Iklan ‘Kopitiam’ dalam Laman MPK Mengelirukan Orang Ramai

KUALA TERENGGANU – Tindakan Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) mempromosikan sebuah kedai ‘kopitiam’ didaerah tersebut yang diusahakan oleh bukan Islam dalam laman web rasminya, menimbulkan kekeliruan kepada orang ramai.

Ia adalah kerana sehingga kini hanya satu sahaja kedai seumpama itu yang merujuk dan memohon sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Pengarah Jabatan Penerangan PAS Terengganu, Ustaz Ismail Dagang berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ketua Pengarah Jakim, berkaitan perkara tersebut.

”Iklan tersebut dalam laman web kerajaan, mengelirukan terutamanya kepada umat Islam, mungkin ada yang faham ia disahkan oleh kerajaan Terengganu, sebab itu dipaparkan dalam laman web rasmi,”katanya ketika dihubungi Buletinonline.


Beliau yang juga Ketua Urusan Ulamak PAS Kuala Nerus berkata, walaupun mungkin kedai tersebut telah dikenali ramai, pihak MPK sepatutnya maklum bahawa ia belum mendapat sijil pengesahan halal.

Justeru, beliau menyarankan supaya MPK mengeluarkan iklan tersebut dari paparan lama web dan pada masa yang sama menasihatkan pemilik kedai tersebut membuat permohonan kepada pihak Jakim.

Dalam kenyataan yang di petik dari media, Datuk Wan Muhammad Sheikh Abdul Aziz berkata, satu-satunya ‘kopitiam’ diusahakan oleh bukan Islam yang merujuk dan memohon sijil halal dari Jakim beroperasi di Kepong, Kuala Lumpur.

Ulasan