Setiausaha Sulit Kanan Menteri Besar Hantar SMS Ugut Bunuh – ADUN BN


Kuala Terengganu – Konspirasi bertujuan menjatuhkan Menteri Besar Terenggau, Dato’ Ahmad Said semakin jelas apabila dua orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) membuat laporan polis (Video Klip pada akhir berita ini)

ADUN Permaisuri Abdul Halim Jusoh dan ADUN Paka Zakaria Arifin memberitahu media mereka menerima ugutan bunuh melalui sistem pesanan ringkas (SMS) dari seorang yang tidak dikenali.

“pada lebih kurang 11.21 malam dalam perjalanan dari Kuala Terengganu ke Gong Badak, untuk minum, tiba-tiba saya menerima SMS,

“apabila saya tengok SMS itu saya terkejut sebab SMS itu merupakan ugutan terhadap nyawa saya,”kata Abdul Halim kepada pihak media selepas membuat laporan polis di balai polis Kuala Terengganu, awal pagi hari ini 14 April.

Menurutnya SMS yang berbunyi “baik jangan teruskan YB, YB tak sayang nyawa?” adalah satu ugutan yang serius.

Katanya, dengan ugutan sebegitu, beliau merasakan nyawa beliau terancam kerana sebagai ADUN beliau sering berjalan kemana-mana.

Namun begitu, katanya, beliau merasa begitu sedih kerana apabila beliau menyemak nombor telefon yang menghantar SMS itu dari buku rasmi kerajaan negeri Terengganu, ianya datang seorang pegawai tinggi kerajaan.

“apabila saya check (semak) dari diari rasmi kerajaan negeri Terengganu rupa-rupanya SUSK ni, kita terima mesej ni, nombor yang saya terima ini adalah nombor daripada pegawai kanan kerajaan negeri Terengganu,”ujarnya.

Katanya individu itu adalah orang yang begitu rapat dengan Yang Amat Berhormat dato’ Menteri Besar iaitu Setiausaha Sulit Kanan Menteri Besar.

Beliau berkata, pada anggapannya, ugutan tersebut adalah berkait dengan isu ‘undi tidak percaya’ terhadap Menteri Besar Negeri Terengganu.

“Ugutan ini, pada sayalah, saya tak tahu, sebab pada anggapan saya sebab, sekarang isu yang paling hangat adalah isu mengenai undi tidak percaya terhadap Yang Amat Berhormat Menteri Besar kitalah…,”katanya

Bagaimana pun, katanya beliau tidak pasti samada ia benar atau tidak, kerana menurutnya beliau dan rakan-rakannya tidak ada rancangan tentang membawa usul undi tidak percaya tersebut.

“kami semua tidak ada rancangan mengenai benda ini (undi tak percaya) mungkin ada sesuatu yang meggerakkan mereka, jadi mereka mengancam kita, kalau benda ini berlaku dalam dewan, saya mungkin menjadi salah seorang pengundinya, tapi saya tak tahu apa-apa rancangan tentang benda ni,”tambahnya.

Beliau mengatakan turut sama menerima ugutan tersebut adalah ADUN Paka, Zakaria @ Mohd Ariffin Abdullah, yang turut hadir membuat laporan polis.

Menurut Zakaria, turut menerima SMS yang sama adalah ADUN Ajil Dato’ Rosol Wahid, yang menerima ugutan tersebut dari nombor lain, dipercaya hantaran melalui komputer.


Ulasan