Isu PPSMI, UMNO Berlidah Dua dan Bertelinga Satu





Kuala Terengganu – Gerakan Mansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (GMPPSMI) telah berjaya melakar sejarah baru perjuangan rakyat bersama Parti Islam Se Malaysia (PAS).

Ahli Dewan Undangan Melor, Kelantan, Ustaz Wan Ismail Wan Jusoh berkata, selama hayatnya hampir setengah abad, beliau belum pernah melihat tokoh-tokoh bahasa, budayawan dan ahli-ahli akademik duduk diatas pentas PAS.

“Tuan, tuan sekelian….. selama ini setakat saya hidup (atas dunia) inilah, tak pernah jumpa lagi tokoh-tokoh budayawan, tokoh-tokoh bahasa,

“ahli-ahli akademik dalam bidang bahasa, pejuang-pejuang bahasa, boleh duduk atas pentas Parti Islam SeMalaysia (PAS), kecuali pada waktu ini,”katanya dalam siri ceramah GMPPSMI di Cabang Tiga Kuala Terengganu, semalam.

Menurutnya, Sasterawan Negara Dato’ A Samad Said telah berceramah di Kota Bharu dan beliau telah ‘membahasakan’ pemimpin UMNO sebagai manusia yang bercakap banyak tetapi tidak mendengar rintihan orang lain.

“Dia kata (Pak Samad), pemimpin UMNO…….Lidah dua, telinga tak ada……. Eh..lidah dua telinga satu……. jadi ‘kecek banyok hok buah orang tak dengar’, tak boleh nak ajar dah,”

“Seorang budayawan seorang pejuang basa seorang ahli sastera, itu kesimpulan yang boleh dibuat olehnya kepada pimpinan UMNO,”ujar Ustaz wan Ismail.

Katanya Pak Samad sebagai seorang budayawan, seorang pejuang bahasa dan sasterawan membuat kesimpulan begitu kerana beliau dapat menghayati bagaimana parahnya penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin UMNO.








Perhimpunan Raksaksa Mansuh PPSMI Hari Ini (7 Mac 2009)


Perhimpunan 100,000 rakyat bagi membantah pelaksanaan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Ingeris (PPSMI) anjuran Gabungan Mansuhkan PPSMI (GMP) akan berlangsung seperti dijadualkan di Masjid Negara.

Menurut Pengerusi jawatankuasa induk GMP, Datuk Dr. Hassan Ahmad pihaknya telah mendapatkan permit daripada pihak polis semalam bagi mengadakan perhimpunan tersebut.

"Pihak polis hanya membenarkan tujuh orang daripada ahli jawantkuasa GMP untuk menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Sultan Mizan Zainal Abidin di Istana Negara.

"Saya sendiri akan mengetuai rombongan ini dengan menaiki kereta," katanya dalam satu sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat akhir gabungan itu di pejabat Persatuan Penulis Nasional (Pena) di sini hari ini.

Selain Dr Hassan, Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said, Dr Shahrir Mohd Zain, profesor bahasa Dr Abdullah Hassan, Timbalan Pegerusi GMP, Dr Shahril Mohd Zain dan Setiausaha GMP, Hasni Abas akan diiringi polis ke istana pada pukul 2 petang.

Bagaimanapun Dr Hassan berkata polis tidak membenarkan sebarang usaha untuk melakukan perarakan ke Istana Negara.

Jelasnya, pihak polis tidak membenarkan sebarang perarakan bagi menjaga keselamatan kerana perhimpunan esok dijangka melibatkan puluhan ribu orang.

"Kami telah memberitahu polis ini bukan tunjuk perasaan atau demonstrasi, ini juga bukan gerakan menentang kerajaan atau mana-mana pihak. Kami hanya mahu menyerahkan memorandum kepada YDPA.

"Sejak dari awal lagi kami telah menjelaskan pendirian kami bahawa gerakan ini tidak mempunyai apa-apa kepentingan politik dan kami juga tidak akan membenarkan sesiapa mengeksploitasinya," katanya.

Beliau menyifatkan penyertaan ahli-ahli daripada parti politik tertentu yang menyertai perhimpunan itu esok sebagai hak mereka sebagai rakyat Malaysia.

"Kami tidak dapat melarang mereka untuk membantah PPSMI," ujarnya.

Menurut Dr Hassan, pihaknya akan cuba berunding dengan polis sekali lagi bagi membenarkan lebih ramai penyokong bersama-sama ke Istana bagi tujuan tersebut.

"Kalau tidak boleh, apa boleh buat. Polis bukannya keras sangat. Mereka masih boleh diajak berunding," katanya.

Ditanya apakah kandungan memorandum yang akan diserahkan kepada YDPA esok, Dr Ahmad berkata terdapat dua perkara yang dikemukakan, pertama meminta PPSMI kembali diajar dalam bahasa ibunda masing-masing dan kedua meminta pihak kerajaan meningkatkan tahap penguasaan Bahasa Inggeris di Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Jenis Kebangsaan.

Sebanyak 135 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan turut serta dalam perhimpunan esok termasuklah Yayasan Tamil Kebangsaan dan Gabungan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zhong).

"Kami juga akan mendapat bantuan keselamatan daripada unit amal Pas semasa perhimpunan dijalankan," katanya. - mStar

Ulasan