Ustaz Wan Hassan Rai Warga Emas Rumah Kebajikan Tian See

Sura, DUNGUN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli meraikan warga emas di Rumah Kebajikan Tian See yang terletak dibelakang Tokong Hong Tian di Kampung Bijangga, dekat sini.

Enam orang yang telah lanjut usia dan kurang bernasib baik itu, diberikan sumbangan ‘angpau’ serta bantuan makanan sempena Tahun Baru Cina.

Bantuan tersebut telah disampaikan sendiri oleh Wan Hassan yang menziarahi Rumah Kebajikan tersebut, semalam 27 Februari.

Beliau yang ditemui selepas majlis ringkas diperkarangan Rumah Kebajikan tersebut berkata, sudah menjadi kewajipan kita sesama insan tolong menolong dan bantu membantu antara satu sama lain, tanpa mengira bangsa dan ugama.

“Menjadi tanggungjawab saya membantu rakyat yang kurang bernasib baik, tidak kira apa bangsa dan ugama, ia termasuk perkara yang disuruh dalam ugama Islam,

“terutama pada hari baik, Tahun Baru Cina, semoga sedikit bantuan itu dapat mengurangkan beban kehidupan mereka,”katanya.

Sehubungan itu, Pengerusi Tokong Hong Tian, Encik Chee Boon Tiong melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kerana YB Wan Hassan sudi singgah dan melawat Rumah Kebajikan tersebut.

Menurutnya, beliau memang sudah kenal kepada Wan Hassan sejak menjadi Exco kerajaan negeri ketika PAS memerintah pada tahun 1999 hingga 2004.

”Baguslah itu, bagus, saya kenal, YB kita kenal (dia), dulu dia pegang dah (wakil rakyat) sekali,

“Saya suka dan ucap terima kasih kepada Haji (Wan Hassan) yang datang melawat sini, walaupun dalam keadaan beliau sibuk,”kata Encik Chee.

Ulasan