Pakatan Rakyat Perjuangkan Hak Rakyat


Kuala Terengganu – Calon PAS bagi pilihanraya kecil Kuala Terengganu berkata Pakatan Rakyat sentiasa memperjuangkan dan membela hak rakyat  secara konsisten tanpa mengira kaum.

"Kita menentang kezaliman atas nama Islam, dan ianya bukan masalah membabitkan bangsa," katanya  ketika mengunjungi para peniaga di pasar pagi Kampung Tiong Kuala Terengganu sambil menghadiahkan sekuntum bunga ros kepada setiap orang ahli komuniti masyarakat Cina yang ditemuinya di kawasan itu.

Beliau berkata pelaksanaan beberapa dasar dan undang-undang seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) serta tindakan diskriminasi kepada mana-mana kaum atau agama tidak wajar diteruskan. 

"Mesej kita jelas iaitu tidak boleh berlaku kezaliman kepada mana-mana pihak, termasuk apa jua agama dan bangsa,"katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam.

Kehadiran ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok bersama dalam program kunjungan tersebut turut menambah keyakinan dan kefahaman penduduk setempat terhadap mesej yang dibawa Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil ini.

Katanya beliau akan terus ’turun ke bawah’ mendekati masyarakat bukan Melayu dalam bandar Kuala Terengganu bagi mengenal pasti masalah yang dihadapi dan membantu mereka.

"Saya rasa saya tidak menghadapi masalah memandangkan saya pernah bertanding di DUN Bandar pada tahun 1986, malah saya juga menemui mereka yang masih mengundi di sini," katanya lagi.

Mengulas lanjut situasi semasa beliau berkata kegawatan politik dan ekonomi menyebabkan masyarakat semakin percaya kepada kerajaan UMNO/BN menangani masalah yang dihadapi.

"Saya cukup yakin bahawa mereka tidak akan teragak-agak untuk memberikan sokongan mereka kepada PAS," tegasnya.

Beliau turut menjelaskan rakyat bukan Islam tidak perlu takut dengan Hudud kerana ianya hanya dilaksanakan untuk masyarakat Islam sahaja.

"Hudud tidak perlu ditakuti kerana ianya adalah untuk orang Islam sahaja, lagipun ianya telah diluluskan oleh Sultan Terengganu sewaktu PAS memerintah Terengganu.

"Ia tidak boleh menjadi isu kerana sebelum ini pun tidak mendatangkan apa-apa masalah kerana yang penting masyarakat Cina perlu tahu apa yang Pakatan Rakyat buat adalah untuk kebaikan mereka,"tambahnya.

Ulasan