jelaskan, rakyat ingin tahu berapa banyak yang kerajaan perolehi dari wang royalti yang diterima dari kerajaan pusat,”tambahnya.

Ulasan