Presiden PAS ziarah anggota bomba kemalangan


KUALA TERENGGANU; 17 Julai (Hrkh)- Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang melakukan lawatan menziarahi anggota bomba yang terlibat dengan kemalangan di Felda Belara, Setiu, 14 Julai 2009 lalu.

Beliau ditemani oleh Pengerusi Lajnah Kebajikan PAS Terengganu, Ustaz Abu Bakar Abdullah di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu.

Sebelum itu, dua Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Dato’ Abu Bakar Chik dan Haji Mohd Abdul Wahid Endut juga ditemani oleh Ketua Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Mohd Nor Hamzah turut berbuat demikian.

Dalam kejadian ‘malang’ itu berlaku berhampiran lading kelapa sawit kira-kira pukul 5.50 petang yang mengakibatkan empat dari lapan anggota bomba tersebut cedera parah.

Harakah dimaklumkan kesemua anggota bomba terbabit dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu yang dalam perjalanan ke Sungai Tong, Setiu bagi menyelamatkan satu mangsa kemalangan lain.

Sehubungan itu, PAS Terengganu merakamkan ucapan takziah serta mendoakan kesejahteraan kepada semua anggota terbabit.

Ustaz Abu Bakar berkata PAS Terengganu turut melahirkan rasa dukacita dengan kejadian yang berlaku serta merakamkan ucapan takziah.

Namun begitu, katanya semua itu merupakan takdir dan orang Islam dikehendaki bersabar serta mendoakan keselamatan.

“Ya, PAS negeri Terengganu mengucapkan takziah kepada semua keluarga mangsa kemalangan dan mendoakan keselamatan dan kesejahteraan,” ujarnya.

Menurutnya, jasa serta pengorbanan anggota bomba sangat besar dan wajar dihargai oleh semua pihak.

Ulasan