Muslimat PAS Terengganu tumpu program kebajikan

KUALA TERENGGANU - Muslimat PAS Terengganu kini dilihat lebih ke arah memberi tumpuan pada gerak kerja kebajikan dan kemasyarakatan.

Ketuanya, Sapinah Jusoh berkata gerak kerja Muslimat PAS kini bukan hanya kepada politik semata-mata tetapi juga ke arah kerja kebajikan dan kemasyarakatan.

“Dewan Muslimat PAS Terengganu hari ini selain daripada tumpuan politik, kita juga terlibat dengan gerak kerja dan program kebajikan dalam masyarakat.

“Aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan menjadi sebahagian dan tumpuan utama Muslimat PAS masa kini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Iftar Jamaie Bersama Presiden PAS di Restoran Paradise Deluxe, Kuala Terengganu, pada 28 Ogos lalu.

Menurutnya, melalui kerja-kerja kebajikan dan kemasyarakatan PAS akan lebih dikenali dan disayangi oleh rakyat.

Katanya, Islam merupakan agama yang sempurna dan kerja-kerja berbentuk kebajikan dituntut oleh syariat.

Beliau yang juga bekas Senator ketika kerajaan PAS Terengganu tahun 1999 hingga 2004 yakin dengan pendekatan kebajikan mampu menarik sokongan rakyat kepada PAS.

“Kita (Muslimat) pernah turun membantu mangsa-mangsa banjir, menziarahi rakyat yang ditimpa musibah dan menyampaikan pelbagai bentuk bantuan dan sumbangan,” ujarnya.

Namun begitu, katanya gerak kerja politik tidak dilupakan malah berjalan seiring dengan aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan.

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang serta dua orang isterinya iaitu To’ Puan Zainab Awang dan Dr Norita Mohd Taat hadir sama bagi memeriahkan majlis tersebut.

Pada majlis anjuran Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Muslimat PAS Terengganu seramai lebih 220 orang tetamu hadir dengan kutipan melebihi 11,000 berjaya dikumpulkan.

Ulasan