Setahun Berlalu, Bazaar Warisan Terus Sepi dan Menyedihkan.


KUALA TERENGGANU – Bagai terkena sumpahan ! Sudah lebih setahun Bazaar Warisan yang terletak berhadapan Pasar Besar Kedai Payang dibuka, namun keadaannya tidak berubah, sepi dan menyedihkan.

Tinjauan Buletinoline dua hari menjelang 1 Syawal, ramai warga Kuala Terengganu berpusu-pusu mencari keperluan akhir, namun tumpuan mereka adalah Pasar Besar Kedai Payang.

Seorang anak Terengganu di perantauan, yang mahu dikenali sebagai Jasni berkata beliau tidak pergi ke Bazaar Warisan kerana tidak pasti sama ada kompleks tersebut beroperasi atau tidak.

Apabila diberitahu, ia telah beroperasi sejak Mei tahun lalu, beliau agak terkejut.

”Eh...buka ke, tak tahu pula, saya tengok tutup, sunyi je..,”jawab anak muda yang berasal dari Manir, bertugas sebagai pensyarah di sebuah Institut Pengajian Tinggi Awam di utara tanah air.

Tambahnya, beliau sudah biasa ke Pasar Besar Kedai Payang untuk mencari keperluan kerana di premis itu semua barangan ada.

Seorang lagi anak Terengganu yang di temui, Tuan Sidek Tuan Muda berkata, beliau tidak pernah singgah di Bazaar Warisan kerana ia dilihat agak ’ekslusif’ dan beranggapan barangan yang dijual disitu ’mahal’.

Beliau yang juga bertugas sebagai tenaga pengajar kepada sebuah kolej swasta mengakui tidak mengetahui tentang perkembangan Bazar tersebut.

Manakala dua orang siswi dari Universiti Malaysia Terengganu ketika ditemui di persekitaran Bazar tersebut berkata, meraka hanyalah duduk diwakaf hadapan Bazar itu untuk berehat bukan membeli belah.

Mereka yang sedang membeli keperluan untuk pulang ke kampung berkata tidak terdapat banyak barangan yang dijual di Bazaar Warisan selain banyak kedai-kedai di premis itu yang sentiasa tutup.

Bazaar Warisan dibina dengan kos RM18.4 juta siap pada Februari 2008 dan mula dibuka kepada orang ramai pada tiga bulan berikutnya.



Buletinonline difahamkan, rancangan pembinaan Bazaar Warisan adalah untuk menggantikan Pasar Besar Kedai Payang sebagai pusat utama jualan pelbagai barang atau produk kraf Terengganu.

Setelah dikesan beberapa masalah timbul, Menteri Besar Dato’ Ahmad Said  berkata peniaga di premis itu merungut gerai jualan yang dibuka beberapa bulan lalu semakin merosot kerana tiada sambutan pelanggan.  

”mereka yang dipindahkan dari Pasar Besar Kedai Payang juga tidak selesa berniaga kerana beberapa infrastuktur, termasuk penghadang kaki lima rosak dan bumbung kedai bocor, kerajaan negeri mengakui perkara itu berlaku,” katanya selepas membuat tinjauan di bazaar itu Februari lalu.

Walaupun ramai yang terpesona dengan indahnya fizikal Bazaar Warisan, namun sehingga kini, setelah beberapa pengubahsuaian dibuat, ia masih gagal menarik pelanggan.

.


Ulasan