Masyarakat Tionghua Marah Dengan Ahmad

KUALA TERENGGANU – Majoriti daripada masyarakat Tionghua Kuala Terengganu merasa tidak puas hati dan marah dengan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Ahmad Said, ekoran kenyataanya berkaitan pembaikpulihan Tokong Ho Ann Kiong yang terbakar baru-baru ini.

Ahmad berkata
kerajaan negeri tidak akan menghulurkan sebarang sumbangan kewangan bagi membina semula tokong itu kerana ia telah menerima sumbangan daripada ahli perniagaan.

Semasa Ahmad berkata demikian, ADUN Bandar, Toh Chin Yaw dilaporkan terpaksa mengiyakan kenyataan Ahmad, apabila ditanya pihak media.

Namun sebaliknya, masyarakat Cina berharap kerajaan negeri menghulurkan juga bantuan walaupun sedikit.

Sehubungan itu, Buletinonline difahamkan, terdapat masalah komunikasi diantara Ahmad dan Toh menyebabkan kemarahan masyarakat Cina tersebut tidak dapat disampaikan kepada kerajaan negeri.

Justeru, pada Rabu 3 Mac, MCA terpaksa menggunakan khidmat
Pengerusi Biro Agama MCA Datuk Seri Tan Chai Ho.

Tan berkata Ahmad Said sepatutnya menggunakan inisiatif segera kerajaan persekutuan bagi menderma RM500,000 untuk membiayai pembinaan semula tokong itu.

"MCA berpendapat kerajaan negeri Terengganu patut menunjukkan sikap murah hati dan belas ihsan terhadap sebuah tokong yang kini tidak lagi boleh digunakan akibat kebakaran," katanya sebagaimana dilaporkan Bernama.

Tan, yang juga anggota Jawatankuasa Pusat MCA berkata kerajaan negeri tidak bertindak bijak apabila tidak mempedulikan nasib tokong itu.

"Ini bercanggah dengan semangat 1Malaysia, perpaduan dalam kepelbagaian," katanya.

Menurut sumber, lebih 70% kaum Tionghua merasa tidak puas hati, tetapi sehingga kini Ahmad tetap berdiam diri, tanpa mengeluarkan sebarang kenyataan.

Sumber dari parti komponen BN itu turut mengakui, BN menghadapi masalah dalam pilihanraya akan datang untuk meraih sokongan bagi memenangkan DUN Bandar.

Ulasan