PAS Kongsi Kesukaran Tugas Anggota Bomba dan Penyelamat

DUNGUN – Kesukaran tugas seramai 100 ahli Bomba dan Penyelamat memadamkan kebakaran hutan tanah gambut seluas 45 hektar berhampiran kawasan perindustrian dekat sini, turut dikongsi oleh PAS Terengganu.

Operasi yang telah berlanjutan sejak 10 hari lalu, mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli.
Beliau yang juga Yang DiPertua PAS Kawasan Dungun, telah mengadakan lawatan ke lokasi bencana tersebut, pada Khamis, 13 Mei lalu.

Kehadiran Ustaz Wan Hassan telah disambut oleh Pegawai Kanan Bomba Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu Kamal Md Tan yang bertindak selaku Pegawai Operasi kebakaran terbabit.

Selepas mendengar taklimat tentang kebakaran itu, Ustaz Wan Hassan menyampaikan sedikit sumbangan (gambar) berupa air minuman bertenaga bagi membantu pihak Bomba dan Penyelamat meneruskan tugas-tugas mereka.

Buletinonline difahamkan, usaha memadam kebakaran tersebut menghadapi kesulitan kerana sumber bekalan air yang digunakan terletak sejauh dua kilometer dari lokasi kebakaran.

Menurut Blog N27 DUN Sura, beberapa hari sebelumnya, Ustaz Wan Hassan telah membekalkan sarapan pagi kepada petugas operasi berkenaan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan DUN Sura Alias Muda memaklumkan, pihaknya turut membekalkan makan malam pada Jumaat, 14 Mei, kepada petugas operasi berkenaan.

Turut hadir mengiringi Ustaz Wan Hassan adalah Bendahari DUN Sura, Haji Abdullah Ibrahim serta dua orang Ahli Jawatankuasa Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan DUN Sura, Alias Muda dan Mohd Jamil Manaf.

Ulasan