Catatan Wakil MAFREL PRK P.036 - Menyedari Dan Mempertahankan Hak Berkempen Dalam Pilihanraya

Para aktivis dan pemimpin parti yang bertanding haruslah menyedari hak serta mempertahankannya dalam negara yang mengamalkan sistem demokrasi.

“Budaya beralah apabila menerima ugutan harus dipecahkan dalam masyarakat, menegakkan hak dan bersetuju atas perkara yang betul dan tidak bersetuju atas perkara yang salah haruslah menjadi pegangan dalam apa jua tindakan serta memastikan setiap tindakan yang di ambil sentiasa betul,”kata Dr; Lo’ Lo’ Mohd Ghazali, Ahli Parlimen Titiwangsa

Program Klinik Bergerak (Mobile Klinik) anjuran PAS Parlimen Titiwangsa dan Kota Raja dengan kerjasama Cawangan PAS Gelong Bilal, Pasir Panjang adalah satu contoh yang masih segar, sepanjang kempen pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu.

Program tersebut yang telah berlangsung pada 16 Januari lalu, telah diganggu oleh JawatanKuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Rumah pangsa Gelong Bilal.

Mereka tidak membenarkan program tersebut diadakan dalam dewan orang ramai dan mendesak supaya mengalihkan program tersebut ke blok lain dengan alasan Menteri Besar (MB) Terengganu, Dato’ Ahmad Said akan melawat pada pagi itu.

Sedangkan sebenarnya, ianya adalah alasan semata-mata kerana bersikap tidak rasional, tidak demokratik dan takut program tersebut dapat mempengaruhi pengundi dikawasan itu.

Tidak ada lawatan MB Terengganu !

Walaupun hasil perbincangan, Ketua Cawangan PAS hampir bersetuju untuk mengalihkan tempat, tetapi Dr.Lo’lo’ tetap bertegas dan akan meneruskan program itu di situ.

Ketidakpuasan hati dari JKKK Rumah Pangsa Gelong Bilal menyebabkan mereka melaporkan kepada pihak berkuasa, untuk kononnya mendapat pembelaan dan cuba menunjukkan ‘kuasa mereka’, kononnya.

Namun sebaliknya pihak polis, bukan melarang bahkan memberikan kerjasama yang amat baik dan mengarahkan supaya meneruskan program.

Akhirnya, hasil perbincangan dengan pihak polis, program tersebut menjadi satu program bersejarah, apabila ianya menjadi program anjuran PAS yang dikawal oleh pihak polis, dari awal hingga tamat sekitar jam 11.30 pagi tanpa gangguan.

Program Mobile Klinik memberikan perkhidmatan rawatan percuma kepada setiap pengunjung tanpa mengira fahaman politik, bangsa dan agama.

Disamping itu program tersebut diselang selikan dengan pertandingan mewarna untuk kanak-kanak dengan tawaran hadiah-hadiah yang istimewa.

Kuiz terbuka bagi semua peringkat turut diadakan dan menawarkan hadiah paling lumayan, sebuah jam tangan yang berjenama.

Dr. Lo’Lo’ berkata beliau berharap agar MAFREL dapat mengadakan taklimat mengenai hak-hak berkempen dalam pilihanraya.

Sebagai sebuah badan NGO yang berkaitan dengan pilihanraya, MAFREL juga diharapkan dapat memainkan peranan dan harus lebih berani menegur bukan sahaja pihak parti pembangkang tetapi kepada pihak parti pemerintah.

“Bagi PAS kami bersedia menerima teguran dan berlapang dada untuk berbincang serta memperbaiki kesilapan”, katanya kepada wakil MAFREL selepas majlis tersebut.



Ulasan