Ekoran Krisis Keyakinan Terhadap Ahmad - PAS Pelawa Tubuh Kerajaan Baru



Kuala Terengganu – Rakyat terutamanya ahli PAS dan para penyokongnya telah menghadapi kezaliman dan ketidaksamarataan oleh kerajaan UMNO dan Barisan Nasional (BN) Terengganu dari tahun 2004 hingga Mac tahun 2008. (Video Klip di akhir berita)

Oleh itu, kerajaan yang dipimpin oleh Menteri Besar Dato’ Ahmad Said diharap dapat membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi, kesan dari tindakan yang rakus kerajaan penggal lalu itu.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Ustaz Harun Taib berkata demikian dalam penggulungannya membahaskan ucapan Yang DiPertua Majlis Penasihat Pemangku Raja (YDP MPPR) Tengku Badrulzaman Sultan Mahmud.


“Kami (PAS) kerajaan baru ini dapat membantu orang-orang kami, kami ada cara tersendiri untuk membebaskan kemiskinan iaitu dengan memberikan tanah kepada para petani,

“kami menyediakan tapak-tapak rumah kepada orang-orang miskin, orang yang tidak ada tapak rumah, ada yang sudah dilulus, ada yang sudah dibayar, tetapi tindakan rakus kerajaan negeri 2004 – 2008 telah merampas semua sekali,”katanya pada hari terakhir sidang DUN Terengganu, semalam.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu berkata, apa salahnya jika Yang Amat Berhormat (YAB) Menteri Besar dan para Exco serta pegawai tertinggi kerajaan negeri Terengganu, membantu orang-orang miskin itu untuk dikembalikan hak mereka.

“Menyemak semula segala keputusan yang telah lalu, apakah salahnya, itu rakyat kita, inilah sebabnya tiap-tiap tahun (kirta) bercakap, basmi kemiskinan, basmi kemiskinan,

“kenapa tak dapat (membasmi kemiskinan) kerana tidak sampai kepada sasaran,”tegasnya

Katanya, jika kerajaan negeri mempunyai perancangan yang baik, PAS akan menyokong demi untuk mengembalikan keadilan dan hak kepada yang berhak.

“Jika ada sesuatu agenda yang baik, kita harap Yang Amat Berhormat dapat teruskan, terutama sekali untuk mengembalikan dan mengujudkan keadilan,”jelasnya.

Namun begitu, beliau berkata, segala usaha tersebut mestilah dihadapi dengan tenang, gigih dan bersungguh-sungguh.

Justeru, beliau mempelawa Menteri Besar dan para Exconya untuk bersama-sama dengan PAS dan membentuk kerajaan baru yang lebih kuat sekiranya usaha tersebut tidak dapat dilaksanakan.

“Kalau YAB berasa sulit untuk menghadapi dalam keadaan kerajaan yang macam ini, YAB dan sahabat-sahabat (anggota exco), boleh menyeberang ke sebelah kami,

“YAB ada sebelas (wakil rakyat), kami ada lapan, jadi 19, kerajaan yang kukuh, kita tubuh kerajaan baru,”katanya merujuk kepada ketidakyakinan ADUN BN terhadap kepimpinan Dato’ Ahmad.

Sehari sebelumnya, 10 ADUN BN telah memboikot sidang DUN Terengganu atas alasan keselamatan setelah tiga daripadanya mendakwa mendapat SMS ugutan bunuh.

ADUN Permaisuri, Abdul halim Jusoh yang menerima ugutan itu berkata, ia berkait rapat dengan ura-ura pihak tertentu yang dikatakan akan membawa ‘usul undi tidak percaya’ keatas Menteri Besar negeri Terengganu.




Ulasan