Presiden, Timbalan Mesti Ulama, Terengganu Sokong Ketua Dewan Ulama’

KUALA TERENGGANU – Dewan Ulama PAS Negeri Terengganu menyokong kenyataan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Dato’ Ustaz Mohamad Daud Iraqi yang menegaskan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden PAS mestilah disandang oleh golongan ulama’.

Ia merupakan satu peringatan kepada semua ahli tentang dasar ‘Kepimpinan Ulama’’ yang telah memutuskan bahawa kepimpinan utama, mestilah terdiri dari kalangan ulama’.

Timbalan Ketua Dewan Ulama’ PAS Terengganu Ustaz Abu Bakar Abdullah berkata demikian apabila ditemui pihak media selem selepas merasmikan Mesyuarat Agong Tahunan Kali Ke 9 Yayasan Kebajikan dan Pembangunan Pendidikan Terengganu (YAKEP) di Tok Jiring dekat sini, hari ini.

Menurutnya dasar Kepimpinan Ulama’ telah dibawa oleh pemuda pusat kedalam Muktamar tahun 1983 dan diterima sebulat suara.

Oleh sebab itu, katanya, Majlis Syura Ulama’ ditubuhkan dan sejak itu ia menjadi amalan parti, jawatan Presiden dan Timbalan mestilah dari kalangan ulama’

“Amalan kita daripada dulu lagi, teraju kepimpinan utama, Presiden (mestilah dari kalangan) ulama’ dan Timbalan Presiden (juga dari kalangan) ulama’,


“kemudian dibantu oleh naib-naib Presiden yang digabungkan antara ulama’ dan golongan profesional dan juga (dibantu) oleh ahli jawatankuasa kerja PAS Pusat,”ujarnya


Katanya kenyataan Ketua Dewan Ulama’ tersebut mestilah disokong sepenuhnya ooleh semua pihak bagi menjaga kepentingan parti dan menjaga sokongan serta kepercayaan masyarakat terhadap PAS pada hari ini.

Mengulas tentang hasrat Ustaz Mohamad Daud Iraqi yang mahu berundur dari mengetuai Dewan Ulama’, beliau berkata beliau telah maklum tentang perkara tersebut.

Apabila ditanya samada beliau akan bertanding di peringkat pusat berikutan kekosongan tersebut, beliau berkata perkara itu akan ditentukan oleh syura dikalangan ulama’.

“Dalam hal ini (pemilihan peringkat pusat) kita lebih mengguna pakai syura dikalangan ulama’ sendiri, terpulanglah kepada perwakilan untuk mencadangkan sesiapa,” katanya.


Ulasan