UMNO-BN Perak Takut Dengan Kerajaan Pakatan Rakyat – Ustaz Norazli

Kemaman – UMNO dan Barisan Nasional (BN) takut dan bimbang pencapaian cemerlang kerajaan Pakatan Rakyat negeri Perak akan menyebabkan negeri-negeri lain dibawah kekuasaannya tumbang.

“Pencapaian kerajaan negeri Perak dalam masa 11 bulan sangat cemerlang, sebab itu UMNO dan BN bimbang dan bertindak merampas kuasa kerajaan yang dipilih oleh rakyat,”kata Ketua Dewan Pemuda PAS Perak Ustaz Norazli Musa selepas majlis penerangan PAS DUN Chukai, di Dataran Geliga, di sini semalam.

Menurutnya kejayaan Pakatan Rakyat yang diterajui PAS berjaya memecahkan tembok kepercayaan karut, hanya UMNO/BN sahaja yang boleh memerintah, sehingga menyebabkan suatu kejutan budaya kepada pimpinan UMNO-BN Perak.

Beliau berkata, sebagaimana kerajaan Barisan Alternatif yang diterajui PAS di Terengganu pada tahun 1999 – 2004, kerajaan Pakatan Rakyat Perak telah memberikan tanah kepada rakyat Perak yang layak tanpa mengira kaum, ugama dan latarbelakang politik.

Oleh itu, katanya kejayaan tersebut menjadikan pelbagai lapisan masyarakat tertarik untuk menyertai dan menjadi ahli PAS termasuk orang asli.

“Sampai orang asli pun minat dengan PAS, saya pergi naik pacuan empat roda ke Pos Poi, Sungai Siput Perak untuk terima borang keahlian,

“seramai 55 orang asli, menjadikan ia adalah cawangan PAS dikalangan orang asli yang pertama di dunia,”kata Norazli yang juga Pengawai Khas kepada Exco Pendidikan da Ugama Perak.

Katanya keberkatan dari tindakan kerajaan manaikkan elaun guru-guru ugama telah meningkatkan hasil kutipan zakat bagi seluruh negeri Perak dari RM43 juta pada tahun 2007 kepada RM 57 juta pada tahun 2008.

Ketokohan Menteri Besar, katanya, telah berjaya mewujudkan perpaduan diantara kaum dan silaturRahim diantara kakitangan kerajaan negeri.

“Perpaduan kerajaan Pakatan Rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum Melayu, India, China dan juga Sikh meninggalkan kesan dikalangan kakitangan,

“ketokohan YB Hj Nizar yang mesra dengan kakitangan menyebabkan ada dikalangan mereka menitiskan air mata apabila beliau (Nizar) dipaksa meninggalkan bangunan Perak darul Ridzuan,”ujarnya.

Oleh yang demikian, kata beliau, UMNO/BN menjadi takut sehingga tidak ada jalan lain, kecuali merampas kuasa.

Beliau turut menyeru kepada semua ahli-ahli PAS dan penyokong Pakatan Rakyat agar dapat membantu PAS dan Pakatan Rakyat negeri Perak menghadapi pilihanraya kecil parlimen Bukit Gantang yang akan diadakan pada 7 April, 2009.

Turut hadir dalam Majlis Penerangan anjuran MTD Chukai adalah Yang DiPertua PAS Kawasan Kemaman Hj Ismail Harun dan Timbalannya, Hj Hanafiah Ramly @Mat dan Ketua Penerangan Ustaz Alias








Ulasan