Tindakan Disiplin Sekiranya Ahli PAS Terlibat Menceroboh Gereja


Shah Alam - PAS kesal berhubung tindakan menceroboh dan menyerang gereja yang berlaku dibeberapa tempat di ibu Negara kelmarin.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang berkata, ia akan menjadi lebih menyedihkan jika perkara tersebut dilakukan orang Islam sendiri.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan program Taklimat Isu-isu penerangan PAS Pusat di Wisma MBSA disini, semalam (gambar)

Beliau menegaskan, Islam yang sebenar, mengajar manusia menghormati penganut agama lain termasuk rumah-rumah ibadat mereka walaupun dalam keadaan peperangan.

"Bila Islam diceroboh, berlaku peperangan, namun dalam peperangan sekalipun gereja perlu dipelihara," katanya.

Bagaimanapun beliau yakin isu penggunaan kalimah Allah ini mampu diselesaikan dengan mengadakan dialog antara agama.

Katanya, dialog itu penting bagi memberi kesedaran kepada masyarakat berhubung ajran Islam sebenar berdepan isu-isu berkaitan agama.

"PAS sedia berdialog, menghadiri majlis-majlis memberi kefahaman kepada rakyat," katanya.

Beliau juga menyeru pihak media memberikan ruang diberikan kepada PAS bagi tujuan tersebut.

Apa yang berlaku katanya, kerana selama ini penyebaran ajaran Islam itu sendiri telah dikongkong dan ditutup.

"Saya yakin isu ini dapat diselesaikan dengan elok, syaratnya jangan ada yang tidak ikhlas untuk menangguk di air yang keruh, untuk dapat sokongan," katanya lagi.

Sehubungan itu, katanya, dalam menyampaikan kebenaran, PAS tidak melihat kepada sokongan rakyat, namun apa yang penting adalah kewajipan PAS menjelaskan kebenaran kepada masyarakat.

"Saya anggap ada pihak-pihak tertentu yang menyalahgunakan isu ini dan mengambil kesempatan dan meniupkan api supaya membakar," katanya.

Jelasnya, kalimah Allah adalah kalimah yang benar, tetapi telah dihuraikan cara mencapai matlamat yang salah oleh pihak-pihak tertentu.

Ditanya sama ada PAS kan mengambil tindakan jika ahlinya didapati terlibat dengan demonstrasi isu kalimah Allah semalam, beliau menegaskan PAS tidak sampai berbuat begitu namun telahpun menasihatkan ahlinya supaya tidak terlibat dengan mana-mana bantahan isu itu.

Namun, sebaliknya, kata beliau, sekiranya ada ahli PAS didapati terlibat dengan insiden serangan ke atas gereja, PAS tidak akan teragak-agak mengambil tindakan seperti yang diperuntukkan dalam perlembagaan.

Ulasan