Warga Kuala Terengganu Kesal Tindakan Keterlaluan Polis

KUALA TERENGGANU – Ramai warga kota Kuala Terengganu telah menyaksikan tindakan keterlaluan pihak polis dalam dua sekatan jalanraya di Jalan Bukit Kecil dan Jalan Gong Kapas disini lewat petang Sabtu, 20 Jun lalu.

Sekatan polis di dua lokasi berhampiran itu dilihat sebagai bertujuan menahan penunggang dan pembonceng motosikal.

Malangnya, beberapa buah motosikal yang tidak berhenti pada sekatan tersebut telah di kejar dan di pukul dengan kayu oleh polis yang berpakain preman.

Tidak cukup dengan tindakan itu, mereka telah melemparkan kayu tersebut menyebabkan orang ramai hampir menjadi mangsa.

(Gambar - polis berpakaian preman 'standby' di lampu isyarat menunggu mangsa)

Tindakan itu turut membahayakan pengguna jalan raya dengan sekurang-kurangnya sebuah motosikal telah terbabas, melepasi pembahagi jalan dan hampir melanggar kenderaan lain di jalan bersebelahan.

Orang awam yang ditemui ditempat kejadian melahirkan rasa kesal dengan tindakan pihak polis terbabit.

Seorang pemuda lingkungan 20an berkata pihak polis sepatutnya menahan atau menangkap para pengguna jalanraya yang melakukan kesalahan dengan cara yang betul.

”Katok orang dan plekong dengan kayu, saya rasa, tindakan yang tak betul,”katanya yang tidak mahu dikenali.

Rakannya, yang dikenali sebagai Awang, berkata tindakan pihak polis untuk menegakkan undang-undang dengan cara sebegitu akan menyebabkan orang awam ‘benci’ kepada pihak polis.

Jawatankuasa Lajnah Guaman PAS Terengganu, Fathi Aziz Abu Bakar berkata tindakan polis tersebut adalah tidak mengikut undang-undang dan merupakan satu tindakan yang keterlaluan.

”Polis boleh mengejar dan menahan mengikut prosedur, penunggang motosikal yang tidak berhenti kerana melakukan kesalahan melanggar undang-undang,

”apabila memukul dengan kayu, tindakan pegawai tersebut adalah melebihi dan telah menggunakan kekerasan keterlaluan,”katanya ketika dihubungi Bultinonline.

(Gambar - seorang polis berpakaian preman (berbaju belang, kiri) berlari mengejar motoskal yang tidak berhenti pada sekatan)

Malangnya, kata beliau, mengikut peruntukan undang-undang, sekiranya seseorang individu yang diperlakukan demikian, hanya boleh mengambil tindakan sekiranya dapat mengenalpasti pegawai polis yang melakukannya.

Katanya dalam banyak kes, pengadu tidak boleh mengambil tindakan undang-undang kerana polis yang melakukannya tidak memakai pakaian seragam.

Sumber Buletinonline memberitahu tindakan polis Sabtu lalu adalah usaha mencegah ‘Mat Rempit dan kegiatan lumba haram’.

Katanya, ia dipercayai berkait rapat dengan tindakan 300 orang Mat Rempit yang telah bertindak balas dengan memukul dan merosakkan peralatan serta kenderaan polis di Jalan Sultan Mizan bersebelahan pasaraya Mydeen dua minggu lalu.

Dalam kejadian itu, seramai 120 orang Mat Rempit telah ditahan dan dibawa ke Balai Polis Kuala Terengganu

Ulasan