Ahmad dalam sidang media di Wisma Darul Iman petang semalam 2 Jun, berkata Sijil Layak Menduduki sementara telah dikeluarkan oleh JKR sebelum perasmian pada 10 Mei, 2008.
Sedangkan Ghazali pada petang ini berkata bumbung terbabit adalah antara kemudahan di stadium tersebut yang belum diberikan sijil tersebut.
Ghazali berkata, mengikut amalan kerja, JKR akan mengeluarkan Sijil Siap Kerja terhadap bangunan milik kerajaan yang sudah siap dibina.
"Hanya kemudahan seperti trek, padang selain beberapa tempat di luar stadium telah diberikan sijil itu. Sijil ini telah dikeluarkan semasa penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) pada 31 Mei tahun lepas.
"Bumbung stadium masih belum diberikan sijil tersebut kerana masih dalam tempoh kecacatan (jaminan)," katanya ketika ditemui selepas mengiringi Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek meninjau stadium berkenaan hari ini.
Justeru, persoalan yang timbul adalah, bagaimana CF boleh dikeluarkan keatas bangunan Stadium Sultan Mizan, sedangkan bumbungnya belum ada sijil siap kerja?
Pengeluar CF Stadium, Adalah Penjenayah Yang Mesti Di Hukum
KUALA TERENGGANU – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Terengganu telah membuat satu laporan polis keatas tragedi Stadium runtuh dibalai polis Kuala Terengganu disini semalam.
Ketuanya, Cikgu Fariz Musa berkata pihak polis mesti melakukan siasatan dengan segera dan mendakwa mereka yang bertanggungjawab meluluskan Sijil Layak Menduduki (CF) Stadium berkenaan.
“Nasib baik tidak berlaku pada hari ini (semalam), 3hb hingga 6hb, (yang) sepatutnya berlaku acara sukan staf universiti peringkat kebangsaan yang bermula hari ini sehingga 6hb,
“bayangkan, kalau berlaku hari ini atau pub dalam masa tempoh ini, maknanya kita sedang sibuk mengeluarkan mayat-mayat yang berada dalam runtuhan dan timbunan stadium tersebut,”ujarnya.
Beliau berkata mereka yang meluluskan CF keatas stadium yang belum siap itu adalah satu jenayah yang sangat besar.
Beliau mempertikaikan dan mengesyakki telah berlaku penyelewengan dalam proses pengeluaran CF.
Katanya, setiap pengeluaran CF keatas sesuatu bangunan hanya boleh dibuat sekiranya ia mendapat sokongan dari pelbagai pihak termasuk Jabatan Kerja Raya, Bomba dan lain-lain.
Namun menurutnya, Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang dirasmikan pada 10 Mei, 2008 belum siap dan tidak layak dikeluarkan CF.
“Kami mempertikaikan dan mengesyakki timbul perkara yang tidak betul berkaitan pengeluaran CF atau Sijil Layak Menduduki,
“pelbagai aspek (termasuk) keutuhan (kekukuhan) dan keselamatan bangunan mesti diambil kira oleh pihak berkuasa, barulah (sebelum) CF dikeluarkan,
“semua orang tahu bangunan (stadium) tersebut belum lagi siap sepenuhnya ketika dirasmikan,”tegasnya dalam sidang media yang diadakan selepas laporan polis dibuat.
Laporan polis dibuat setelah sebuah akhbar media perdana yang melaporkan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Ahmad Said mengatakan Stadium tersebut memiliki CF.
Ahmad dilaporkan berkata demikian dalam sidang akhbar yang diadakan di Wima Darul Iman pada jam 4.30 petang 2hb Jun, 2009.
Ahmad Arah Periksa 3 Projek Idris, Sudah Tahu Masalah Bumbung Tahun Lalu
KUALA TERENGGANU – Menteri Besar Terengganu, Dato' Ahmad Said telah mengarahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) memeriksa tahap keselamatan tiga projek mega di sini iaitu bangunan Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kompleks Renang dan Stadium Tertutup di Gong Badak.
“Hari ini kita juga telah membuat keputusan untuk meminta JKR menyiasat bangunan-bangunan lain, termasuk stadium tertutup, lapangan terbang, dan kolam renang,
“benda-benda yang baru belaka, nampak ada benda-benda yang tak kena, kasar satu, benda yang tak betul, kita bimbang,”katanya dalam sidang media selepas mesyuarat mingguan exco kerajaan negeri di Wisma Darul Iman, semalam.
Katanya, beliau telah mengarahkan Exco Infrastruktur (JKR) supaya menghubungi Pengarah Jabatan Kerja Raya supaya membuat siasatan berkenaan.
Ketiga-tiga projek tersebut adalah antara projek mega yang pernah disebut oleh Ahmad sebagai projek mega yang akan dikaji semula.
Ketiga-tiga projek terbabit juga adalah 'flagship' Impian Menjadi Realiti yang dilaksanakan pada zaman bekas Menteri Besar Idris Jusoh.
Dalam sidang media yang sama, Ahmad turut mendedahkan, keadaan tidak selamat pada bumbung yang runtuh semalam telah dikesan semasa perasmian Sukma tahun lalu.
Katanya, acara majlis pembukaan melibatkan ‘gimik’ komando polis turun dengan tali dari bumbung, terpaksa diubah kepada turun dengan tali dari helikopter.
Ia adalah kerana, katanya, ketika pasukan tersebut cuba memasang tali untuk turun dari bumbung itu, ia bergegar dan bergoyang.
“Semasa hendak perasmian Sukma, peringkat awal, hendak diadakan acara turun dengan tali dari bumbung ke bawah,
"tapi saya dimaklumkan, semasa membuat tinjauan, dia (polis) kata dia tak yakin, tak selamat bila dia pasang dia nak turun, benda (bumbung) itu bergegar, bergoyang,
“sebab itu kita tukar (kepada) turun dari helikopter,”jelasnya.
Beliau berkata sebelum acara pembukaan Sukma juga, beliau melihat bumbung stadium itu tidak sama rata seolah-olah ada yang tidak betul.
Ulasan