BN (Panas Punggung) Tidak Senang Duduk


http://buletinonline.net/images/stories/berita26/haruntaibbaru.jpgKUALA TERENGGANU – Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Ustaz Harun Taib berkata kemenangan pembangkang di kerusi Parlimen Sibu, Sarawak dalam pilihan raya kecil, Ahad lalu sebagai tanda permulaan kejatuhan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Menurutnya, kemenangan mengejutkan itu dianggap sebagai perubahan mendadak rakyat terhadap politik negara dan ia merupakan isyarat penolakan terhadap BN.

Beliau juga tidak menolak pemimpin BN berkemungkinan ‘tidak senang duduk’ dengan kemenangan di Sibu selepas berbangga dengan kemenangan sementara di Hulu Selangor.

“Sekarang ini, angin sudah mula bertiup ke Timur Malaysia untuk menyatakan mereka tidak suka kepada BN.

“Gelombang itu sebelum ini berlaku di Semenanjung, tetapi orang Sarawak sudah mula memberi ke-yakinan kepada Pakatan Rakyat (PR),” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi, semalam.

Sehubungan itu, beliau yakin bahawa kemenangan pembangkang di Sibu boleh dijadikan penanda aras terhadap kebangkitan rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Mengulas lanjut, beliau berkata, rakyat dilihat sudah bersedia menolak BN, sekali gus memberi tempat kepada PR dalam menguasai politik negara.

“Dalam pilihan raya kecil di Hulu Selangor baru-baru ini, tidak ramai yang turun, tidak cukup tenaga tetapi di Sibu sama-sama turun. Insya-Allah PR dapat sokongan daripada rakyat,” katanya.

Dalam pilihan raya tersebut, calon DAP, Wong Ho Leng menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Robert Lau Hui Yew dengan majoriti 398 undi.

Dalam pertandingan tiga penjuru itu, Ho Leng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek mendapat 18,845 manakala calon Bebas, Narawi Haron mendapat 232 undi dan 395 undi rosak.

Ulasan